Tuesday, April 22, 2008

Menjana dan memperkasa kesedaran Islam dalam masyarakat

Ucapan dasar Presiden Haluan, Dr. Abdullah Sudin Abd. Rahman pada mesyuarat perwakilan tahunan Haluan 2008 baru-baru ini menyentuh mengenai kepentingan masyarakat islam mempertahankan Islam yang sedang diserang dari pelbagai arah. Tajuk ucapan iaitu "Strategi dan Operasi Dakwah Masa Kini" melihat cubaan Barat dan musuh-musuh Islam memberi gambaran yang buruk dan negatif terhadap Islam.

Masyarakat dunia yang mudah mendapat maklumat melalui perkembangan teknologi komunikasi sentiasa terdedah kepada berita dan maklumat palsu tentang Islam. Justeru penguasaan IT oleh masyarakat Islam tidak boleh lagi ditangguh-tangguh. Web jaringan sosial yang semakin meluas di Internet memberi ruang kepada kedua-dua pihak; pendakwah dan pendakyah untuk berbincang tentang Islam.

Walaupun ada laman web yang memberi maklumat tidak tepat tentang Islam, ada juga laman web yang membincangkan Islam secara terbuka dan ingin mencari kebenaran. Melalui laman web seperti inilah ada di kalangan orang bukan Islam di Barat mengenali Islam.

Presiden Haluan turut menggesa ahli-ahlinya untuk menyediakan blog sendiri bagi urusan dakwah kepada masyarakat kerana penulisan dapat memberi maklumat yang lebih baik berbanding ucapan. Alat untuk mengumpul bahan-bahan penulisan yang terbaik dan sentiasa dibaca ialah laman web. Kemahiran menulis tidak dapat dibina dalam masa singkat tetapi ia tidak boleh menjadi halangan dan alasan untuk tidak menulis.

Kumpulan sasar untuk dakwah ialah pelajar dan mahasiswa di institusi pengajian tinggi. Strategi Haluan yang mengukuhkan instituti pendidikan dari peringkat prasekolah hinggalah institusi pengajian tinggi sendiri adalah ruang yang dibina sebagai tanggungjawab dakwah kepada masyarakat. Objektif pendidikan untuk dakwah ialah menyebarkan dakwah, melaksanakan tarbiyah, infaq untuk menghabiskan wang, membantu yang lemah dan melahirkan pelajar yang profesional, berakhlak dan dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Selain institusi pendidikan, Haluan juga menggerakkan ekonomi dan institusi dakwah supaya "Mendidik dan Berbakti" dapat disampaikan kepada masyarakat.

Menyentuh isu-isu politik semasa, akhlak yang kukuh adalah asas kepada kepimpinan yang berkesan. Berlakunya peralihan kuasa dalam politik negara baru-baru ini banyak disebabkan oleh pemimpin-pemimpin yang zalim dan lemahnya hubungan dengan Allah swt. Kepimpinan di semua peringkat termasuk JKKK sedang mengalami kemerosotan yang sangat ketara. Bagi jangka masa panjang, kuasa sedia ada akan musnah dan akan digantikan oleh mereka yang lebih dominan.

Satu soalan yang dilontarkan oleh Presiden Haluan ialah sejauh mana dan tahap mana ahli-ahli Haluan mahu melibatkan diri dalam politik megara. Walaupun pendedahan dalam pilihan raya telah bermula, banyak lagi persiapan-persiapan yang masih diperlukan bagi mengukuhkan ciri-ciri kepimpinan dan kesediaan anggota Haluan untuk menceburkan diri dalam politik.

Ulasan balas para perwakilan merangkumi pelbagai perspektif. Wakil Johor mempertikai tugas-tugas yang bertindih di kalangan ahli apabila terdapat operasi bantuan kemanusiaan yang besar seperti banjir. Haluan pusat juga dikatakan tidak memberi perhatian kepada laporan yang dihantar oleh Haluan negeri. Kemudiannya wakil berkenaan membangkitkan tentang jarak generasi muda berumur 20 hingga 29 tahun yang sangat berkurangan. Beliau mencadangkan Haluan merekrut pelajar dan meningkatkan keberkesanan pendidikan keluarga kepada ahli-ahli Haluan supaya anak-anak mereka dapat menjadi generasi pelapis.

Wakil Kelantan melihat pilihan raya baru-baru ini sebagai fokus kepada semangat kerjasama berpasukan. Penglibatan secara meluas jentera Haluan telah memberi pendedahan ketara bagi mereka untuk membaiki kelemahan dalam komunikasi, pengucapan awam dan hubungan kemanusiaan. Beliau juga menekankan kepentingan menyediakan pasukan perundangan Haluan yang mantap untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Wakil Terengganu berkongsi pengalaman mengenai proses mengerakkan institusi pendidikan sebagai pintu masuk ke dalam masyarakat dan kepentingan ahli-ahli Haluan menguatkan fizikal dengan segala kemudahan yang ada pada hari ini. Pada masa yang sama, keperluan emosi juga perlu diuruskan dengan sempurna kerana dakwah dan tarbiyah perlukan proses pengemblengan tenaga secara berterusan.

Wakil Pahang turut memberi fokus kepada pilihan raya umum lepas dan peranan ahli-ahli Haluan dalam pasca pilihan raya. Beliau juga menyentuh dakwah kepada bukan Islam kerana mereka juga berhak untuk merasai keselamatan dan kemakmuran yang ada di dalam Islam.

Wakil Selangor meminta ahli-ahlu Haluan hadir 100 peratus dalam masyarakat kerana masalah sosial, jenayah dan keadaan keluarga pada hari ini menguncang kepada kerisauan dan masyarakat inginkan penyelesaian segera. Musuh-musuh yang tidak suka kepada keharmonian hidup bermasyarakat sedang bergaduh dan peluang inilah yang patut digunakan oleh Haluan. Beliau mengingatkan persiapan ilmu, kemahiran memimpin dan komunikasi mesti ditingkatkan di samping berdoa dan solat malam. Bagi menjadikan Haluan sebagai peneraju masyarakat, tokoh-tokoh yang boleh bekerja perlu diperbanyak di dalam masyarakat sebagai usaha melebarkan dakwah dan tarbiyah.

Wakil Perak menjelaskan kegembiraannya sebagai negeri terakhir berjaya menubuhkan koperasi sendiri. Beliau juga meminta ahli-ahli Haluan melihat Perak sebagai destinasi subur untuk dakwah dan tarbiyah di kalangan pelajar insitutisi pengajian tinggi kerana negeri itu mempunyai bilangan IPT yang semakin bertambah.

Wakil Pulau Pinang menyeru kepada dakwah untuk bukan Islam kerana bilangan mereka yang ramai di negeri itu memerlukan kepada usaha dakwah yang berterusan. Usaha ini harus dipandang serius oleh Haluan kerana tidak ramai ahli Haluan di negeri itu dan pendekatan yang diguna pakai masih menggunakan kaedah konservatif. Beliau juga meminta hali-ahli Haluan memberi perhatian kepada pem binaan generasi IT dan menyokong penuh usaha anak-anak muda untuk belajar dalam bidang berkenaan.

Wakil Kedah berpendapat aggota Haluan kurang bersedia dalam pilihan raya umum lalu sambil mengingatkan betapa pilihan raya sangat penting bagi menentukan hala tuju kepimpinan politik negara. Beliau juga mencadangkan setiap ahli Haluan mempunyai blog sendiri di samping meningkatkan kemahiran IT. Selain itu penubuhan Pusat Haluan Penyayang di Langkawi akan menjadi syiar kepada usaha-usaha Haluan Kedah untuk menjayakan khidmat bakti kepada masyarakat.

Manakala wakil Haluanita meminta kehadiran mereka dalam Haluan dirasai sepenuhnya bagi usaha dakwah dan tarbiyah memandangkan wanita juga berperanan sebagai penggerak kepada kemajuan Haluan. Beliau juga mencadangkan program-program kemantapan kemahiran emosi dan kemahiran sosial dijayakan supaya peranan mereka sebagai ibu, isteri dan anggota Haluan berada pada kedudukan terbaik untuk menyumbang kepada usaha-usaha dakwah yang berkesan.

Maklum balas yang diberikan oleh para perwakilan dalam membahas ucapan dasar presiden wajar diberi perhatian kerana penyelesaian segera dapat membantu meningkatkan motivasi dan fokus kepada usaha dakwah kelak. Perhimpunan kali ini juga menjadi pencetus kepada kerja-kerja kebajikan Haluan bagi memberi khidmat kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment