Isu-isu keluarga, masalah sosial dan perjuangan menuntut hak wanita menjadi semakin dominan di dalam masyarakat hari ini baik di negara kita mahupun di Barat. Setiap peringkat hidup masyarakat tidak terlepas daripada membincangkan isu-isu ini sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal.
Menarik juga untuk kita kongsi bersama ungkapan hakim Coleridge iaitu seorang hakim yang berpengalaman selama 37 tahun dalam undang-undang keluarga di Britain. Beliau menyatakan kesan perpecahan keluarga terhadap kehidupan bangsa di negara itu hari ini dapat dirasakan 20 tahun akan datang. Ia merujuk masalah serius perpecahan keluarga yang melibatkan peringkat masyarakat daripada keluarga diraja hingga orang biasa.
Bagi masyarakat Malaysia, kisah dua wanita berbeza latar belakang ini menjadi teladan yang sangat berharga. Nor Umairah Ahmad Jamhari, 16 tahun dan Sufiah Yusof, 23 tahun memberi mesej yang sangat jelas tentang implikasi kaedah yang dipilih untuk membimbing dan membesarkan anak-anak.
Nor Umairah adalah salah seorang Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2008 yang lalu dan menerima penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 20 Mac 2008. Beliau sedang belajar di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa, Teluk Intan dalam aliran sains.
Mendapat 5A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah dan 8A dalam Penilaian Menengah Rendah, ketika ditanya bagaimana dia menyesuaikan diri tanpa tangan (hilang upaya sejak lahir kerana penyakit saraf), Nor Umairah menjawab, "Ini anugerah Allah. Dia berhak menghilangkan fungsi tangan saya namun Dia Maha Adil dengan menukarkan kebolehan itu kepada kaki."
Bercita-cita menjadi seorang peguam, Nor Umairah aktif dalam persatuan Pandu Puteri, persatuan Bahasa Inggeris, kelab catur dan pernah menyertai pertandingan bahas peringkat daerah.
Kejayaan anak gadis Ahmad Jamhari ini banyak didorong dan dibentuk oleh kedua ibu bapa. Sejak berumur lima tahun, dia telah dilatih untuk menulis dan melakukan semua perkara dengan menggunakan kaki - sesuatu yang sangat istimewa.
Membesar sebagai anak yang patuh dengan cakap ibu bapa, kesediaan Nor Umairah berusaha sendiri dalam semua perkara bakal menjadi contoh dan ikutan kepada semua orang kerana kehidupan dunia adalah tempat ujian manakala akhirat adalah tempat hidup yang lebih sempurna.
Perjalanan hidup gadis yang tabah ini sangat berbeza dengan seorang lagi wanita pintar yang juga cemerlang ketika usia muda.
Sufiah Yusof, mencatat sejarah sebagai pelajar muda yang diterima masuk ke Universiti Oxford pada usia 13 tahun, kini menyewa flat murah di Salford, Manchester, Britain. Beliau menjadi pekerja seks dengan bayaran RM830 sejam di samping berusaha menamatkan pengajian sarjana.
Bermula sebagai pelajar pintar dan berakhir dengan seorang yang hilang maruah dan harga diri adalah episod hidup yang sangat menyedihkan bagi Sufiah.
Media massa yang menyelongkar kisah hidup Sufiah memutuskan bahawa kaedah kepimpinan keluarga sebagai penyebab utama Sufiah terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini. Bapanya, Farooq berketurunan Pakistan sedang menjalani hukuman penjara 18 bulan kerana kesalahan mencabul dua orang pelajar perempuan. Sebelum itu beliau juga pernah dipenjerakan selama tiga tahun kerana menyeleweng wang £1.5 juta dan dihantar ke pusat tahanan kerana berkonspirasi menggelapkan wang sebanyak £100,000.
Farooq dan isteri, Halimahton menggunakan regim kepimpinan yang rigid dalam keluarga mereka kerana percaya kejayaan akademik dapat menjamin kejayaan dan kebahagiaan hidup. Mereka lupa bahawa kanak-kanak mempunyai kehidupan mereka sendiri dan wajar menikmatinya.
Bak kata pepetah "nasi sudah menjadi bubur" dan tidak ada apa lagi yang boleh diharapkan daripada Sufiah untuk menjaga maruah keluarganya. Beliau harus menerima hakikat bahawa Sufiah adalah seorang pelacur yang rendah akhlaknya dan mengetepikan sama sekali pertimbangan moral dan agama semasa mengambil keputusan menceburkan dirinya dalam kegiatan berkenaan. Masyarakat mengutuk, rakan-rakan bersimpati tetapi pesaingnya sedang ketawa besar.
Teruk macam mana sekalipun, sebagai ibu, Halimahton tetap sayang kepada Sufiah. Walaupun sedih dan malu, beliau masih berharap supaya "Sufiah akan kembali kepada saya."
Nor Umairah dan Sufiah membawa mesej kehidupan keluarga yang sangat berbeza. Melihat riak muka Nor Umairah, ianya sangat meruntun hati kerana ketabahan dan kesabaran hidup yang dilaluinya tidak mematahkan semangat untuk terus belajar. Manakala ayah dan ibu tidak pernah hilang daripada fikirannya. Gambaran yang boleh kita bayangkan ialah Nor Umairah hidup dalam keluarga yang ceria, mengambil berat dan ibu bapanya berusaha memberikan kehidupan terbaik.
Berbeza sama sekali dengan keluarga Sufiah.
Mengutamakan akademik dan memaksa kemahuan orang dewasa ke atas Sufiah menghilangkan sama sekali kehidupan sebenarnya. Memilih kerja sebagai perosak moral dan akhlak masyarakat adalah pilihan yang menyedihkan serta tidak memberi sebarang manfaat kepada diri sendiri.
Kejayaan Farooq dan Halimahton membimbing Sufiah menjadi pintar matematik sangat dikagumi tetapi tindakan mereka juga telah memberi jalan kepada Sufiah untuk menjengah pintu neraka kehidupan dunia.
No comments:
Post a Comment