Thursday, March 19, 2015

Perkemaskan pendidikan prasekolah








Langkah kerajaan memperuntukkan berbilion ringgit setahun dalam setiap bajet tahunan dalam sektor pendidikan negara telah mengubah keadaan hidup masyarakat Malaysia keseluruhannya. Ketika awal merdeka dahulu, kita pernah mendengar sekolah orang dewasa bagi mereka yang buta huruf dan ketika itu tidak banyak sekolah seperti hari ini khususnya di kawasan penduduk padat, dua atau tiga buah sekolah boleh dilihat. Justeru tidak hairanlah, dalam Bajet 2006 kerajaan memperuntukkan 29 bilion ringgit untuk menjana sektor pendidikan negara.

Pendedahan mengenai 114,000 murid sekolah rendah tahun dua hingga enam yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira (3M) membuatkan kita gusar dan cemas seketika apatah lagi tempoh mencapai Wawasan 2020 cuma tinggal lima belas tahun. Walaupun peratusan golongan ini cuma tiga peratus tetapi kesannya sangat ketara kerana boleh mendatangkan implikasi sosial ke atas masyarakat.

Kita berharap Kementerian Pelajaran akan membuat kajian ke atas kelompok yang terlibat melalui program jangka panjang yang menghapuskan terus masalah ini. Penjelasan yang dibuat oleh Setiausaha Agung NUTP mengenai kekurangan guru bagi mengendalikan kelas pemulihan wajar diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran.

Namun begitu, jika inilah masalah utamanya, Kementerian terbabit boleh menyelesaikan isu ini dalam masa yang singkat melalui pengambilan guru yang lebih ramai. Apatah lagi permohonan yang diterima untuk guru semakin bertambah. Teknik mengajar guru-guru kita juga turut bertambah baik kerana pendedahan yang diberi.

Masalah kemudahan infrastruktur sekolah yang daif dan menyedihkan tidak dapat dijadikan sebagai alasan mutlak kegagalan pelajar-pelajar ini kerana ada sesetengah negara yang terbelakang daripada Malaysia masih boleh melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan berbakat.

Kekhuatiran yang perlu difikirkan ialah kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan khususnya pendidikan prasekolah. Objektif pendidikan prasekolah ialah menyediakan pengalaman pembelajaran yang sangat berguna kepada kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun bagi menyuburkan potensi sedia ada termasuk perkembangan mental, fizikal dan spiritual. Dengan menguasai kemahiran asas inilah, sikap mereka terhadap pendidikan menjadi positif.

Kajian yang dilakukan oleh kumpulan sokongan Legal Momentum dan Pusat Kerja Institut Teknologi Massachussetts mengenai kesan ekonomi dan kesan-kesan lain terhadap kebaikan prasekolah sangat baik. Daripada 123 kanak-kanak Afrika Amerika yang berpendapatan rendah dan berisiko tinggi tercicir daripada sekolah, separuh daripadanya yang mendapat pendidikan awal berkualiti didapati berkemungkinan besar untuk tamat sekolah tinggi, mempunyai pekerjaan dan berisiko lebih rendah bergantung kepada badan kebajikan atau dipenjarakan kerana terlibat dengan jenayah. Kanak-kanak yang mendapat permulaan awal yang cemerlang kurang memerlukan kelas pendidikan khas yang mahal dan berkemungkinan besar berjaya memasuki universiti.

Jadi, kempen yang menggerakkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah tadika atau pusat pembelajaran bahasa harus dimulakankan. Usaha kerajaan untuk menguatkuasakan pendidikan prasekolah ini wajar dinilai dari segi persediaan keluarga keseluruhannya. Bagi keluarga di bandar, ia tidak menjadi masalah yang ketara kerana sedikit sebanyak kemudahan ke arah itu telah disediakan. Masalahnya ialah di luar bandar yang berkait rapat dengan status ekonomi dan kemudahan prasarana. Jika di bandar, bagi kanak-kanak yang lembab dan lemah, terdapat guru khas yang akan memantau perkembangan kemajuan mereka. Kesedaran ibu bapa turut membantu secara tidak langsung seperti menghantar anak-anak ke kelas tambahan dan turut bersama-sama mempelajari teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak yang cemerlang.

Pihak kerajaan juga boleh melihat sistem pendidikan di negara-negara Scandinavia seperti Finland yang berjaya melahirkan masyarakat berilmu kelas dunia. Pengiktirafan terhadap guru di sana memang sangat hebat seperti kemudahan gaji, elaun dan kemudahan pengajaran. Hasil keputusan kajian antarabangsa 2003 yang dilakukan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah menempatkan Finland di tempat teratas daripada 40 buah negara yang diuji dalam subjek sains dan tahap celik huruf. Menariknya sistem pendidikan Finland ialah kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan formal ketika berusia 7 tahun dan hanya memperuntukkan 30 jam seminggu untuk kerja sekolah berbanding 50 jam seminggu yang diamalkan oleh pelajar-pelajar Korea.

Masalah-masalah yang berkaitan pelajar turut berlaku di Finland tetapi jumlahnya sedikit sekali. Sungguhpun kes-kes buli, salah guna dadah dan tidak beradab dengan guru seringkali kedapatan, para pendidik di sana akan mencari jalan untuk mengatasinya secepat yang boleh. Daripada 62,000 pelajar sekolah menengah yang menamatkan pengajian setiap tahun, hanya 1000 yang tercicir dan separuh daripadanya akan kembali untuk melengkapkan pengajian mereka.

Kejayaan Finland membentuk sistem pendidikan bertaraf dunia bukanlah mengambil jangka masa yang singkat malah telah melalui beberapa siri eksperimen. Sehingga pertengahan 1970-an, para pelajar diasingkan melalui ujian pada usia 10 tahun untuk menentukan aliran masing-masing sama ada akademik ataupun vokasional. Kaedah ini dikritik kerana adalah terlalu sukar untuk mengubah sesuatu aliran kerana banyak masa yang telah dihabiskan untuk menyesuaikan diri dengan aliran pendidikan yang berkenaan. Kritikan seterusnya ialah cabaran ke arah melahirkan sistem pendidikan yang selari dengan dunia ekonomi semasa. Bagi mereka, adalah lebih mudah bagi masyarakat yang berteraskan k-ekonomi untuk dilatih selari dengan perkembangan kerjaya yang baru.

Eksperimen seterusnya ialah menggunakan pendekatan “pemusatan pelajar” yang memberi lebih kuasa kepada guru dan lebih perhatian ke atas keperluan individu pelajar. Langkah pertama ialah menghapuskan peperiksaan kebangsaan pada usia 10 tahun dan para pelajar dibenarkan untuk meneruskan pelajaran hingga umur 16 tahun. Sekitar tahun 1980-an, semua pelajar dari pelbagai tahap keupayaan dan kebolehan dikumpulkan dalam kelas yang sama. Akhir sekali, pada tahun 1994 sistem pendidikan telah dirombak secara besar-besaran dengan pihak sekolah dan guru telah diberi kebebasan untuk menyediakan keutamaan pendidikan masing-masing. Kejayaan sistem pendidikan Finland disebabkan oleh ciri-ciri berikut :

1. Guru yang terlatih

Walaupun gaji tidak begitu banyak tetapi kerjaya perguruan begitu berprestij. Universiti hanya menerima satu daripada tujuh permohonan untuk mengikuti bidang pendidikan. Ternyata menjadi guru sangat sukar berbanding peguam dan doktor.

2. Guru mempunyai autonomi yang luas

Mereka bebas menentukan metod pengajaran, kurikulum dan bebas memilih dan menentukan buku teks. Autonomi ini sangat ketara hinggakan para guru tidak tertakluk pada pemantauan dan penilaian yang kerap. Dengan kata lain, setelah diterima menjadi guru, seseorang itu telah diberikan kepercayaan secara automatik oleh sistem yang telah wujud itu.

3. Pelajar diajar menilai diri sendiri

Guru diberi tanggungjawab melatih para pelajar mereka menilai diri sendiri sejak dari sekolah tadika. Cara ini dapat membentuk pelajar yang bertanggungjawab ke atas kerja-kerja mereka. Seterusnya dapat melahirkan pelajar yang bebas melakukan tugasan berdasarkan tahap tanggungjawab tersebut. Pada peringkat awal persekolahan, aspek penilaian diri hanyalah membuat ekspresi diri sama ada gembira atau sedih. Peringkat yang lebih tinggi pula, para pelajar akan menulis tahap pencapaian diri yang selalunya dibuat pada penghujung tahun.

4. Pelajar digalakkan berdikari

Guru melatih dan memberi galakan kepada pelajar mereka untuk mencari sendiri maklumat yang dikehendaki tanpa bergantung sepenuhnya kepada buku-buku teks. Keupayaan mencari maklumat ini sangat penting dalam proses mencari ilmu kerana jika menulis atau menyalin semula apa yang dikatakan oleh guru, para pelajar tidak akan belajar apa-apa.

5. Pelajar lemah diberikan sokongan berterusan

Barangkali inilah aspek pencapaian pendidikan terpenting di Finland. Usaha ini telah merapatkan jurang perbezaan di antara pelajar cemerlang dan lembap dalam OECD. Masalah lemah dalam pelajaran dan perubahan tingkah laku adalah peluang bagi para guru untuk memperbaiki teknik pengajaran. Setiap pelajar ini mempunyai matlamat pembelajaran tersendiri; mula-mula, pupuk minat untuk datang ke kelas; kemudian datang belajar tepat pada masanya; seterusnya bawa buku dan sebagainya. Guru mempunyai tanggapan positif terhadap pelajar yang tidak mahu buat kerja sekolah kerana yang penting ialah mencuba. Mungkin hari lain pelajar berkenaan akan melakukannya tanpa disuruh.

Kejayaan guru-guru di Finland melahirkan pelajar kelas dunia banyak dibentuk oleh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan khususnya pada awal-awal usia persekolahan. Umpamanya guru tidak mengkritik atau memarahi pelajar jika melakukan kesilapan kerana hal demikian akan memberi malu kepada pelajar berkenaan seterusnya enggan lagi belajar. Falsafah yang dipegang ialah setiap orang dibenarkan membuat kesilapan. Bagi meningkatkan harga diri, para pelajar diminta membandingkan pencapaian mereka hanya dengan rakan-rakan dari tahap berbeza, bukannya sesama sendiri. Kejayaan sistem pendidikan di Finland banyak disumbangkan oleh faktor kesabaran, toleransi dan komitmen ke arah kecemerlangan serta falsafah pengajaran yang sangat menarik iaitu jika saya gagal mendidik dan mengajar pelajar saya, kaedah pengajaran sayalah yang salah.

Memetik ungkapan Pendita Za’ba di dalam bukunya “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” iaitu “Setiap orang daripada sesuatu bangsa dan setiap kumpulan daripada mereka yang bekerja masing-masingnya atau bersama-sama oleh sebab kuat bergantung kepada diri sendiri dan percaya akan kebolehan sendiri, adalah bekerja bagi kejayaan bangsa itu dan kemajuannya adalah Kemuliaan dan Kemakmurannya”. Apa lagi yang boleh menghalang anak-anak muda generasi masa depan negara dari berjaya dalam hidup selain daripada tidak peduli dan memandang rendah tentang kepentingan pendidikan khususnya pendidikan awal.



No comments:

Post a Comment