Saturday, April 05, 2008

Fitna: manifestasi ketakutan Barat ke atas Islam

Fitna, filem pendek 17 minit yang dihasilkan oleh ahli politik Belanda, Geert Wiilders mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia. Keseluruhan filem ini telah dimuat turun ke laman LiveLeak.com yang menerima lebih tiga juta pengunjung dalam masa tiga hari. Seterusnya pengguna Internet boleh melihat filem ini di Google Video dan YouTube.

Sebaik sahaja filem pendek Fitna dilancarkan ke Internet pada 27 Mac 2008, umat Islam seluruh dunia mula menunjukkan penentangan mereka. Sama ada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan ataupun kumpulan-kumpulan individu, mereka menyatakan rasa tidak puas hati melalui demonstrasi, boikot dan penyerahan memorandum bantahan ke kedutaan Belanda.

Di Malaysia, bantahan terhadap Fitna juga memberangsangkan. Kementerian Dalam Negeri akan mengharamkan penayangan dan pengedaran filem itu kerana menghina sensitiviti umat Islam.

Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan kandungan filem berkenaan kerana bersifat menghina Islam.

Kementerian Kesihatan akan menghentikan pengambilan ubat-ubatan dari Belanda dan menggesa ahli farmasi negara mencari alternatif ubat dari negara lain.

Gudang pasar saya Mydin memboikot barangan Belanda dengan mengenakan tanda merah pada barangan berkenaan sebagai usaha bersama memerangi kejahilan dan kebiadapan Greet Wilders.

Parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan turut mengambil bahagian menyatakan kekesalan mereka.

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Belanda. Gabungan PAS, PKPIM, ABIM, World Assembly of Youth (WAY), Belia 4B Malaysia, Dunia Melayu Dunia Islam, Majlis Belia Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berganding bahu menyedarkan orang ramai untuk peka dengan kesan penerbitan filem Fitna dan apa yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia.

Antara barang keluaran Belanda yang ada di pasaran ialah Dutch Lady, Ferrero Roche, Wall’s, ING Insurans, Planta, Lady’s Choice, Lipton, Shell, Knorr, Dove, Sunlight, Radiant, Rexona, Ponds, Kieldsens, Slimfast, Philips, Duyvis, Gouda (keju), Robin, Ariel, Omo, Venz, Kinder Bueno, Unilever, Syarikat Dumex, Nutricia, Sunsilk, Fair & Lovely, Lux, Vaseline, Wishbone, Doriana, Bertolli, Clear (shampoo), Breeze dan Sun (pencuci kain).

Di Indonesia, Presiden Susilo Bambang sendiri menyampaikan ucapan bantahan yang menegaskan kekecewaan umat Islam Indonesia terhadap filem keluaran Geert Wilders, ahli parlimen Belanda yang sangat takut dengan perkembangan Islam di seluruh dunia.

Kumpulan pendesak, Barisan Pembela Islam berhimpun di luar kedutaan Belanda di Jakarta bagi menyuarakan bantahan terhadap penerbitan filem berkenaan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan Fitna sebagai "hak kebebasan bersuara yang telah melebihi had."

Perdana Menteri Belanda sendiri menyifatkan filem Wilders adalah ancaman kepada negaranya.

Suara-suara membantah penghasilan Fitna turut bergema dari Afrika, Timur Tengah dan Eropah. Di Jordan, sekumpulan 53 orang ahli parlimen mengusul petisyen kepada kerajaan Jordan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Belanda. Mereka juga menuntut duta Belanda diusir dari negara itu.

Di Iran, duta Belanda dipanggil secara rasmi untuk memberi penjelasan dan Pakistan juga mengambil tindakan yang sama.

Bangladesh yang mempunyai lebih 150 juta orang Islam mengutuk keras perbuatan Wilders yang menyiarkan serangan pengganas ke atas New York dan Madrid yang berlatarbelakangkan bacaan al-quran. Kenyataan kementerian luar negara itu adalah berupa bantahan sambil mendakwa Wilders menghina seluruh umat Islam.

Di Syria, Mufti Besar Ahmad Badr al-Din mahu Wilders bertanggungjawab sepenuhnya jika sebarang perlakuan ganas berlaku.

Puak Taliban pula mengancam akan meningkatkan serangan ke atas askar-askar Belanda di Afghanistan. Wilders turut menerima ancaman bunuh daripada Al-Qaeda.

Masyarakat Belanda juga tidak terkecuali membantah tindakan Wilders itu. Sebahagian daripada mereka mengambil inisiatif memuat turun video buatan sendiri dengan perkataan "I am sorry." Salah satu laman web "Sorry for the film" menggesa pengunjungnya menyatakan bantahan dan tidak menyatakan sokongan ke atas Fitna. Mediamatic, pertubuhan gabungan teknologi di Amsterdam memberi tunjuk ajar bagi menerbitkan video "Sorry Fitna."

Siapakah Wilders yang mencetuskan kebencian ini?

Sepanjang dua puluh lima tahun yang lalu beliau telah melawat Israel sebanyak empat puluh kali dan pernah berjumpa dengan Ariel Sharon beberapa kali. Beliau juga bersua muka dengan Ehud Olmert dan dan mendakwa mempunyai hubungan dengan ejen perisikan Israel, Mossad.

Wilders merupakan seorang yang suka merantau. Pernah mengunjungi negara Tunisia hinggalah Turki, dari Cyprus hinggalah Iran dan bagi beliau tidak ada negara yang lebih istimewa selain daripada Israel.

Hubungan rapat beliau dengan Israel boleh dilihat dalam tindak-tanduknya selama lapan tahun menjadi ahli parlimen. Dia sentiasa menyokong negara Yahudi berkenaan dan akan menyerang mana-mana negara yang diketahui bermusuh dengan Yahudi. Beberapa orang ahli parlimen dari parti beliau mengesyaki Wilders menerima tunjuk ajar dari kedutaan Israel ketika sesi soal jawab dengan menteri-menteri Belanda. Namun hal itu dinafikan oleh beliau.

Sebelum itu pun Wilders pernah mengemukakan usul untuk membuka pentadbiran penahanan mirip Israel. Pada masa yang sama juga beliau mengambil seorang kakitangan yang bekerja di kedutaan Israel untuk bekerja dengannya.

Wilders, seorang yang anti Islam dan pendatang asing, menyuarakan hasrat untuk menyiarkan Fitna kerana kecewa dengan perkembangan pesat agama Islam di Belanda selain daripada sikapnya yang anti pendatang. Beliau juga kecewa dangan orang-orang Islam yang tidak jemu beribadat kepada Allah swt.

Tahun lepas beliau meminta kerajaan Belanda mengharamkan al-quran kerana mendakwa kitab suci itu menjadi inspirasi kepada keganasan dan jenayah. Dia juga mendakwa al-quran menggesa orang Islam membunuh dan menyerang bukan Islam atas alasan membentuk sebuah negara Islam secara paksaan.

Idea Wilders sangat jelas: pengganas Islam secara langsung dan tidak langsung mendapat arahan daripada al-quran.

Selain daripada cadangan mengharamkan al-quran, Wilders turut berkempen bagi menghalang pembinaan masjid-masjid baru di Belanda dan memberhentikan kemasukan pandatang Islam ke negara itu.

Semasa menghasilkan Fitna, Wilders mengikut jejak pengarah filem Submission iaitu Theo van Gogh yang mati dibunuh pada November 2004. Filem itu berkaitan arahan al-quran untuk bertindak kejam ke atas wanita.

Selepas Theo van Gogh dibunuh dengan pembunuhnya meletakkan senarai bantahan filem itu ke atas mayatnya, penulis skrip, Ayaan Hirsi Ali dipaksa meninggalkan negara itu oleh kerajaan Belanda. Kini beliau menetap di Amerika Syarikat dan bekerja dengan American Enterprise Institute.

Kesan segera ke atas tindakan pemboikotan dan demonstrasi ini ialah kesedaran masyarakat terhadap penghinaan agama tidak boleh dilakukan. Sesiapa sahaja yang waras akan melihat perbuatan ahli parlimen Belanda itu sebagai tindakan yang melampaui batas. Menyerang mana-mana kepercayaan manusia dan menghina kewujudannya adalah suatu yang melanggar tatasusila masyarakat bertamadun.

Selain boikot, kita juga boleh membuat filem seperti yang dilakukan oleh penerbit filem Ayat Ayat Cinta, Hanung Bramantyo di Indonesia. Misinya ialah mempersembahkan Islam sebagai agama yang penuh tolak ansur dan cintakan keamanan.

"Saya percaya Islam adalah agama yang indah. Sebilangan orang berkata berjuan untuk Islam bermaksud melakukan sesuatu yang hebat tetapi bagi saya kisah cinta juga mampu membawa imej Islam."

Orang yang jahat dan ganas seperti Wilders sentiasa wujud sepanjang masa. Mereka akan cuba bermacam-macam cara untuk menimbulkan kemarahan umat Islam kerana risau dengan perkembangan dakwah Islam yang baru-baru ini dilaporkan lebih ramai daripada penganut Roman Khatolik.

Ketika rakyat Malaysia bersemangat memboikot barangan keluaran Belanda, umat Islam di sana mempunyai pandangan yang berbeza. Mereka beranggapan pemboikotan berkenaan akan memburukkan lagi keadaan umat Islam di Belanda.

Kesatuan Islam Belanda setakat ini cuba mengelak tindakan demonstrasi atau membuat ancaman bunuh kerana mereka lebih suka mendakwa Wilders di mahkamah sebagai memenuhi undang-undang kebebasan bersuara Kesatuan Eropah yang turut diterima pakai oleh Belanda. Di bawah undang-undang Belanda juga, mahkamah boleh melaksanakan tindakan berkenaan.

Mereka mahu denda 50,000 euro sehari dikenakan ke atas Wilders. Dengan cara ini, Wilders akan sengsara sedikit demi sedikit dan menjadi teladan kepada penerbit filem yang cuba menghina Islam.

Kemunculan filem Fitna membuatkan kerajaan Belanda tidak dapat duduk diam. Beberapa langkah kecemasan dirancang bagi membawa keluar warganegara Belanda di luar negara jika keadaan menjadi tegang.

Menteri Integrasi, Ella Vogelaar mengutuk Wilders dan mendakwa tindakan tersebut telah merosakkan hubungan antara kaum yang dahsyat di Belanda.

Perdana Menteri, Balkenende amat bimbangkan ekonomi Belanda dan meminta Menteri Luar, Maxime Verhagen menerbitkan artikel dalam bahasa Arab di akhbar Asharq al-Awsat. Beliau meminta diadakan dialog bagi menjelaskan kebebasan bersuara dan beragama yang telah termaktub dalam perlembagaan Belanda.

Dari semasa ke semasa akan ada manusia-manusia seperti Wilders yang cuba memperlekeh dan menghina Islam. Namun ingatan al-quran kepada umat Islam amat tegas.

"Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan agama yang benar iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar "jizyah" dengan keadaan taat dan merendah diri." (Surah At-Taubah ayat 29)

No comments:

Post a Comment