Saturday, March 21, 2015

Buang bayi dan keruntuhan akhlak








Semasa mencari-cari bahan untuk memahami dengan lebih mendalam isu-isu sosial di Malaysia khususnya gejala sosial, saya mendapatkan kertas kerja yang dibentangkan oleh Hashim dan rakan-rakannya dari Universiti Teknologi Malaysia dalam Seminar Kaunseling Keluarga 2008. Tajuknya ialah ‘Keruntuhan akhlak dan gejala sosial di Malaysia: isu dan cabaran’.

Kandungan kertas kerja ini sangat menarik kerana menerangkan keadaan sebenar gejala sosial yang sedang berlaku dalam masyarakat. Walaupun data dan statistik lebih fokus pada Negeri Johor, keadaannya lebih kurang sama dengan negeri-negeri lain. Sebakul masalah akhlak sentiasa menjadikan golongan yang prihatin dengan remaja dan belia berada dalam keadaan resah.

Sejak tahun 2000 hingga 2006, sejumlah 580 kes pembuangan bayi dicatatkan di negara ini. Tempat-tempat awam seperti rumah ibadat, taman bunga dan kawasan rekreasi menjadi tumpuan mereka yang panik dan hilang akal untuk meninggalkan bayi. Ada sesetengah kes, beg yang mengandungi bayi ditinggalkan di pintu pagar masjid semasa waktu subuh. Bagi ibu-ibu yang baik hati, anak yang baru lahir tanpa nikah ini diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau diserahkan kepada pihak polis.

Negara-negara Barat dan Jepun turut mempunyai kaedah sendiri untuk menyelamatkan bayi yang dilahirkan tanpa nikah. Kerajaan menyediakan tempat khas di balai bomba, pejabat pos dan hospital yang dibuka 24 jam supaya remaja yang terlibat dapat menyerahkan bayi kepada petugas. Walaupun pernah ada cadangan di Malaysia untuk mewujudkan pusat khusus untuk membuang bayi, idea berkenaan tenggelam begitu sahaja apabila dibantah pelbagai pihak.

Buang bayi bukan sahaja melambangkan akhlak remaja yang sudah hancur malah meletakkan masa depan generasi akan datang dalam golongan yang dimurkai Allah swt. Di Amerika Syarikat, dianggarkan 1,714,643 bayi dilahirkan di luar perkahwinan pada tahun 2007 yang membentuk 39.7 peratus daripada keseluruhan kelahiran (usnews.com, 2009). Di Malaysia, terdapat pengusaha rumah tumpangan dan hotel bajet yang menyediakan bilik bagi pasangan bukan muhrim bangsa Melayu untuk melakukan hubungan seks dengan pakej RM30 untuk dua jam dan RM50 untuk satu malam berasmara. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian.

Apakah penyelesaian kita? Apakah hendak menunggu kerajaan mengambil tindakan memperkenalkan undang-undang yang tegas tetapi pada masa yang sama membiarkan bunga-bunga zina berleluasa? Pertubuhan bukan kerajaan juga tidak mampu untuk melaksanakan program pembinaan akhlak kepada semua remaja kerana mereka juga mengalami masalah kakitangan dan peruntukan yang terhad. Jadi siapa dan bagaimana kita harus bertindak?

Islam mempunyai penyelesaian yang komprehensif. Sabda Raslullah saw yang bermaksud, ‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.’ (Riwayat Malik, Ahmad, hakim, At Tabarani dan Bukhari). Contoh terbaik yang boleh diikuti ialah peribadi Rasulullah saw dalam semua aspek kehidupan- mendidik anak-anak, keperluan fizikal, mental dan spiritual, adab dalam bergaul, memimpin dan bermasyarakat.

Inilah contoh sebaik-baik model dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Jika kita ingin mengetahui lebih lanjut kenapa baginda saw seorang manusia yang hebat, kita boleh baca buku karangan Michael Hart, ‘The most influential man in history’ yang meletakkan Nabi Muhammad saw sebagai orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia.

Soalannya, kenapa orang tidak bersungguh-sungguh mengikuti dan mengamalkan ajaran Islam khususnya rukun Islam yang lima? Masih ramai orang Islam yang tidak mengambil berat tentang solat, walaupun surau dan masjid hampir dengan rumah namun agak berat punggung untuk berjemaah di samping kurang melaksanakan dakwah dan amar ma’ruf nahi mungkar.

Kita tidak perlu menunggu anak-anak gadis yang hamil dengan bangga menayangkan anak luar nikah mereka kerana ia adalah lambang kepada kemurkaan Allah swt dan kehancuran masyarakat.


No comments:

Post a Comment