Sunday, March 08, 2015

Pengiktirafan terhadap sistem pendidikan Malaysia








Saaya Harada tiba-tiba menjadi perhatian kerana mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2014. Kebanyakan akhbar menyiarkan kejayaan itu pada muka hadapan. Kemampuan Harada menajdi perhatian kerana beliau merupakan seorang pelajar Jepun yang bersekolah di sekolah aliran kebangsaan.

Kejayaan Harada juga menjadi sejarah dalam sistem pendidikan Malaysia dan lebih bersejarah apabila Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, Langkawi mencatatkan keputusan SPM paling cemerlang dalam sejarah penubuhan sekolah tersebut.

Harada mempunyai susur kejayaan bermula dari UPSR dan PMR.

Beliau datang ke Langkawi kerana mengikut ibu dan bapa yang membuka perniagaan restoran di pulau itu. Semasa di sekolah rendah, beliau kurang mahir bahasa Melayu namun ibu dan bapanya telah menyusun program kecemerlangan akademik sendiri. Beliau dimasukkan ke kelas tuisyen dan belajar bahasa Melayu sehingga fasih. Di dalam rumah beliau berbahasa Jepun manakala di luar rumah berbahasa Melayu. Oleh kerana sentiasa bersama pelajar-pelajar Melayu, akhirnya beliau dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik.

Boleh dikatakan Langkawi menjadi tempat Harada belajar bahasa Melayu loghat Kedah. Beliau berpendapat bahasa Melayu merupakan bahasa yang lebih senang dipelajari berbanding bahasa Inggeris.

Sistem pendidikan di Malaysia sudah berubah seiring dengan kemajuan negara. Kejayaan Harada mendapat 9A merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada sistem pendidikan di Malaysia sama ada di peringkat rendah atau menengah. Ia juga merupakan satu bentuk keyakinan yang tinggi terhadap sistem penilaian yang diguna pakai untuk menguji keupayaan pelajar di negara ini.

Dari sudut yang lain, Harada memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar Melayu di Langkawi untuk berusaha bersungguh-sungguh. Ia juga menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar asing yang ragu-ragu terhadap keupayaan sistem pendidikan kebangsaan yang berupaya melahirkan pelajar pintar.

Melihat kembali kejayaan Harada, terdapat tiga faktor yang menentukan kejayaan beliau. Pertama, sokongan ibu dan bapa beliau yang sentiasa menggalakkan budaya kecemerlangan. Kesungguhan kedua-dua ibu dan bapanya menghantar ke kelas tuisyen sudahpun berbaloi. Beliau mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan menguasai bahasa Melayu dengan baik. Kedua, perhatian daripada guru. Kejayaan dalam peperiksaan tahunan telah memberi galakan kepada guru-guru di sekolahnya untuk berusaha memberi tunjuk ajar yang terbaik kerana beliau merupakan harapan sekolah. Ternyata, perhatian yang diberikan itu telah mencatat sejarah sekolah. Ketiga, nilai dan budaya kecemerlangan bangsa Jepun. Orang Jepun terkenal dengan budaya mahu buat yang terbaik, lalu, nilai ini diterjemahkan melalui sikap dan budaya dalam akademik. Kejayaan Harada ini tentulah membanggakan masyarakat Jepun sendiri.

Persaingan dalam akademik tidak berlaku hanya dalam kalangan pelajar Malaysia malah mula menjangkaui pelajar dari luar negara. Sistem pendidikan yang mengiktiraf kebolehan intelektual pelajar ini wajar diperkasakan supaya lebih ramai pelajar dari negara luar merasai sendiri keupayaan pelaksanaan pendidikan di Malaysia. Hal ini secara secara tidak langsung merupakan kejayaan inisiatif pemerkasaan sekolah aliran kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.



No comments:

Post a Comment