Friday, April 11, 2008

Sekuriti makanan ruji

Negara Vietnam, Thailand dan Filipina, yang merupakan antara pengeluar beras utama dunia dan Asia, kini berdepan dengan krisis harga berikutan pengeluaran dan bekalan yang merosot serta permintaan serantau yang lebih tinggi ke atas komoditi makanan itu.

Beras adalah makanan ruji rakyat negara Asia, termasuk Malaysia.

Penanam padi di Asia Timur menyumbang kira-kira 90 peratus daripada jumlah pengeluaran beras dunia yang sebanyak 645 juta tan metrik pada tahun 2007. China dan India adalah penyumbang terbesar, diikuti India, Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Myanmar, Jepun, Filipina dan Brazil.

Sumbangan Malaysia dalam pengeluaran beras dunia adalah kecil, kurang daripada satu peratus. Negara kita adalah pengimport bersih komoditi makanan beras. Ini kerana tahap sara diri bagi beras adalah tidak mencukupi, kira-kira 75 peratus. Baki bekalan beras sebanyak 25 peratus diimport dari negara jiran Thailand, Vietnam dan Pakistan.

Thailand dan Vietnam adalah pembekal beras negara yang utama. Mereka menyumbang lebih daripada 80 peratus import beras negara. Padiberas Nasional Berhad (Bernas) adalah pengimport tunggal beras negara dan diberi hak mengimport sehingga 11 Januari 2011. Dengan kuasa monopolinya, fungsi utama Bernas ialah untuk memastikan bekalan beras negara adalah mencukupi.

Pada tahun 2004-2005 (data terkini), pengeluaran beras negara bagi semua musim adalah kira-kira 2 juta tan metrik dan mengimport hampir 600,000 tan metrik dengan nilai import hampir RM700 juta.

Aliran keluar wang ini boleh dijimatkan jika sektor penanaman padi berproduktiviti tinggi dan mencapai tahap sara diri yang mencukupi.

Oleh itu, sebarang krisis pasaran dan bekalan beras dari negara pembekal, sudah pasti akan menular dan mempengaruhi pasaran beras negara khususnya dalam bentuk kenaikan harga beras yang diimport.

Kenaikan harga kebanyakan barang makanan bukanlah fenomena yang hanya berlaku dalam negara tetapi di seluruh dunia, termasuk Asia. Ini disebabkan oleh kenaikan harga komoditi utama seperti minyak mentah, bahan makanan yang digunakan untuk membuat bahan bakar gantian (biofuel), bijih besi, arang baru, gandum, jagung, kacang soya dan minyak sawit mentah.

Peningkatan harga komoditi itu adalah di luar kawalan Kerajaan Malaysia kerana ia ditentukan oleh kuasa pasaran di peringkat antarabangsa.

Dalam pasaran domestik, situasi pasaran dan bekalan beras yang tidak menentu akan mendorong pihak-pihak tertentu dalam negara ini untuk memanipulasi pasaran, seperti menyorok barang, dengan tujuan untuk menaikkan harga dan mengaut keuntungan.

Perbuatan seperti ini menganiaya dan membebankan rakyat dan tindakan tegas perlu dikenakan ke atas mereka yang memanipulasikan pasaran.

Pada masa yang sama rakyat juga perlu mengelak daripada budaya pembelian panik dan spekulatif berikutan daripada khabar angin tentang bekalan beras yang selalunya dimanipulasikan oleh pelaku pasaran. Ini terjadi pada komoditi minyak masak pada Disember 2007 dan diselesaikan segera oleh kerajaan pada Januari 2008.

Pengguna kita masih terikat dengan budaya khabar angin (maklumat salah dan maklumat palsu) lebih-lebih lagi dengan wujud khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyebarkan maklumat dengan cepat.

Kini SMS merupakan perantara maklumat yang hebat di kalangan masyarakat, selain perantara tradisional akhbar dan televisyen. Kini terdapat hampir 24 juta pelanggan telefon selular dalam negara dengan kadar penembusan 85 peratus. Ini bererti daripada setiap 100 orang, 85 orang mempunyai telefon selular.

Dalam suasanan trend harga komoditi makanan lain terus meningkat di pasaran dunia dan serantau, kerajaan memberi jaminan kepada rakyat dengan tidak akan menaikkan harga beras dan memastikan bekalannya mencukupi.

Padi dan beras dari semua jenis adalah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Untuk mengekalkan kebajikan pengguna dan petani dalam suasana inflasi sekarang, kerajaan memperuntukkan subsidi padi sebanyak RM1 bilion pada tahun ini, iaitu peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tahun 2003.

Pada tahun lepas, subsidi padi yang ditanggung kerajaan ialah RM949 juta. Terdapat juga gesaan untuk mewujudkan stok penimbal beras dalam menangani krisis bekalan makanan pada masa hadapan.

Pengeluar beras negara, Kedah kini diperintah oleh kerajaan Pas menyumbang hampir 800,000 tan atau 40 peratus kepada pengeluaran beras negara. Ini diikuti dengan Perak (12 peratus) dan Kelantan (11 peratus).

Dalam konteks landskap politik, lima negeri yang dikuasai oleh pembangkang melalui Pakatan Rakyat menyumbang hampir 60 peratus kepada bekalan beras negara.

Sarawak yang baru-baru diisytihar negeri jelapang padi kedua, selepas Kedah, menyumbang hampir tujuh peratus dalam pengeluaran beras negara. Terdapat juga cadangan untuk menjadi Sabah sebagai jelapang padi ketiga.

Pengisytiharan negeri jelapang padi, berserta pendekatan agropolitan dalam industri padi dan beras, boleh mendorong negara mencapai tahap sara komoditi makanan yang secukupnya dan ke arah status menjadi negara pengeksport bersih beras seperti Vietnam dan Thailand.

Krisis pasaran komoditi makanan beras di Asia secara langsung memberi peringatan kepada penggubal dasar untuk mengkaji semula Dasar Pertanian Negara Ketiga yang akan tamat pada tahun 2010.

Mereka perlu merasionalkan struktur industri padi dan beras negara serta pasarannya bagi meningkatkan tahap sara diri komoditi makanan beras ke arah 100 peratus.


[Utusan Online, 11/4/08]

1 comment: