Saturday, March 14, 2015

Masyarakat Baba Nyonya










1.0 Pengenalan

Kajian ini merupakan kajian tentang masyarakat Baba Nyonya yang wujud di Malaysia. Kaum peranakan Baba Nyonya sudah wujud di negara ini sejak 600 tahun lalu dan Melaka merupakan satu-satunya negeri yang merupakan koloni terbesar masyarakat unik ini bertapak. Fenomena ini berlaku pada zaman sebelum Kesultanan Melayu Melaka di mana kedatangan rombongan Laksamana Cheng Ho bersama Puteri Hang Li Po dan para pengiringnya ke Melaka untuk mengadakan hubungan diplomatik.

Menurut penerangan tradisional, pada 1459, Raja Cina telah menghantar Puteri Hang Li Po kepada Sultan Melaka sebagai satu tanda penghargaan kepada penghormatannya. Pengikut-pengikut puteri tinggal di Bukit Cina pada mulanya dan akhirnya lahirnya Peranakan. Mereka memanggil diri mereka sebagai "Baba" atau "Peranakan" kerana kebudayaan mereka, yang berasal daripada warisan tradisi Cina, mempunyai unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu.

Sejak beberapa kurun, Peranakan telah mewujudkan satu budaya yang unik dengan mengekalkan banyak tradisi Cina seperti meraikan perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tanglung dengan mengikut budaya tempatan. Pada pertengahan abad ke-20, kebanyakan Peranakan dididik oleh Inggeris, akibat daripda penjajahan British atas Malaya dan kecenderungan gologan tersebut mudah menerima budaya baru.

Disebabkan Peranakan mudah menerap budaya Inggeris dan berpendidikan, kebanyakan jawatan perkhidmatan dipenuhi oleh mereka. Interaksi antara British dengan mereka menyebabkan mereka memeluk agama Kristian. Hal ini menyebabkan masyarakat Peranakan menjadi berpengaruh di Melaka dan Singapura serta mereka lebih dikenali sebagai King’s Chinese (Cina Raja) kerana mereka lebih taat kepada Mahkota British.

1.1 Latar Belakang Kajian
      
Masyarakat Baba Nyonya merupakan kaum minoriti yang dipercayai berasal dari Melaka. Baba Nyonya di Melaka adalah Cina Peranakan di mana nenek moyang mereka telah datang dan berkahwin dengan orang tempatan. Kebanyakan mereka yang berasal dari wilayah Hokkien, China telah berhijrah ke Melaka sejak 600 tahun dulu ketika Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan.

Pada mulanya mereka datang ke Melaka untuk berdagang dan mencari pekerjaan lalu berkahwin dengan orang tempatan. Anak lelaki dipanggil Baba dan anak perempuan dipanggil Nyonya. Perkahwinan campur yang berlaku di antara kaum-kaum Cina dan Melayu adalah punca utama mengapa generasi-generasi seterusnya memanggil mereka sebagai "Baba".

Baba Nyonya mengamalkan agama-agama tradisional Cina, menyambut Tahun Baru Cina dan perayaan Tanglung, sambil mengamalkan adat resam Melayu dan penjajah Barat. Pengaruh Portugis, Belanda, British, Melayu dan Indonesia meninggalkan kesan dalam budaya Peranakan.

Pakaian masyarakat Baba Nyonya terdiri daripada baju kebaya (baju panjang dan batik sarung) dan kerongsang. Rekaan kasut manik tradisional sering memperlihatkan motif bunga Eropah dan warnanya dipengaruhi oleh tembikar Peranakan dan sarung batik. Mulai 1930-an, kasut manik menjalani perubahan dengan diberi rekaan moden dan ditambah tumit. Suku Peranakan di Indonesia ada baju kebaya tersendiri, terutamanya ‘kebaya encim’, serta mengembangkan corak batik tersendiri yang bermotifkan Cina.

Perkahwinan tradisional Baba Nyonya merupakan satu majlis yang berlangsung selama 12 hari. Menurut mereka, jika orang yang sama berkahwin sekali lagi pun, dia tidak akan berpeluang untuk mempunyai upacara sebegini sekali lagi. Segala urusan mencari jodoh bagi anak perempuan akan diuruskan oleh ibu bapa dan mereka tidak boleh membantah keputusan orang tua. Jika seseorang perempuan itu belum berkahwin sebelum usia 20 tahun, mereka akan dianggap sebagai anak dara tua, mereka juga akan mengalami kesukaran dalam soal mencari jodoh. Bagi pihak lelaki pula, mereka selalunya akan berkahwin dalam usia 20 tahun.

Masyarakat Baba Nyonya masih lagi percaya kepada pawang dan bomoh. Kebiasaannya mereka pergi berjumpa bomoh apabila seseorang bayi sentiasa menangis dengan tidak henti-henti. Mereka percaya bahawa anak mereka telah disampuk dengan jin ataupun hantu. Tujuan mereka pergi berjumpa dengan pawang tersebut untuk meminta tolong menghalau atau membuang jin atau hantu tersebut daripada mengganggu anak mereka.

Selain itu juga, masyarakat Baba Nyonya juga percaya akan perubatan tradisional dalam perubatan penyakit. Contohnya dalam penyakit demam campak atau ‘chicken pox’, masyarakat Baba Nyonya akan berjumpa dengan bomoh untuk mendapatkan air penawar untuk diminum dan dijadikan air untuk mandi.

1.2 Objektif Kajian   

Objektif kajian ini dilakukan adalah untuk memahami  cara  hidup, pakaian, perkahwinan dan  perayaan  Baba Nyonya  dengan lebih mendalam dan juga supaya  budaya  masyarakat  Baba  Nyonya  diwarisi  secara  turun-temurun.

1.3 Kepentingan Kajian

Pertamanya, kajian ini dibuat untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman generasi muda tentang budaya masyarakat Baba Nyonya. Hal ini disebabkan kebudayaan masyarakat Baba Nyonya semakin dilupakan. Kajian ini sangat penting kepada generasi baharu Baba Nyonya supaya tidak melupakan amalan dan pegangan masyarakat Baba Nyonya dahulu yang diambil daripada masyarakat Melayu. Seterusnya, kajian ini juga dilakukan untuk menjadi panduan kepada orang ramai untuk memahami keunikan dan perbezaan tentang kebudayaan masyarakat Baba Nyonya dengan kebudayaan kaum lain di Malaysia. Akhirnya, maklumat dan hasil kajian ini akan menjadi pengetahuan atau aset yang berguna kepada orang ramai terutamanya generasi muda. Hal ini dapat menggalakkan generasi muda untuk menerusi warisan kebudayaan masyarakat Baba Nyonya.

1.4 Limitasi Kajian    

Dalam proses  menjalankan  kajian ini,  beberapa  limitasi  kajian  yang berkemungkinan berlaku seperti maklumat-maklumat penyelidikan amat  sukar  diperolehi  semasa  lawatan  ke  Muzium  Warisan  Baba Nyonya  disebabkan  sumber-sumber  dalam  muzium  tersebut  adalah  terhad, kurang  mendapat  kerjasama  daripada  responden  dan responden  mungkin  memberi  jawapan  yang  tidak  jujur.


2.0 Sorotan Literatur 

Kajian literatur memaparkan mengenai konsep-konsep yang digunakan dalam kajian dan beberapa literatur yang membentuk latar belakang analisis dan pemahaman. Kepentingan kajian literatur adalah untuk membuat penyelidikan secara sistematik dan melibatkan pengumpulan bukti yang boleh digunakan sebagai asas untuk bukti yang menyeluruh. Kajian-kajian lepas perlu digunakan dalam penyelidikan kerana kajian tersebut dapat menyokong dan memberi panduan kepada penyelidik untuk membuat penyelidikan. Pada masa yang sama, penyelidik juga dapat memperbaiki kajian-kajian yang telah dibuat dahulu mengikut perkembang penyelidikan.

Berikut merupakan kajian-kajian lepas masyarakat Baba Nyonya dalam beberapa aspek-aspek yang tertentu.

Budaya

Kaum Baba Nyonya amat terkenal dengan pelbagai masakan asam pedas dan kuih tradisional yang begitu sedap dan menarik di mana resepinya ada persamaan dengan masakan masyarakat Melayu seperti ondeh-ondeh, kuih apom balik, cendol dan tapai pulut. Walau bagaimanapun, masakan Baba adalah masakan campuran masyarakat Cina dan Melayu tetapi masih beridentitikan masakan Baba. Masakan Nyonya pula lebih kepada daging dan sayur-sayuran. Masakan Nyonya biasanya pedas dan menggunakan banyak cili. Bagi masyarakat Baba, penggunaan cili yang banyak di dalam masakan merupakan satu identiti yang membezakan antara masyarakat Baba dan Cina. Antaranya ayam pongteh, ayam kunyit cili, masak lemak dan ayam kunyit cili. Di antara masakan Nyonya yang menerima pengaruh Melayu adalah seperti penggunaan belacan, bauh keras, asam lengkuas dan serai. Manakala, masakan Nyonya yang mengekalkan tradisi masakan Cina ialah itik tem (daging itik dimasak dengan sayur asin), selain itu, kuih cang Abu juga merupakan masakan istimewa bagi masyarakat Baba.

Pakaian

Golongan Nyonya amat sinonim dengan pemakaian baju kebaya dengan kain sarung. Selain itu, Baba Nyonya juga turut memakai pakaian kaum Cina. Kaum Nyonya juga mempunyai kasut yang agak unik seperti kasut manik. Kasut manik ialah alas kaki buatan tangan yang memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi untuk menghasilkannya dari jalinan manik kaca yang bersigi-segi halus yang dijahit pada kain terpal. Rekaan kasut manik tradisional sering memperlihatkan motif bunga Eropah dan warnanya dipengaruhi oleh tembikar peranakan dan sarung batik. Mulai tahun 1930-an, kasut manik menjalani perubahan dengan diberikan rekaan moden dan ditambahkan tumit.

Tarian

Pada hari tertentu seperti perayaan dan majlis perkahwinan masyarakat Baba Nyonya akan mempersembahkan tarian seperti Tarian Singa, Fu Kien Opera dan Dondang Sayang Baba Nyonya

Perkahwinan

Seperti kaum lain, kaum Baba Nyonya juga turut mempunyai adat resamnya tersendiri. Perkahwinan kaum ini banyak mengikut cara perkahwinan seperti masyarakat Cina seperti upacara Cheo Thau. Upacara cheo thau dimulakan di rumah pengantin perempuan terlebih dahulu di mana sam kai (colok) akan dinaikkan mengadap pintu utama ruang tamu. Seterusnya ibu bapa pengantin akan memasang lilin merah di atas meja yang disediakan. Cheo thau merupakan satu upacara penyatuan di antara suami isteri. Upacara ini dilakukan bagi memberitahu kedua-dua mempelai bahawa mereka akan berkahwin dan akan menghadapi masyarakat luar tanpa perlindungan daripada keluarga mereka lagi. Upacara ini dijalankan pada waktu pagi antara tiga hingga empat pagi atau waktu malam. Dalam pada itu kain yang dilapik atas meja sam kai dikenali sebagai tok wee. Kain tok wee ini mengandungi pelbagai warna dan disulam dengan hiasan corak lapan abadi dan juga hiasan yang mewakili perlanjutan, kemewahan dan pengajaran. Di atas kain sam kai terdapat dua batang lilin merah. Lilin ini dicorakkan dengan lapan potongan. Manakala pada bahagian belakangnya pula terdapat mangkuk-mangkuk kecil yang diisikan dengan kuih “ih” yang berwarna-warni. Kuih ini digelek dengan tangan hingga bulat dan dimasukan bersama-sama dengan air gula yang telah dimasak. Kuih “ih” ini juga digunakan oleh pasangan pengantin pada upacara seterusnya.

Dimensi kepercayaan masyarakat Baba Nyonya masih terpengaruh dengan kepercayaan masyarakat Melayu adalah amat terkesan dan ia memperlihatkan masih wujud asimilasi dalam masyarakat Baba Nyonya. Keputusan ini disokong oleh pendapat masyarakat Baba Nyonya yang menyatakan bahawamasyarakat Baba Nyonya masih lagi percaya kepada pawang dan bomoh. Kebiasaannya mereka pergi berjumpa bomoh apabila seseorang bayi sentiasa menangis dengan tidak henti-henti. Mereka percaya bahawa anak mereka telah disampuk dengan jin ataupun hantu. Tujuan mereka pergi berjumpa dengan pawang tersebut untuk meminta tolong mereka menghalau atau membuang jin atau hantu tersebut daripada mengganggu anak mereka. Demikian juga, ibu yang hamil tidak boleh keluar rumah pada waktu senja. Pada waktu tersebut dikatakan syaitan, iblis dan hantu mula berkeliaran. Mereka percaya bahawa darah ibu yang mengandung anak sulung sangat disukai oleh pontianak dan langsuir. Sekiranya terpaksa juga keluar, ibu tersebut dikehendaki membawa barangan yang diperbuat daripada besi, antaranya pisau untuk menakutkan hantu. Selain itu juga, masyarakat Baba Nyonya juga percaya akan perubatan tradisional dalam perubatan penyakit. Contohnya dalam penyakit demam campak atau ‘chicken pox’, masyarakat Baba Nyonya akan berjumpa dengan bomoh untuk mendapatkan air penawar untuk diminum dan dijadikan air untuk mandi.

Kebanyakan masyarakat Baba Nyonya telah menggunakan peralatan moden dan aktiviti memasak. Hal ini kerana peralatan yang lebih canggih, mudah, dan cepat telah wujud di pasaran. Teknologi ini adalah hasil teknologi dari Jepun. Akan tetapi, dapur arang yang digunakan oleh masyarakat Melayu seketika dahulu masih lagi digunakan oleh masyarakat Baba Nyonya untuk memanggang ikan serta menyalai makanan-makanan lain. Hal ini kerana rasa makanan akan berbeza apabila menggunakan peralatan elektrik. Keenakan makanan tersebut tidak dapat dirasai. Dikatakan bahawa apabila makanan tersebut dipanggang menggunakan dapur arang, makanan tersebut lebih manis dan lebih enak.

Hasil kajian telah menunjukkan bahawa masyarakat Baba Nyonya bukan sahaja menggabungkan warisan budaya Melayu dalam warisan budaya mereka sendiri, malah mereka mengambil inisiatif menggabungkan dua budaya menjadi satu budaya yang unik. Sudah jelas, sejak dahulu lagi masyarakat Baba Nyonya memang terkenal dengan muzik dan lagu-lagu yang juga digunakan oleh masyarakat Melayu. Pengaruh puisi tradisional Melayu iaitu pantun begitu popular dalam kalangan masyarakat Baba Nyonya. Hasil penyelidikan telah menggambarkan masyarakat Baba Nyonya telah melatari kehidupan mereka dengan budaya Melayu terutamanya Dondang Sayang yang dilagukan dalam upacara-upacara yang tertentu sahaja dan ketika diperlukan. Bagi generasi baharu kini, muzik yang berunsurkan tradisional seperti pantun atau keroncong yang popular dalam kalangan masyarakat Baba Nyonya seketika dahulu kini telah berkurangan mendapat tempat di hati mereka kerana pelbagai muzik moden telah mempengaruhi generasi kini.

Mereka lebih gemar masakan seperti rendang, lemak cili api, masak lemak, tumis dan sambal. Penggunaan serai, daun pandan, dan santan kelapa kerap digunakan dalam sajian seharian mereka sama seperti masyarakat Melayu menggunakan bahan tersebut dalam masakan seharian. Kebanyakan responden menyatakan mereka lebih gemar masakan seperti gulai kari, sambal, tumis dan masak lemak. Bahan yang digunakan untuk memasak, mereka menggunakan lesung batu untuk menumbuk bahan-bahan tersebut. Ini adalah salah satu warisan budaya Melayu. didapati bahawa apabila menggunakan lesung batu untuk menumbuk bahan masakan, ini akan menghasilkan satu aroma masakan Melayu tradisional dan keenakan masakan tersebut terserlah. Ada juga yang menggemari kuih-kuih tradisional Melayu seperti dodol, bahulu dan cendol resepi Melayu. Mereka sendiri akan membuat dodol untuk majlis perayaan. Keadaan ini telah memperlihatkan bahawa pengaruh makanan dan masakan tradisi Melayu masih tetap utuh dalam masyarakat Baba Nyonya walaupun sekukuh dan seteguh dahulu, namun pengaruh ini masih memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Baba Nyonya kini.

Antara permainan yang biasa dimainkan oleh kanak-kanak masyarakat Baba Nyonya seperti layang-layang, batu seremban, tintin, permainan getah dan congkak. Hal ini kerana kebanyakan mereka tinggal di perkampungan Melayu. Oleh itulah anak-anak mereka berkawan dan bermain permainan Melayu. Malah bukan itu sahaja, mereka juga dihantar oleh keluarga mereka ke sekolah kebangsaan. Dari situlah mereka mengenali permainan tradisi Melayu dan bermain bersama-sama dengan kawan-kawan Melayu.


3.0 Metodologi

Bahagian ini akan membincang tentang reka bentuk kajian, kerangka konsep, populasi dan sampel kajian, instrumen kajian serta analisis data.

3.1 Reka Bentuk Kajian

Reka bentuk kajian ialah pelan tindakan yang memperlihat secara terperinci bagaimana sesuatu kajian itu dilaksanakan. Reka bentuk kajian berfungsi sebagai panduan dalam membantu penyelidik untuk mengumpul, membuat analisis dan tafsiran daripada kajian yang dilaksanakan. Untuk membolehkan penyelidik membuat inferens berkenaan pemboleh ubah yang dikaji, reka bentuk kajian juga menjadi modelnya. Reka bentuk kajian telah dibahagikan kepada dua jenis iaitu reka bentuk kuantitatif dan reka bentuk kualitatif. Kajian ini merupakan kajian yang melibatkan reka bentuk kualitatif iaitu kaedah etnografi dan sejarah. Bagi reka bentuk kuantitatif pula, kajian ini telah menggunakan kaedah tinjauan.

Kaedah etnografi merupakan satu kajian yang mengkaji dan menghurai ciri-ciri budaya dan kehidupan sesuatu kumpulan atau komuniti. Ciri-ciri kaedah ini ialah melakukan penyiasatan terhadap tema-tema budaya yang berasaskan antropologi budaya. Kajian terhadap tingkah laku, kepercayaan dan bahasa yang diamalkan dalam sesuatu kumpulan telah dilakukan. Selain itu, huraian tema-tema dan interpretasi dalam konteks kumpulan juga dijalankan.

Dalam kajian ini, kajian sejarah juga digunakan. Kajian ini adalah satu kajian yang menjalankan kajian terhadap rekod dan penulisan lampau secara sistematik dengan mengumpul, menilai, mengesah dan sintesiskan fakta untuk menghubung kait dengan peristiwa kini atau akan datang.

Kajian tinjauan merupakan kajian bukan berbentuk eksperimen yang paling popular digunakan. Kajian ini dilaksanakan ke atas sampel dalam sesuatu populasi. Sampel yang dipilih mestilah mempunyai ciri-ciri populasi yang ingin diselidik supaya maklumat yang didapat melalui kajian berkenaan boleh memberi kenyataan dan gambaran umum tentang keseluruhan populasi yang dikaji.

3.2 Kerangka Konsep (Model Kajian)

Untuk memberi penjelasan tentang perhubungan antara pemboleh ubah dengan pemboleh ubah yang dikaji, satu model telah dicadangkan. Model ini dirangka dan dibentuk berasaskan budaya masyarakat Baba Nyonya. Kajian tindak balas responden dalam tahap pemahaman budaya masyarakat Baba Nyonya didahului dengan mengenal pasti ciri-ciri demografi.

Ciri-ciri demografi yang dikaji adalah seperti jantina, umur, tempat tinggal, kedudukan anak dalam keluarga dan pekerjaan. Ciri-ciri demografi ini dapat mempengaruhi tindak balas responden terhadap tahap pemahaman tentang budaya masyarakat Baba Nyonya. Pemboleh ubah yang dikaji ialah jawapan responden terhadap pengetahuan tentang budaya masyarakat Baba Nyonya.

3.3 Sampel Kajian

Populasi adalah kumpulan sasaran penyelidik, di mana penyelidik berminat untuk mendapatkan maklumat dan membuat rumusan terhadap orang yang dikenal pasti sebagai responden. Dalam kajian ini, 30 orang responden yang berumur kurang daripada 36 tahun di Melaka.  

Sampel merupakan satu kumpulan responden yang dipilih daripada satu populasi. Contohnya, sekumpulan orang yang berada di kawasan Durian Tunggal.

Dalam kajian ini, kajian tinjauan telah digunakan. Kajian ini merupakan kajian yang mengkaji populasi dengan memilih sampel yang dipilih daripada sesuatu populasi untuk menemui kejadian, agihan dan perhubungan antara pemboleh ubah sosial dan psikologi. Kajian ini mereka bentuk instrumen untuk mengumpul data melalui soal selidik atau temubual. Kajian ini dapat memberi kadar respon yang tinggi.
           
3.4 Instrumen Kajian 

Instrumen ialah alat yang digunakan untuk memungut data dalam satu kajian. Terdapat dua jenis instrumen iaitu instrumen kajian kuantitatif dan instrumen kajian kualitatif. Dalam kajian ini, hanya satu instrumen kajian telah digunakan iaitu instrumen kajian kuantitatif.

Dalam instrumen kajian kuantitatif ini, soal selidik telah digunakan. Soal selidik yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada tiga bahagian, iaitu profil (A), pengetahuan tentang budaya masyarakat Baba Nyonya (B)  dan pandangan terhadap masyarakat Baba Nyonya (C).


4.0 Hasil Kajian         

Kenyataan: “Saya memahami sepenuhnya budaya dan sejarah masyarakat Baba Nyonya”.

Sebanyak empat orang atau 13% responden tidak setuju dengan penyataan tersebut, sebaliknya 20 orang atau 67% responden tidak pasti. Lima orang atau 17% responden berpendapat setuju, manakala seorang atau 3% lagi responden yang berpendapat sangat setuju.

Kenyataan: “Saya pernah ke tempat kediaman masyarakat Baba Nyonya”.

Sebanyak empat orang atau 13% responden yang berpendapat sangat tidak setuju dan tiga orang atau 10% responden yang berpendapat tidak setuju dengan penyataan tersebut.  Lapan orang atau 27% responden berpendapat tidak pasti, 12 orang atau 40% responden berpendapat setuju, manakala tiga orang atau 10% lagi responden yang berpendapat sangat setuju.

Kenyataan: “Saya pernah menonton drama yang mengisahkan kehidupan masyarakat Baba Nyonya”.

Sebanyak seorang atau 3% responden yang berpendapat sangat tidak setuju dan seorang atau 3% lagi responden yang berpendapat tidak setuju dengan penyataan tersebut. Lima orang atau 17% responden berpendapat tidak pasti, 17 orang atau 57% responden berpendapat setuju, manakala enam orang atau 20% lagi responden yang berpendapat sangat setuju.

Kenyataan: “Saya suka masakan Baba Nyonya”.

Sebanyak lima orang atau 17% responden yang berpendapat tidak setuju dengan penyataan tersebut. Hanya tujuh orang atau 23% responden tidak pasti. Sebaliknya, 13 orang atau 43% responden setuju, manakala lima orang atau 17% lagi responden yang berpendapat sangat setuju.

Kenyataan: “Saya berminat untuk mengkaji tradisi Baba Nyonya”.

Sebanyak seorang atau 3% responden yang berpendapat sangat tidak setuju dan lima orang atau 17% lagi responden yang berpendapat tidak setuju dengan penyataan tersebut. 14 orang atau 47% responden berpendapat tidak pasti, manakala 10 orang atau 33% lagi responden yang berpendapat setuju.

Kenyataan: “Saya mempunyai ahli keluarga atau kawan yang berketurunan Baba Nyonya”.

Sebanyak 12 orang atau 43% responden yang berpendapat sangat tidak setuju dan lapan orang atau 29% lagi responden yang berpendapat tidak setuju dengan penyataan tersebut. Hanya empat orang atau 14% responden tidak pasti. Sebaliknya, tiga orang atau 11% responden setuju, manakala tiga orang atau 3% lagi responden yang berpendapat sangat setuju.

Kenyataan: “Saya pernah menyaksikan cara masyarakat Baba Nyonya meraikan hari perayaan mereka”.

Sebanyak dua orang atau 7% responden yang berpendapat sangat tidak setuju dan 11 orang atau 38% lagi responden yang berpendapat tidak setuju dengan penyataan tersebut, sebaliknya, sembilan orang atau 31% responden tidak pasti, enam orang atau 21% responden setuju, manakala dua orang atau 3% lagi responden yang berpendapat sangat setuju.

Kenyataan: “Saya pernah ada keinginan untuk mengunjungi Muzium Baba Nyonya di Jalan Tun Tan Cheng Lok, Melaka”.

Sebanyak dua orang atau 6% responden yang berpendapat sangat tidak setuju dan tiga orang atau 10% lagi responden yang berpendapat tidak setuju dengan penyataan tersebut, sebaliknya, enam orang atau 20% responden tidak pasti, 17 orang atau 57% responden setuju, manakala dua orang atau 7% lagi responden yang berpendapat sangat setuju.

Kenyataan: “Budaya dan adat resam kehidupan masyarakat Baba Nyonya semakin pupus berikutan perubahan masa”.

Sebanyak dua orang atau 7% responden yang berpendapat sangat tidak setuju dan tiga orang atau 10% lagi responden yang berpendapat tidak setuju dengan penyataan tersebut, sebaliknya, lapan orang atau 27% responden tidak pasti, 13 orang atau 43% responden setuju, manakala empat orang atau 13% lagi responden yang berpendapat sangat setuju.

Kenyataan: “Budaya masyarakat Baba Nyonya patut dikekalkan untuk generasi yang akan datang”.

Sebanyak tujuh orang atau 23% responden yang berpendapat tidak pasti, sembilan orang atau 30% responden setuju, manakala 14 orang atau 47% lagi responden yang berpendapat sangat setuju.


5.0 Kesimpulan

Melalui kajian ini, penyelidik dapat mengetahui tahap pemahaman responden terhadap budaya masyarakat Baba Nyonya berdasarkan lingkungan umur, jantina, pekerjaan, tempat tinggal dan kedudukan dalam keluarga. Kebanyakan responden tidak memahami budaya dan sejarah masyarakat Baba Nyonya dengan sepenuhnya.

Selain itu, hampir separuh responden bersetuju bahawa budaya dan adat resam kehidupan masyarakat Baba Nyonya semakin pupus berikutan perubahan masa. Lebih dari 70% responden setuju bahawa budaya masyarakat Baba Nyonya patut dikekalkan untuk generasi yang akan datang.

Kajian ini telah menyedarkan penyelidik bahawa kepentingan untuk mengekalkan sesuatu budaya yang penting dan unik dalan satu negara. Masyarakat dan pihak yang berkaitan harus memberikan kerjasama yang sepenuhnya untuk memelihara masyarakat Baba Nyonya. Pelbagai usaha boleh dilakukan untuk mewariskan budaya tersebut seperti membina Muzium Baba Nyonya.

Kajian ini bertujuan untuk memahami budaya masyarakat Baba Nyonya. Berdasarkan kenyataan-kenyataan dan catatan-catatan yang dibincangkan, secara umum dapatlah dikatakan bahawa kajian ini telah memberikan banyak maklumat yang lebih mendalam tentang masyarakat Baba Nyonya di Melaka. Tidak dapat dinafikan bahawa keunikan masyarakat Baba Nyonya memainkan peranan yang penting dalam membantu pembangunan bidang pelancongan Malaysia.

Pendek kata, kita seharusnya menghargai budaya yang sedia ada dan berusaha untuk memelihara budaya masyarakat Baba Nyonya supaya generasi yang akan datang berpeluang untuk  mengenali masyarakat ini.

Hasil daripada kajian ini akan lebih kukuh dan bermakna sekiranya disusuli dengan kajian-kajian lanjutan oleh pengkaji-pengkaji lain. Oleh itu terdapat beberapa cadangan yang boleh dibuat sebagai kajian lanjutan oleh pengkaji-pengkaji lain yang berminat.

Kajian ini hanya memberikan tumpuan kepada saiz sampel yang kecil sahaja. Oleh yang demikian penyelidik yang akan datang disarankan untuk memperbesarkan lagi saiz sampel kajian. Hal ini adalah kerana apabila saiz sampel yang lebih besar digunakan, maka statistik sampel lebih mirip dengan parameter populasi yang sebenar. Keputusan kajian juga dapat mewakili keputusan yang sebenar.

Pemilihan masa yang sesuai untuk mendapatkan data atau maklumat perlu diberi perhatian. Kesesuaian masa akan menjamin maklumat yang diberikan adalah lebih jujur. Kejujuran maklum balas membolehkan penyelidikan menggambarkan situasi yang sebenar.

Maklumat-maklumat amat sukar diperuntukkan semasa melawat ke Muzium Warisan Baba Nyonya disebabkan sumber-sumber dalam muzium tersebut adalah terhad. Oleh yang demikian penyelidik yang akan datang disarankan untuk mendapatkan maklumat-maklumat dari pelbagai sumber seperti buku rujukan, internet dan sebagainya.

Semoga cadangan yang diutarakan dapat membantu penyelidikan yang akan datang dijalankan dengan lebih telus. Ketelusan kajian dapat memberi manfaat kepada kita semua untuk memahami budaya masyarakat Baba Nyonya.


Rujukan

Arbak Othman. (1999). Kamus Bahasa Melayu. Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ahmad Razali. (1985). Budaya: Arah satu bangsa. Dewan Budaya.
Jaafar Sidik et al. (1998). Kemahiran Hidup Bersepadu. Shah Alam, Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Jasman Ahmad dan Rosnah Ramli. (1997). Masyarakat Baba Melaka.
Khoo Kay Kim. (1990). Perpaduan Melaka Abad Ke-15 dan Masa Kini: Satu Perbandingan. Seminar Sejarah Sempena Perayaan Melaka Menjelang 600 Tahun: Melaka Perintis Perpaduan Dalam Kepelbagaian Di Malaysia.

http://hafizahkaab.blogspot.com/2008/07/masyarakat-baba-nyonya-di-melaka_26.html
http://makan2babanyonya.blogspot.com/p/pengenalan.html
http://melakadaily.com/baba-dan-nyonya-di-melaka
http://www.aswara.edu.my/c/document_library/get_file?uuid=c73506da-1456-4a2f-8607   


MZ Zainudin, Lim Shiow Ee, Lee Kai Bin, Ng Shi XiaN, Chin Xiao Fen, Ng Hui Hui



No comments:

Post a Comment