Sunday, March 01, 2015

Menangkis propaganda IS






Islamic State (IS) semakin menyerlah dari segi propaganda. Tindakan kumpulan ini dari semasa ke semasa tampil bersama tawanan dari pelbagai negara dengan pelbagai cara dan bentuk pembunuhan menarik perhatian seluruh masyarakat dunia. Ada dalam kalangan tawanan ini dipenggal kepala, dibakar dan ditembak beramai-ramai. Kejadian terbaru melibatkan 21 orang tawanan waganegara Mesir yang dipenggal menyebabkan kemarahan di pihak kerajaan Mesir. Sebelum itu beberapa orang tawanan dari Britain, Jerman dan Jepun menerima nasib yang sama.

Oleh kerana kerap muncul dalam klip video memenggal kepala tawanan, si tukang penggal akhirnya dikenal pasti sebagai Mohamad Emwazi dari London. Beliau berasal dari Kuwait. Gelaran untuknya adalah Jihadi John yang telah dikenali lebih awal oleh penyiasat namun tidak didedahkan untuk melindungi operasi pihak berkuasa. Belajar di University Westminster, London dalam jurusan sains komputer dan bergraduat pada tahun 2009. Mahir berbahasa Inggeris dan Arab dan bercita-cita membina kerjaya yang hebat di negara Arab.

Emwazi muncul kali pertama untuk memenggal wartawan Amerika, James Foley. Seterusnya beliau memenggal sekali lagi wartawan Amerika, Steven Sotloff, diikuti pekerja bantuan Britain, David Haines dan pemandu teksi, juga dari Britain iaitu Alan Henning. Dua rakyat Jepun menjadi mangsa seterusnya iaitu Haruna Yukawa dan Kenji Goto Jogo.

Bekas tawanan menyifatkan Jihadi John merupakan sebahagian daripada pengawal tawanan Barat di “the box”, gelaran untuk sebuah penjara di Idlib, Syria. Seorang yang pendiam, pintar dan sangat berhati-hati. Mereka mengatakan Emwazi dan kumpulannya semakin menguasai peranan penting dalam ISIS.

Media Barat mengambil kesempatan terhadap beberapa tindakan IS untuk memburukkan Islam. Semua bentuk penampilan yang berkaitan Islam diberi gambaran negatif sehingga mendorong beberapa negara Eropah merangka polisi yang condong ke arah menghalang pergerakan masyarakat Islam. Perancis mengambil langkah mengenakan hukuman ke atas wanita yang memakai purdah manakala Austria meluluskan undang-undang yang mengharamkan organisasi Islam menerima dana dari luar negara dan mensyaratkan imam mesti menguasai bahasa Jerman.

Kemunculan IS melalui pergolakan politik di Syria dan Iraq membuka ruang kepada ribuan pemuda Islam yang berfikiran radikal dan bersemangat tinggi untuk mewujudkan sebuah iklim politik baru di Timur Tengah. Mereka tidak bersetuju dengan iklim politik sedia ada dan mahukan tindakan lebih agresif dan segera. Justeru, mereka lebih senang mengangkat senjata berbanding melaksanakan dakwah dan tarbiyah. Sebahagian daripada pemuda ini adalah rakyat Malaysia yang bergerak ke Syria dan Iraq menggunakan pelbagai cara dan helah.

Pelajar atau pekerja Malaysia yang berada di Timur Tengah menggunakan kesempatan tersebut untuk menyusup masuk ke medan pertempuran manakala sebahagiannya dari Malaysia menggunakan lapangan terbang menuju ke Turki. Kes terbaru melibatkan seorang pelajar wanita berumur 14 tahun yang ditahan di KLIA sebelum sempat menaiki pesawat.

Sejauhmana pengaruh IS ke atas umat Islam Malaysia tidak diketahui dengan mendalam tetapi menunjukkan ada kelompok tertentu yang mempengaruhi dan membiayai perjalanan mereka yang terpengaruh. Laporan media berkaitan sejumlah tangkapan berkaitan gerakan IS di Malaysia tidak dapat memberi gambaran tentang tahap penglibatan sebenar kumpulan ini.

Justeru, kita masih belum mengenal pasti secara tepat punca yang menyebabkan ada orang yang terpengaruh dengan IS. Perbincangan hanya mengaitkan pengaruh ini dengan keinginan untuk berjihad, cetek ilmu agama dan meraih populariti.

Konsep jihad yang difahami menjadi faktor kritikal mempengaruhi minda golongan muda. Terdapat beberapa saluran yang digunakan oleh IS untuk mengesahkan perjuangan mereka seperti laman sesawang, blog dan ulasan yang mewajibkan umat Islam berkumpul di Syria. Antaranya adalah kenyataan bahawa kemunculan IS bertepatan dengan peristiwa akhir zaman. Oleh kerana itulah Syria menjadi tumpuan masyarakat berfahaman syiah, kristian, yahudi dan orang Islam sendiri.  Tumpuan lain adalah Imam Mahdi akan menyambut turunnya Nabi Isa AS di Damsyik seperti yang pernah disebut dalam hadis Rasulullah bahawa Nabi Isa akan turun di Menara Putih itu ketika solat subuh dan disambut oleh Imam Mahdi.

Kefahaman begini disambut oleh pendokong dan penyokong dari pelbagai negara seperti ini, “Insya Allah Imam Mahdi dan Nabi Isa Ibnu Maryam segera tiba. Buktinya panji hitam, pasukan sukses Imam Mahdi iaitu ISIS tapi jangan hairan banyak kalangan umat Islam yang menganggap ISIS adalah teroris...”

Pandangan seperti ini akan terus dilontarkan dalam media sosial untuk mempengaruhi kelompok radikal dan melihat kejayaan Islam dari kaca mata peperangan. Menghalang pengaruh IS memerlukan komitment tinggi semua pihak khususnya keluarga. Unit penting masyarakat ini merupakan pusat pembangunan kesejahteraan hidup yang menjadi lubuk kepada perkembangan individu khususnya anak-anak muda. Pihak kerajaan mesti selangkah ke hadapan dengan memberi mesej jelas kepada keluarga supaya menjaga ahli keluarga masing-masing. Institusi pendidikan juga berperanan memantau aktiviti pelajar supaya tidak cenderung ke arah kekerasan.

Menangkis maklumat salah berkaitan Islam amat dialu-alukan, justeru peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan mendedahkan hadis palsu amat dihargai. Sekurang-kurangnya lebih ramai masyarakat Islam sedar bahawa kejayaan Islam hanyalah jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW iaitu dakwah dan tarbiyah.



No comments:

Post a Comment