Membangunkan insan ke tahap cemerlang daripada sudut jasmani, emosi, rohani dan jasmani bukan mudah. Usaha yang dirancang harus berpaksikan akidah tauhid dan roh keimanan yang kental. Justeru, pendekatan holistik melalui pendidikan adalah salah satu kaedah bagi menghasilkan insan cemerlang lantas membentuk ummah gemilang.
Hasil daripada pelbagai seminar dan perkongsian serta perancangan yang rapi, maka terlaksana Program j-QAF (singkatan kepada Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain). Idea pelaksanaan program itu yang dilontarkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2004 memang perlu diteruskan bagi memperkasa sistem pengajaran penduduk Islam di sekolah.
Suntikan tenaga baru melalui pelantikan guru graduan Pengajian Islam dari universiti awam dan luar negara telah menjadikan program j-QAF dipacu oleh tenaga muda yang sentiasa segar dan kreatif dengan idea baru dan berinovasi.
Antara lain, apa yang diharapkan melalui pelaksanaan program j-QAF ini ialah murid-murid dapat khatam al-Quran pada tahun enam mereka di sekolah rendah, malah lebih awal daripada itu andai semua pihak bekerja keras dan bekerjasama merealisasikannya.
Selain itu, diharapkan murid-murid dapat berkomunikasi dalam Bahasa Arab terutama aspek komunikasi mudah seharian. Dengan adanya tambahan guru-guru j-QAF ke sekolah, diharap tiada murid yang keciciran dari segi kemahiran ibadah fardu ain terutama ibadat solat. Semua kemahiran di atas memerlukan penguasaan terhadap jawi. Maka sudah tentu aspek penulisan dan pembacaan jawi juga menjadi keutamaan dalam sistem pengajaran j-QAF.
Pengajaran pemulihan jawi dilaksanakan dengan inovasi pembelajaran menggunakan pelbagai kaedah seperti permainan, lagu, multimedia dan seumpamanya. Inovasi ini memberikan suntikan semangat untuk anak-anak mempelajari jawi dengan lebih intensif dan menarik.
Sementara pengajaran Iqra dan al-Quran melalui Model Enam Bulan Khatam al-Quran dan instrumen latih tubi tasmi' banyak membantu anak-anak mempelajari al-Quran dengan lebih bersistematik. Sementara kaedah pengajaran Baghdadiah dan Iqra diadun cantik melalui gaya Talaqqi Musyafahah mengikut kemampuan murid.
Sesi tasmi yang dijalankan adalah peluang untuk guru melakukan semakan terhadap perkembangan murid di samping mencatat dan menilainya di dalam buku rekod yang disediakan.
Pengajaran Bahasa Arab yang setakat ini banyak menumpukan kepada aspek komunikasi seharian dilihat mampu menanamkan minat di kalangan anak-anak untuk mendalami ilmu bahasa Arab. Alangkah indahnya perasaan seorang guru apabila disapa oleh murid dengan ucapan 'selamat pagi' , 'apa khabar' dalam bahasa Arab.
Diharapkan dengan semangat ini anak-anak kita nanti berminat untuk mentafsir dan mengkaji ilmu Islam yang bertunjangkan bahasa syurga ini berkat motivasi mempelajari Bahasa Arab yang tertanam sejak kecil lagi.
Pemerkasaan pengajaran fardu ain melalui program j-QAF juga nyata memberikan impak yang amat baik terhadap soal ibadah anak. Pengajaran amali solat misalnya yang diselang-selikan dengan pelaksanaan Kem Bestari Solat dapat memastikan tiada seorang pun daripada anak-anak tercicir dari mendalami aspek bacaan dan perlakuan solat.
Beberapa program tambahan seperti Kem Literasi al-Quran (KLAQ) dilaksanakan bagi membasmi kadar murid yang lemah penguasaan terhadap pembacaan al-Quran manakala kempen kesedaran tambahan seperti Kempen Smart Salam menyuntik semangat cintakan kepada adab Islami sesuai dengan pendekatan Islam Hadhari yang mementingkan aspek akhlak dan moral yang terpuji di dalam membangun ummah.
Berdasarkan pelaksanaan j-QAF, seandainya dilaksanakan dengan baik serta mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak, maka tiada lagi masalah buta jawi di kalangan anak-anak dan mereka tidak menghadapi masalah untuk membaca kitab ilmu lantas menyedari bahawa kegemilangan keilmuan adalah resipi utama untuk menuju kecemerlangan diri apatah lagi menjana ummah yang gemilang.
Sementara penguasaan terhadap al-Quran ditambah dengan kemampuan mentafsir ayat-ayat al-Quran akan menyingkap pintu kejahilan serta merungkai seribu satu rahsia ilmu yang dipelopori Islam dengan misi yang sama untuk memajukan diri demi mencetus kegemilangan ummah.
Penguasaan terhadap bahasa Arab pula akan bertindak sebagai penambah nilai dan prasyarat untuk mendalami ilmu Islam yang masih banyak perlu diterokai. Dengan menguasai bahasa Arab juga ia akan membuka lebih banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Asia Barat walaupun untuk mempelajari ilmu perubatan, seni bina dan kejuruteraan.
Universiti di negara Arab seperti Universiti Al-Azhar turut menawarkan kursus bagi melahirkan profesional berminda pendakwah yang kelak muncul sebagai Daie' yang tidak hanya boleh berbahasa Arab malah mempunyai kepakaran profesional dan ikhtisas setaraf dengan graduan dari negara Eropah.
Selain itu, didikan fardhu ain yang mencukupi terutama pengamalan solat yang kukuh ilmunya mampu melonjakkan prestasi keinsanan ke mercu jaya kerana solat itu adalah tarbiah ruhiyyah dan jasadiah yang cukup hebat untuk menonjolkan kecemerlangan insan di dalam usaha menjana ummah yang gemilang.
[Berita Harian Online, 2/4/2008]
Salam...
ReplyDeleteSaya ingin bertanya mengenai masalah2 yang timbul ketika para pelajar mempelajari JQAF buat kali pertama..
Terima kasih
Arie, boleh cuba lawat di sini, http://www.j-qaf.net/index.php
ReplyDelete