Ibu bapa adalah sumber inspirasi anak-anak ketika proses membesar. Perhatian anak-anak kepada kedua ibu bapa mereka semakin terserlah ketika peringkat pembesaran dari umur satu hingga tujuh tahun kerana pada masa ini mereka hendakkan jawapan kepada semua soalan. Mahu ataupun tidak, ibu bapa tidak boleh melepaskan diri daripada terlibat dalam peringkat perkembangan ini. Dalam erti kata lain, ibu bapa mesti melibatkan diri dalam dunia kehidupan anak-anak.
Banyak manfaat yang menanti jika penglibatan ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan setiap masa. Salah satu daripadanya ialah dapat membantu mereka merasai kasih-sayang dan pengalaman diambil berat. Selain itu, ia mengeratkan rasa mahabbah suami isteri dan mampu mengelakkan konflik keluarga dalam jangka masa panjang.
Kanak-kanak yang ibu bapa mereka aktif mengambil berat menunjukkan prestasi yang lebih baik di sekolah, mempunyai harga diri yang tinggi dan dapat membina hubungan sosial yang lebih baik dengan rakan-rakan dan persekitaran.
Bagaimana ibu bapa boleh mengambil bahagian yang aktif dalam kehidupan anak-anak mereka?
Kunci kepada kejayaannya ialah bijak menggunakan ruang dan masa seharian. Pasangan suami isteri yang dapat menggunakan masa-masa emas setiap hari dengan optimum mempunyai peluang yang besar untuk melibatkan diri dalam kehidupan anak-anak.
Aktiviti yang sangat kerap bagi sesebuah keluarga ialah makan bersama, sama ada makan tengah hari atau makan malam. Pastikan peluang makan bersama ini tidak berlalu begitu sahaja kerana banyak perkara yang boleh diisi ketika ini. Perkara utama ialah pastikan wujud komunikasi dua hala yang aktif ketika makan kerana proses memberi nasihat, menegur dan membimbing sangat mudah dilakukan ketika berkumpul bersama. Tetapi perlu diingat, elakkan masa makan sebagai medan untuk menajamkan kemahiran berleter ibu atau bapa kerana ia tidak membantu amalan makan bersama ini.
Selain waktu makan, masa senggang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk mengetahui apa yang difikirkan dan dirasa oleh anak-anak tentang sesuatu perkara di dalam hidup mereka. Jika anak-anak masih kecil, ibu bapa boleh menggunakan masa sebelum tidur untuk bercerita atau membaca buku kegemaran mereka. Masa inilah cara berfikir dan kecenderungan anak-anak dapat diselidiki seluas-luasnya tentang apa yang mereka suka, benci atau impikan. Kalau impian mereka itu munasabah dan berfaedah, ianya boleh ditunaikan dengan segera. Jika anak-anak sudah besar panjang, adalah lebih baik bagi ibu bapa mencari ruang informal untuk mengetahui apa yang difikirkan oleh mereka.
Pendidikan menjadi lebih mudah dan menyeronokkan apabila ibu bapa dapat membantu anak-anak. Ibu bapa yang prihatin pasti akan menawarkan diri membantu masalah pembelajaran mereka seperti menerangkan tugasan yang diberi oleh guru dan pada masa yang sama mengambil peluang bersembang tentang nilai-nilai kegigihan ketika belajar, kesungguhan membuat tugasan sekolah atau sabar menghadapi kesukaran belajar. Ibu bapa tidak perlu melaburkan wang yang banyak untuk menghantar anak-anak ke kem motivasi jika dapat menerapkan nilai-nilai "super" ini di dalam rumah.
Penulis buku best seller "La Tahzan" Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni menyifatkan kegagalan pelajar bukan kerana mereka bodoh dan tidak memahami kejayaan, tetapi kerana kemalasan mereka belajar dan membuat ulang kaji pelajaran. Berbeza di antara pelajar yang cerdas tetapi malas, pelajar yang biasa-biasa mampu pergi lebih jauh kerana sifat-sifat rajin, cekal, bersemangat dan bersungguh-sungguh yang terbina di dalam diri.
Hukum alam juga tidak pernah berubah. Siapa yang rajin, aktif, bersungguh-sungguh dan mahu bersusah-payah mencapai kejayaan, dia akan meraih kecemerlangan. Anak-anak yang berjaya, ibu bapa sendiri mesti giat berusaha, bekerja kuat, bersungguh-sungguh, rela tidak tidur malam untuk menemani anak-anak belajar, berlumba dengan waktu dan bersaing dengan ibu bapa yang lain.
Keinginan dan harapan tidak dapat diraih dengan hanya berangan-angan, akan tetapi dunia ini hanya dapat diraih oleh orang yang mahu berusaha keras dan bersungguh-sungguh. Cita-cita yang luhur dan tekad yang kuat merupakan satu nyalaan api yang membara dan lurah jiwa yang mendidih, mampu menjana sikap pantang menyerah, cekal, sabar dan terus berusaha.
Setiap sekolah mempunyai aktiviti kokurikulum masing-masing sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Ibu bapa yang bijak tidak akan melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan anak-anak mereka memberi galakan dan panduan untuk menajamkan kemahiran-kemahiran khusus seperti kepimpinan, komunikasi, pengurusan diri atau hubungan sosial dengan rakan-rakan. Sekiranya ibu bapa ingin benar mengambil berat tentang tahap pencapaian anak-anak dalam kegiatan kokurikulum berkenaan, berjumpa dan berbincang dengan guru yang bertanggungjawab adalah satu usaha yang sangat terpuji.
Ibu bapa biasanya lebih arif tentang hobi atau minat anak-anak dalam sesuatu bidang. Contohnya bermain bola sepak, membaca buku atau asyik dengan alat permainan video. Hobi atau minat seperti ini harus diberi sentuhan midas supaya bakat dan kecenderungan berkenaan digilap dan dibina dengan sistematik. Letakkan harapan yang tinggi kepada mereka supaya menjadi pemain bola sepak bertaraf profesional tetapi berpelajaran tinggi, suka membaca tetapi menghasilkan puluhan buku ilmiah atau tidak berenggang dengan playstation tetapi menjadi seorang pakar pengaturcara komputer . Ibu bapa boleh bersama-sama mengambil bahagian untuk memantapkan hobi anak-anak di samping dapat memantau dan membimbing mereka menghargai minat tersebut.
Seterusnya penglibatan ibu bapa yang semakin penting dan tidak dapat dielakkan ialah mengambil tahu ibu dan bapa kepada rakan anak-anak. Sekali-sekala melawat mereka ini dapat membina jambatan perhubungan dan persahatan yang akrab. Apatah lagi ketika ini masyarakat diserabutkan dengan anak-anak lari dari rumah, anak diculik dan anak-anak remaja yang terlibat dengan gejala sosial. Mengenali ibu dan bapa rakan anak-anak boleh menjadi satu jaringan sosial tidak formal, menjadi mata dan telinga atau pemberi maklumat tidak rasmi bagi membendung kegiatan songsang anak-anak.
Peranan ibu bapa semakin mencabar setiap masa. Walaupun ada di antara mereka yang meletakkan peranan berkenaan kepada sistem pendidikan agama dan institusi pendidikan, tugas hakiki sebagai ibu bapa tidak boleh dipandang remeh. Ibu bapa "super" akan mengambil berat apa saja yang berkaitan anak-anak supaya semua maklumat berada di dalam pengetahuan mereka berdua. Anak-anak tidak boleh dibiarkan keluar dari rumah bersendirian sebelum tiba waktunya kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku sebaik sahaja mereka melangkah keluar ke jalan raya.
Melibatkan diri dalam kegiatan masyarakat seperti Rukun Tetangga atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman ibu bapa untuk lebih sensitif bagi mengawal pergerakan anak-anak demi masa depan yang lebih baik.
Bekerja keras menyara keluarga lebih utama daripada ibadat sunat. Melahirkan anak soleh bakal menjadi amal jariyah kepada ibu bapanya apabila mereka sudah tiada.
Anak perempuan menjadi perisai daripada api neraka. Anak-anak juga menjadi sumber keberkatan rezeki bagi keluarga dan ibu bapanya. Justeru, bersabar dan jangan bosan kepada anak-anak. Ibu bapa "super" melihat anak-anak sebagai pembahagia hati dan jiwa yang tidak ditandingi dengan kebahagiaan yang dijanjikan harta kekayaan.
Amat malang dan keliru sekali bagi mereka yang menganggap kebahagiaan adalah istana yang mewah, anak-anak yang hidup senang-lenang, bekerja dengan jawatan tinggi atau harta yang melimpah. Kebahagiaan adalah solat yang khusyuk, membaca al-quran dengan penuh penghayatan, sikir kepada Allah swt, makanan yang sihat dan anak-anak yang soleh.
No comments:
Post a Comment