Marah
Seorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah saw, katanya:
Perintahkan aku suatu pekerjaan dan mohon disedikitkan perintah itu.
Maka nabi saw bersabda: Jangan engkau marah.
Lelaki itu mengulangi lagi permintaannya dan dijawab Rasulullah saw dengan jawapan yang sama. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Allah swt telah memuji orang yang dapat menahan marahnya sebagaimana firmannya di dalam al-quran:
Orang-orang yang menahan kemarahannya dan memberi maaf kesalahan orang.
Sabda nabi saw:
Sesiapa yang menahan marahnya yang mana jika dia mahu bertindak dia boleh bertindak, nescaya dipenuhi Allah hatinya dengan keamanan dan keimanan pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud)
Marah adalah sifat buruk yang merosakkan seluruh kehidupan. Fikiran yang dikuasai marah tidak mampu untuk bertindak dengan rasional. Berapa ramai orang yang menyesal apabila memikirkan kembali perbuatan dan tindakannya yang melampaui batas ketika marah? Banyak berlaku di dalam masyarakat kita di mana seorang pesalah meraung dan menangis kerana menyesal memukul rakannya, membunuh sahabat baiknya atau membelasah rakan sekerjanya.
Beberapa hari yang lalu kita membaca laporan seorang bapa telah menyerbu seorang guru di sekolah anaknya kerana marahkan guru berkenaan. Tanpa usul periksa si bapa ini menampar dan menumbuk muka guru di hadapan pelajar-pelajar yang sedang makan di kantin dan melepaskan marahnya dengan begitu garang. Guru yang dipukul akhirnya membuat laporan polis dan mendapatkan khidmat nasihat daripada guru besar dan persatuan guru untuk tindakan selanjutnya.
Kemarahan begini mengundang masalah besar kepada pelajar tersebut dan bapanya. Semua guru pasti akan memulaukan pelajar berkenaan dan terpulanglah kepada si ayah untuk mencari guru yang terbaik untuk anaknya. Tidak wajar bagi seorang bapa yang bertindak melulu tanpa mengetahui perkara sebenar.
Sifat marah dan panas baran sering mengundang pelbagai masalah. Jika tidak hari ini ia akan berlaku juga pada masa hadapan yang kita tidak tahu bila akan berlaku.
Seorang ahli perniagaan yang menjadi bos di pejabatnya, suatu hari begitu marah dengan prestasi kerja kakitangannya. Dengan bahasa yang kesat dan caci-maki, dia memaki hamun pekerjanya tanpa rasa belas ihsan. Pekerja itu akhirnya berhenti kerana tidak tahan dengan kemarahan bosnya yang cakap lepas dan tidak berhati perut. Sebelum itu pun sudah ramai kakitangannya yang telah berhenti kerja kerana tidak sanggup untuk bekerja dengan sikap marah dan panas baran ahli perniagaan ini.
Masa berlalu tetapi dia masih belum berubah. Ada saja bahasa kesat yang dilemparkan kepada kakitangannya walaupun kesalahan yang kecil.
Suatu hari seseorang menelefon ayah ahli perniagaan ini dengan nada marah yang menggerunkan. Si ayah terperanjat tetapi terpaksa melayan juga kemarahan pemanggil. Akhirnya, apabila si pemanggil bertanyakan nama si ayah, ternyata dia telah memarahi orang yang salah dan meminta maaf. Tetapi si ayah sudah pun terkejut dan sesak nafas kerana terpaksa menahan marah. Tidak lama kemudian ayah ahli perniagaan ini meninggal dunia kerana terkejut apabila dimarahi oleh pemanggil telefon yang tersalah marah.
Balasan Allah swt kepada mereka yang zalim sangat cepat jika orang yang teraniaya itu memohon doa.
Dalam kehidupan seharian kita, kadangkala bahasa kita nadanya tajam, kasar dan setiap perkataan hanya dipenuhi dengan ancaman dan perkara-perkara yang menakutkan. Kamus bahasanya adalah cacian, makian, jolokan buruk dan bersifat menghina.
Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni menulis di dalam buku "Beginilah Zaman Memotivasikan Kita":
Ada seorang lelaki yang kewujudannya menjadi azab bagi keluarga dan tetangganya. Mempunyai perilaku kasar, perangainya menakutkan, wajahnya ganas, tidak sabar, pemarah, ringan tangan, sudah tidak terkira lagi berapa kali dia memukul isterinya. Sebahagian anak-anaknya lari meninggalkannya kerana tidak tahan tinggal bersama, tetangga di kanan dan kiri pun mengeluh dengan perilakunya yang kasar dan menakutkan tersebut.
Jika pulang ke rumah, seisi rumah terus diam, anak-anaknya ketakutan, sekadar tersenyum sahaja tidak pernah, apatah lagi tertawa dan bercanda. Setiap kalimatnya selalu membuatnya langsung marah, tangannya cepat sekali memukul, perkataan yang keluar dari mulutnya selalu cacian dan herdikan. Dia tidak mempunyai kawan, hidupnya suram, keruh dan hanya dipenuhi amarah, kewujudannya hanya menjadi azab bagi dirinya sendiri, keluarga dan tetangga.
Hati yang marah penuh dengan bisikan syaitan yang mendorong kepada kebencian, dengki dan ingin membalas dendam. Orang yang sedang marah tidak ada belas, apa yang dilihat adalah "beraja di mata, bersultan di hati." Hanya dirinya yang betul dan orang lain semuanya salah.
Perasaan marah boleh menimbulkan dendam yang berpanjangan. Perkelahian jiran, rakan sekerja atau sahabat handai menjadi panjang jika tidak ada kemaafan dan berlapang dada dengan apa yang berlaku. Kemarahan yang tidak dihentikan dengan memberi maaf akan dibawa sehingga ke anak cucu dan tidak ada penghujungnya.
Sebagai contoh, jolokan nama yang buruk dapat mengguris hati. Gelaran "bodoh" "bahlul" dan sebagainya adalah gelaran buruk kepada orang lain. Setiap panggilan ini mempunyai tenaga negatif yang menarik tindakan negatif juga. Orang yang dipanggil dengan gelaran itu tentu akan menarik muka masam dan menyimpan dendam berpanjangan malah boleh jadi sampai ke tahap pukul-memukul. Benar juga pepatah, "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa." Jika tidak pandai menjaga mulut, bersedialah dengan sepak terajang dan maki hamun orang.
No comments:
Post a Comment