Wednesday, April 23, 2008

Baik buruk bersara umur 60 tahun







Cadangan menaikkan umur persaraan kakitangan awam dari 56 tahun ke 60 tahun mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai. Dua tiga tahun yang lepas, isu ini menjadi perbualan utama di kalangan pensyarah universiti awam kerana ramai di antara mereka yang bersetuju jika langkah berkenaan menjadi kenyataan. Kakitangan di dalam perkhidmatan lain juga bersetuju jika umur persaraan dinaikkan kerana pengalaman dan keupayaan kesihatan kebanyakan mereka juga masih berada pada tahap yang memuaskan.

Para pekerja di Barat sudah lama menikmati skim persaraan ketika umur 60 tahun ini dan juga beberapa buah negara di Asia turut mengambil langkah yang serupa. Malaysia masih berada di kelompok yang enggan mengikut perkembangan ini kerana pelbagai sebab. Antaranya ialah kos membayar gaji.

Jika dikatakan bermula di Barat, baik kita soroti langkah berkenaan dilaksanakan atas beberapa alasan yang munasabah. Pertama sekali ialah bilangan pekerja muda yang semakin berkurangan kerana kadar pertambahan penduduk yang semakin rendah. Penuaan merupakan masalah besar kepada organisasi dan institusi sosial di Barat. Semakin ramai warga tua bermakna keperluan untuk mereka juga bertambah. Ketika ini timbul idea untuk meningkatkan umur persaraan supaya hanya orang tempatan yang mengisi jawatan utama di sektor awam dan swasta.

Namun begitu, sikap masyarakat yang percaya kepada keluarga kecil menghadapi masalah untuk menyokong kebajikan warga tua seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi membayar keperluan mereka. Dari mana kerajaan negara Barat hendak mempastikan wang sentiasa cukup untuk dibayar kepada golongan tua itu? Mahu ataupun tidak, umur bersara mesti dinaikkan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat dari negara-negara dalam Kesatuan Eropah dan juga negara berpenduduk padat seperti India, China dan Pakistan.

Malaysia belum menghadapi masalah peningkatan warga tua secara mendadak jadi kerajaan masih dapat mengelak daripada melaksanakan dasar ini supaya kos tanggungan berkenaan dapat disekat buat sementara waktu.

Trend negara-negara dunia yang meningkatkan umur persaraan memberi mesej kepada pembuat polisi betapa kaedah ini dapat menyelesaikan masalah tenaga kerja mahir, mengurangkan penggunaan tenaga imigran dan meluaskan skop ekonomi.

Umur bersa 60 tahun adalah kredit terbesar kepada kemajuan negara. Dengan umur rakyat Malaysia yang semakin panjang iaitu 75 tahun secara purata bagi lelaki dan perempuan, kemampuan kesihatan yang baik dan tahap produktiviti yang tinggi, mereka masih berupaya memberi khidmat terbaik kepada kerajaan.

Bekerja pada usia tua menjadikan kehidupan mereka lebih aktif dengan aktiviti sosial sama ada di dalam jabatan atau di kawasan kediaman mereka. Pergaulan sesama rakan sekerja membantu mengurangkan rasa sunyi jika mereka bersara. Manakala kerja-kerja aktiviti sukarela dapat memberi manfaat kepada organisasi kerana khidmat kepakaran yang diberikan boleh menyelesaikan banyak kerumitan ketika membuat keputusan.

Bekerja menjadikan hidup lebaik baik dan seronok. Masyarakat warga emas hidup di dalam dunia tersendiri yang berbeza dengan orang muda atau kanak-kanak. Justeru mempunyai hala tuju sendiri yang perlukan suntikan kegembiraan, pengharapan dan peringatan.
Mereka juga belajar untuk menerima kenyataan hidup bahawa sepanjang sejarah hidup mereka, perkara pertama yang harus diakui ialah menerima apa sahaja pengalaman lepas. Jadi mereka belajar untuk berpuas hati dengan keadaan hidup sekarang tanpa dapat merungut lagi.

Dengan kelebihan empat tahun, organisasi tidak mengeluarkan belanja yang besar untuk melatih kakitangan baru dan secara langsung dapat menjimatkan kos latihan. Pengalaman yang ada di dalam diri kakitangan berpengalaman adalah sangat berharga untuk ditukar ganti dengan kakitangan baru yang masih kurang pengalaman. Sebagai contoh, ketua kerani mempunyai hampir semua pengalaman pentadbiran pejabat. Kepada mereka inilah pegawai dan kakitangan lain membuat rujukan dan meminta nasihat. Dia tahu dan sensitif dengan pekeliling baru, perubahan polisi pentadbiran atau pengenalan baru sesuatu dasar yang berkait dengan rumah tangga pejabat.

Walaupun ramai yang beranggapan pekerja tua sering kali masuk dan keluar hospital untuk mendapat rawatan, perkara ini memang tidak dapat dinafikan ada benarnya. Namun begitu, bagi mereka yang masih kuat dan mampu bekerja, peluang berkenaan tidak akan dilepaskan oleh majikan berbanding pekerja yang sering sakit apabila mencapai umur pertengahan 50-an. Bukan sahaja dirinya tidak akan bekerja malah majikan akan menasihatkannya untuk tidak menyambung kerja supaya keadaan kesihatannya dapat dijaga. Jadi, persoalan kakitangan tua akan menjejaskan perkhidmatan kerajaan tidak akan timbul lagi.

Meningkatkan umut bersara dikatakan menambah bilangan penganggur di negara kita. Dengan jumlah kakitangan awam di sekitar satu juta, pengangguran tidak dapat dielakkan jika graduan dan lepasan institusi pengajian tinggi memilih sektor awam sebagai tempat kerja. Kerajaan harus bertindak dengan menggerakkan sektor swasta supaya keperluan tenaga kerja negara dapat diisi.

Pada masa yang sama, pengangguran ini bukan hanya disebabkan bilangan pekerja yang ramai di sektor awam sebaliknya pertambahan bilangan pekerja asing turut mengundang pengangguran ini. Untuk mengatakan umur bersara 60 tahun menyebabkan graduan kita menganggur adalah tidak tepat kerana pekerjaan masih banyak tetapi tidak diisi oleh pekerja tempatan sebaliknya diisi oleh orang Indonesia, Nepal, Bangladesh atau Vietnam.

Kemajuan IT telah banyak mengurangkan pergantungan kerajaan kepada pertambahan bilangan kakitangan. Walaupun ada di kalangan warga tua ini masih kurang faham benar dengan sistem komputer, tetapi kesediaan mereka untuk belajar adalah lebih mudah dan lebih jimat daripada mendapatkan kakitangan baru yang tahu serba-serbi tetapi enggan belajar. Justeru adalah lebih baik dan mudah daripada mengekalkan kakitangan lama dan beri latihan kepada mereka. Manakala bagi pekerja muda, masa mereka akan tiba di mana ketika itu sistem komputer di pejabat sudah berada pada tahap sempurna dan kerajaan tidak memerlukan bilangan kakitangan yang ramai.

Baik dan buruk meningkatkan umur bersara bergantung kepada keperluan kerajaan. Jika ia membawa keuntungan dari segi ekonomi, kebajikan dan kemakmuran negara sewajarnya langkah itu dipercepatkan. Jika kerajaan hanya memikirkan kos yang terpaksa ditanggung untuk membayar gaji, elaun dan kemudahan perubatan, ia samalah dengan mengatakan rakyat Malaysia wajar meninggal dunia pada usia 45 tahun supaya masalah pengangguran graduan tidak lagi menjadi masalah besar dan semuanya mendapat pekerjaan.

Rumusannya, umur bersara pada usia 60 tahun adalah satu idea yang baik dan perlu diteruskan supaya produktiviti diri kakitangan awam sentiasa kekal pada tahap terbaik dan kemajuan negara dapat diteruskan.


2 comments:

  1. Anonymous12:31 PM

    Bagus juga hujah hujah anda. Tetapi Bagus juga umur persaraan di usia 56 tahun kerana.. Produktiviti warga tua tidak akan setanding dengan golongan muda atas sebab kesihatan, tenaga, focus. Ianya memberi peluang kepada golongan muda yang mempunyai idea idea baru untuk bekerja dan membangunkan industri. Zaman teknologi IT perlu di beri peluang golongan muda untuk mengaplikasikan kemahiran dan menambahkan pengetahuan mereka. Biarlah pekerja 56 tahun ke atas bersara dan menumpukan perhatian pada keluarga, keagamaan, hobi dan melaksanakan impian yg sukar di capai ketika sibuk bekerja seperti melancong, balik ke negara china menziarahi saudara mara yg jauh, menunaikan haji, meluangkan masa dengan anak2 dan cucu cicit, menurunkan ilmu kepada generasi akan dtg seperti membuat kraftangan, memasak resepi keturunan, menjahit, berdafwah dan sebagainya ..


    Peace :)

    ReplyDelete
  2. Anonymous12:04 AM

    Sebagai seorang ketua unit dlm sebuah jabatan kerajaan, saya sangat tidak setuju jika bersara dinaikkan ke 60 tahun. Ini kerana apabila melihat kesungguhan seseorang kakitangan yang telah kian lama berkhidmat didalam sesebuah jabatan, komen yang sentiasa didengar adalah prestasi kerja amat menurun. Pekerja hanya berminat untuk bekerja sehingga 60 tahun atas dasar dapat menikmati bayaran gaji lumayan tetapi tidak berminat untuk menaikkan prestasi kerja. Alasan sentiasa ada. Dan alasan yang menjadi minat ramai adalah "boleh keluar pejabat sesuka hati dengan hujung bulan ada gaji". saya berfikir bukan semua pegawai atasan dapat mengubah cara pemikiran pegawai peringkat bawahan. Jadi kerajaan harus lebih mementingkan prestasi mutu kerja yang menguntungkan dan bukannya mendengar belas kasihan yang tidak setimpal yang tidak mungkin dapat diterima oleh sebahagian kakitangan.

    ReplyDelete