Pertelingkahan dalam menentukan sama ada seseorang yang meninggal dunia beragama Islam ataupun tidak telah lama dibincangkan di negara kita. Terkadang isu ini dibicarakan dengan penuh sentimen perkauman tanpa lagi mengambil kira kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi.
Siapa pun di kalangan umat Islam tidak akan berasa gembira jika ada saudaranya tiba-tiba ingin keluar dari agama Islam ataupun dinafikan haknya untuk memeluk agama Islam.
Begitupun lihatlah ketenangan umat Islam dalam menghadapi keputusan-keputusan mahkamah dalam kes-kes Nyonya Tahir, A. Rayappan di Mahkamah Syariah Selangor.
Begitu juga dengan kes Dr. Jegyaganesh yang telah memeluk agama Islam bersama anak-anaknya tetapi kemudiannya Mahkamah Sivil menyatakan bahawa hak penjagaan anak-anak itu hendaklah diberikan kepada ibunya yang tidak memeluk Islam.
Umat Islam menerima keputusan tersebut dengan berlapang dada dan menghormati keputusan mahkamah walaupun ia agak pahit untuk ditelan.
Keadilan
Islam adalah agama keadilan untuk sejagat. Menjadi impian para pengamal undang-undang syariah di negara kita untuk melihat bidang kuasa institusi kehakiman syariah diakui bukan sahaja oleh umat Islam tetapi juga oleh warganegara bukan Islam.
Mahu tidak mahu kita terpaksa mengakui perlu ada keterbukaan di peringkat Mahkamah Syariah untuk mengizinkan mereka yang bukan Islam hadir sebagai saksi di Mahkamah Syariah dan diwakili oleh peguam pilihannya sendiri.
Dalam kes Nyonya Tahir yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Seremban, hakim yang berkenaan telah belajar daripada episod duka Moorthy dan membuka ruang yang luas kepada keluarga Nyonya Tahir untuk hadir.
Artikel 121 (1A) telah menyelesaikan isu-isu berkaitan pertindihan bidang kuasa jika kedua-dua pihak yang menuntut adalah orang Islam. Bagaimanapun isu yang masih lagi belum diselesaikan ataupun terdapat ruang kekosongan dalam perundangan yang masih terbuka bagi tafsiran adalah kes-kes yang melibatkan salah satu pihaknya adalah seorang yang bukan Islam.
Peguam berpendapat bahawa adalah tidak munasabah untuk meminta orang bukan Islam yang mana mereka tidak tertakluk kepada undang-undang Islam untuk dihadapkan ke Mahkamah Syariah.
Analoginya mudah, seorang anggota tentera tiba-tiba melarikan diri dari kem tentera dan mengisytiharkan dirinya ingin keluar daripada perkhidmatan tentera.
Maka sudah tentulah Mahkamah Tentera mempunyai kuasa terhadap anggota tentera tersebut memandangkan begitulah kontrak perkhidmatannya dengan majikan sebelum ini.
Bagaimanapun isu agama dan akidah bukanlah semudah keanggotaan tentera.
Ia perlu dilihat lebih jauh kerana melibatkan kontrak sosial yang telah sama-sama dipersetujui oleh semua kaum sebelum kita mencapai kemerdekaan.
Pengiktirafan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Artikel 3(1) Perlembagaan memberikan hak kepada Islam untuk diberikan keistimewaan mengatasi agama lain. Agama Islam diketuai oleh setiap raja-raja Melayu di negeri yang beraja dan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi negeri yang tidak beraja.
Keistimewaan ini tidaklah menyebabkan kita menindas bangsa atau agama lain. Tidak pernah terdengar dalam sejarah kemerdekaan negara kita, ada rakyatnya yang bukan Islam ditindas atau dizalimi kerana enggan memeluk Islam.
Tidak pernah juga orang bukan Islam yang ditangkap atas kesalahan berzina atau berkhalwat dengan pasangannya yang beragama Islam sama-sama dihukum di Mahkamah Syariah.
Umat Islam di negara kita sentiasa mengamalkan sikap toleransi dalam beragama dan memberikan kebebasan untuk orang lain mengamalkan ajaran agama mereka. Untuk tujuan rekod, banyak gereja, kuil dan rumah ibadat yang gah dibina di negara kita dilawati oleh pelawat-pelawat dari negara asal agama itu sendiri.
Hasrat
Justeru apabila timbulnya cadangan supaya orang bukan Islam yang memeluk Islam disyarat mengisytiharkan hasrat mereka kepada keluarga bukan Islam, ia semestinya dilihat bertentangan dengan toleransi yang diberi kepada orang bukan Islam selama ini.
Para pengamal undang-undang syariah seperti pensyarah, hakim syarie dan peguam syarie tidak lagi boleh duduk diam dan terus terlena. Cadangan yang konkrit hendaklah dilaksanakan dalam memastikan urusan keluar masuk agama Islam diuruskan dengan sempurna.
Antara langkah awal yang perlu dimulakan adalah:
a) Memastikan bahawa proses syahadah yang dibuat oleh seseorang yang ingin memasuki agama Islam dapat diperkemas oleh Majlis Agama Islam setiap negeri.
Ia boleh dibuat dengan menyediakan satu ikrar yang menyatakan secara spesifik hak-hak dan tanggungjawab sebagai seorang mualaf. Ikrar syahadah ini hendaklah kemudiannya dimajukan kepada pihak yang berkecuali seperti Jabatan Pendaftaran Negara atau Perkim yang merekodkan bukti keislaman seseorang mualaf untuk kegunaan kemudian hari.
Deklarasi kepada pihak ketiga ini adalah lebih bermanfaat daripada deklarasi yang dibuat kepada ahli keluarga.
b) Mahkamah Syariah lebih bersikap terbuka dan tidak dilihat oleh orang asing sebagai mahkamah untuk orang Islam sahaja. Serentak dengan peningkatan profesionalisme yang seharusnya lebih baik daripada Mahkamah Sivil, beberapa peguam syarie yang terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam seharusnya dilantik di mahkamah syariah setiap negeri bagi menjadi perantara sebelum sesuatu kes seumpama Moorthy ini berlaku lagi.
c) Oleh kerana pelbagai enakmen diguna pakai Mahkamah Syariah adalah dalam bidang kuasa Dewan Undangan Negeri, maka adalah baik jika mana-mana peruntukan yang boleh memperjelaskan penerimaan masuk saksi atau orang bukan Islam ke Mahkamah Syariah kita dikanunkan dengan lebih sempurna setakat mana ia tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.
d) Umat Islam perlu sedar bahawa dalam kehidupan masa kini tetap akan ada mereka yang akan membuat permohonan untuk murtad. Permohonan untuk keluar dari Islam perlu dikendalikan dengan penuh bijaksana. Sementara kita mengakui adalah sukar untuk menerima hakikat ada umat Islam yang ingin meninggalkan agamanya kita juga harus berfikir ada baiknya mereka yang murtad ini tidak terus disimpan menjadi virus di dalam agama.
Ulama seperti Al-Sarakhsi dalam Kitab Al-Mabsut berpendapat murtad adalah satu kesalahan jenayah yang dikategorikan sebagai takzir dan bukannya hudud.
Hukuman takzir secara umumnya bererti hukuman yang dibuat oleh pemerintah bergantung kepada keperluan masyarakat pada satu-satu masa. Justeru, satu prosedur yang lengkap bagi menangani permohonan orang Islam yang murtad harus dikemas kini supaya kes mereka boleh didengar dengan sesempurna yang mungkin.
[Utusan Online, 15/4/08]
No comments:
Post a Comment