1.0 Pengenalan
Suatu projek telah dijalankan berkenaan subjek
Pembangunan Sosioekonomi Malaysia tentang kajian yang berkaitan dengan hubungan
sosioekonomi penduduk setempat bagi suatu kawasan kajian projek. Kajian ini
berkaitan “Pengaruh Sosioekonomi Perusahaan Resort Restu Ibu (RRI) Terhadap
Penduduk Setempat” yang lokasinya terletak di Kg. Ulu Kalong, Ulu Yam Bharu,
Selangor. Kajian dilakukan berdasarkan objektif yang diketengahkan iaitu
mengetahui statistik bilangan pengunjung
di kawasan kajian, mengetahui faktor-faktor pengaruh pelanggan untuk berkunjung
ke tempat tersebut dan lain-lain lagi.
Salah seorang daripada ahli kumpulan kami, Mohd Faridz
telah membuat kunjungan dan menemuramah pengusaha kawasan (resort) tersebut
iaitu Mohd Kamal Wahab. Segala soalan yang bakal diutarakan telah disusun atur
bagi mendapatkan maklumat dan bukti-bukti pelaksanaan kajian dan ianya telah
pun disertakan dalam laporan projek ini.
1.1 Objektif Kajian
Objektif yang pertama ialah mengkaji jenis ekonomi yang
dijalankan di Resort Restu Ibu tersebut. Sepertimana yang kita sedia maklum,
satu perusahaan keluarga melibatkan ahli yang terdapat dalam keluarga tersebut.
Dengan ini, perusahan resort ini dapat diklasifikasikan sebagai ekonomi sara
diri. Namun begitu, ekonomi sara diri yang dijalankan ini bukan dikelaskan
sebagai ekonomi sara diri yang susah sebaliknya ekonomi sara diri yang mampu
menjana pendapatan lumayan pemilik perusahaan resort itu. Secara tidak
langsung, hal ini telah menunjukkan bahawa minat orang tempatan untuk
melibatkan diri dalam perniagaan atau perusahaan seperti ini sudah semakin
meningkat.
Objektif kedua ialah mengkaji aktiviti kekeluargaan yang
dapat dijalankan di kawansan kajian (kawasan resort). Di sini, kajian ingin
melihat sejauhmana perusahaan ini dapat menyumbang kepada aktiviti yang
berfaedah terhadap pengunjung-pengunjung yang datang berkunjung ke resort
tersebut. Hal ini sangat penting dalam usaha menarik minat pelancong bukan
sahaja dari dalam mahupun luar negara. Jika pelbagai variasi aktiviti yang
diadakan, sudah tentu mampu menarik minat lebih ramai pengunjung untuk datang
ke resort tersebut.
2.0 Latar Belakang
Sejarah penubuhan kawasan pembangunan projek iaitu Resort
Restu Ibu telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2008 oleh Ketua Kampung Ulu
Kalong, Ulu Yam Bharu iaitu Tuan Haji Abdullah Sani. Resort Restu Ibu (RRI)
terletak dalam kawasan Kg. Ulu Kalong, Ulu Yam Bharu, Selangor Darul Ehsan yang
terletak berdekatan dengan Bandar Bharu Batang Kali, Selangor. Pada mulanya lokasi
projek masih belum dikenali ramai dan hanya dikenali oleh penduduk setempat. Pengusaha
resort ini ialah Mohd Kamal Wahab. Nama Resort Restu Ibu (RRI) diberi atas
penghargaan dan pemergian arwah ibu kepada pengusaha resort tersebut sebelum
resort ini dibuka secara rasmi.
Kawasan projek yang berkeluasan lima ekar ini di kelilingi
hutan dan dusun buah-buahan. Kawasan ini juga terdapat dusun buah-buahan, kebun
sayur-sayuran, sungai dan pondok. Tarikan pengunjung untuk berkunjung ke RRI
ini sangat menarik dengan adanya sungai, chalet, kemudahan tertentu dan
lain-lain lagi. Terdapat tiga chalet besaiz sederhana, dua chalet bersaiz
famili dan beranjung, dorm, dewan besar dan pondok wakaf disediakan. “Harga
yang ditawarkan adalah berpatutan dan keselesaan adalah dijamin dan pelanggan
adalah keutamaan kami”, kata pengusaha resort ini.
Pekerja berkemahiran juga diperlukan bagi membina dan
mereka bentuk sesebuah chalet yang cantik dan kreatif bagi menarik minat
pengunjung untuk bermalam di resort tersebut. Bilangan pekerja yang diambil
adalah tujuh orang dan bilangannya bertambah pada tahun lepas sehingga sepuluh
orang atas sebab kekurangan tenaga pekerja untuk menampung dan membantu
kerja-kerja perkhidmatan yang ada di RRI. Selain itu, dusun buah-buahan juga
terdapat di kawasan RRI seperti manggis, langsat, durian, pulasan dan tidak
ketinggalan juga petai. Pengunjung sendiri dapat menikmati buah-buahan tersebut
apabila datangnya musim buah-buahan.
Matlamat lain yang telah ditetapkan ialah melihat sejauh
mana hubungan sosioekonomi masyarakat tentang komitmen dan sumbangan mereka
terhadap pembangunan resort dalam kawasan Kg. Ulu Kalong. Perkara ini telah ditekankan
sepanjang menjalankan kajian lapangan ini sama ada sepanjang pembangunan resort
ini wujud impak atau kesan terhadap penduduk atau masyarakat sekeliling.
Objektif atau sasaran yang terakhir dalam kajian ini
ialah ingin mengetahui statistik jumlah pengunjung yang datang berkunjung ke
resort tersebut. Statistik ini secara tidak langsung memberi gambaran tentang
sektor perlancongan di negara kita sama ada semakin maju ataupun sebaliknya.
3.0 Metodologi Kajian
Berdasarkan latar
belakang projek yang bercirikan alam sekitar, pelbagai aktiviti yang dapat
dilaksanakan di kawasan berdekatan resort tersebut. Kebanyakan pelanggan
memilih untuk beriadah, bersantai dan ada kalanya mereka memilih untuk
menerokai kawasan hutan. Antara aktiviti menarik yang disediakan adalah seperti
“jungle tracking” ke jeram dan kolam air panas, “night walk”, memancing, “paint
ball”, sukan air dan lain-lain lagi. Aktiviti ini juga boleh dirancang mengikut
permintaan pelanggan itu sendiri.
Seterusnya, jika sesuatu program atau acara dilakukan
seperti kem motivasi, kebiasaannya pihak penganjur atau pelanggan itu sendiri
akan meminta untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah seperti senam robik, “jungle
tracking”, aktiviti sukan air, aktviti laluan berhalangan dan lain-lain lagi. Semua
aktiviti yang lakukan boleh dikendalikan oleh pihak resort ataupun pihak
penganjur. Caj perkhidmatan akan dikenakan jika ia dikendalikan oleh pihak
resort sepenuhnya. Aktiviti sukan air boleh dipelbagaikan seperti permintaan
pelanggan-pelanggan yang pernah hadir ke resort tersebut seperti tarik tali
dalam air, berakit buluh, bola tampar air dan banyak lagi.
Selain itu, bagi yang memilih untuk beriadah dan
berkelah, aktiviti yang biasa dilakukan adalah aktiviti mandi-manda, barbeku
dan bersantai di tepi sungai. Set karaoke juga disediakan bagi sesiapa yang
ingin melepaskan gian menyanyi dan berseronok dan hanya disediakan pada hari
Ahad. Bagi kanak-kanak, pelampung juga disediakan untuk disewa. Apabila tibanya
musim buah-buahan, para pelanggan dapat menikmati buah-buahan yang segar dari
dusun yang terletak berhampiran kawasan resort dan juga ianya juga dimiliki
oleh pengusaha resort tersebut, Mohd Kamal. Pelbagai tanaman buah-buahan yang
ada iaitu pokok maggis, pokok durian, pokok langsat, pokok duku, pokok pulasan
dan banyak lagi. Buah-buahan ini selalunya ada mengikut musim sahaja dan bagi
yang bernasib baik, mereka dapat menikmatinya dan boleh membeli secara borong
dengan harga yang murah.
Manakala bagi yang ingin bermalam di sana, chalet dan dorm
juga disediakan untuk disewa dengan harga yang berpatutan. Harga sewa adalah
mengikut harga sewa sebuah chalet dalam kadar masa tertentu dan bukan mengikut
harga bilangan pelanggan. Terdapat tiga chalet sederhana untuk tiga hingga lima
orang, chalet beranjung yang boleh memuatkan dua keluarga dan dorm yang
boleh memuatkan sebanyak 10 hingga 15 orang mengikut keselesaan masing-masing. Khemah
juga boleh disewa dan boleh menampung lima hingga tujuh orang. Perkhidmatan
katering juga disediakan bagi kemudahan pengunjung untuk sarapan pagi, makan
tengah hari dan makan malam. Selain itu, bagi yang membeli bahan mentah juga
boleh menyewa set alatan memasak yang disediakan dan ia lebih menjimatkan.
4.0 Dapatan Kajian
Dari pemerhatian yang telah dijalankan di Resort Restu
Ibu, resort ini merupakan tempat yang menyediakan pelbagai perkhidmatan serta
aktiviti yang menarik bagi setiap pengunjung yang datang berkunjung ke sana. Secara
keseluruhannya resort ini menyediakan aktiviti yang sesuai dilakukan seisi
keluarga tanpa mengira peringkat umur. Antara aktivitinya disediakan ialah:
·
Jungle
tracking ke jeram
·
Jungle
tracking ke kolam air panas
·
Night walk
·
Paint ball
·
Berakit buluh
·
Memancing
·
Sukaneka air
& darat
·
Tarik tali
dalam air
·
Bola jaring
dalam air
·
Tangkap itik
dalam air
Walau bagaimanapun, semua aktiviti yang tersenarai akan
dijalankan atau disediakan mengikut permintaan pelanggan yang berkunjung ke
resort tersebut. Aktiviti yang menjana minda atau merapatkan ukhuwah amat
penting dalam memberi tarikan kepada pihak luar untuk berkunjung atau
mengadakan aktiviti motivasi bagi persatuan atau kumpulan tertentu. Antara pelanggan
yang hadir adalah seperti pelajar-pelajar sekolah, jawatankuasa kampung, persatuan-persatuan
serta syarikat swasta.
Jenis ekonomi yang terdapat di kawasan kajian adalah
ekonomi sara diri seperti pekebun. Kebanyakan penduduk di kawasan itu mempunyai
beberapa dusun sendiri dan hal ini memberi peluang kepada penduduk untuk
meluaskan perniagaan mereka. Antara buah-buahan yang terdapat di kawasan kajian
ialah langsat, rambutan, manggis dan durian.
Selain itu ada juga ekonomi yang berasaskan perusahaan sendiri. Perkembangan yang positif yang dapat dilihat
di kawasan kajian ialah penduduk sekeliling sudah berani membuka cawangan atau
perusahaan sendiri. Apa yang lebih membanggakan mereka sanggup mengambil risiko
untuk membangunkan perusahaan mereka walaupun bilangan pengunjung yang hadir
tidak menentu. Antara perusahaan yang dijalankan ialah perusahaan resort, kedai-kedai
runcit dan kedai-kedai makan.
Komitmen dan sumbangan masyarakat terhadap kawasan kajian
seperti daripada penduduk setempat, alam sekitar serta masyarakat luar sendiri
amat penting.
5.0 Kekuatan dan Kelemahan
5.1 Kekuatan
Peniaga. Projek perniagaan ini dirancang bertujuan untuk menceburi bidang perniagaan
dan minat yang di tanam sejak kecil oleh Kamal.
Beliau bersungguh-sunggguh mencari cara dan jalan unutuk memulakan perniagaan ini.
Dengan bantuan dan sokongan rakan-rakan, akhirnya projek perniagaan tersebut dijalankan
hasil komitmen yang ada dalam diri beliau di samping bidang perniagaan banyak
mendatangkan hasil pendapatan. Beliau telah berani mengambil risiko dan telah
menyediakan atau menyiapkan mental yang kuat bagi memulakan perniagaan ini
kerana beliau tahu ianya memerlukan satu usaha yang sangat kuat. Beliau pernah
mengambil bidang pengurusan semasa zaman belajarnya. Hal ini membolehkan beliau
menerajui perniagaan ini dengan baik dan pandai mengambil peluang yang ada
serta menyusun strategi yang teratur dalam usaha memajukan peniagaannya. Beliau
juga pernah bekerja di banyak restoran semasa zaman bujangnya serta pernah
bekerja dalam bidang pemgurusan kewangan selama dua tahun sebelum menukar arah
untuk menceburi bidang perniagaan ini bersama-sama adiknya.
Kualiti peribadi adalah aset penting
yang dapat memangkin perniagaan ke arah kejayaan. Kamal seorang yang
berdedikasi serta disiplin yang diamalkan sejak zaman belajar serta menerapkan
sikap tekun, bermotivasi serta tidak berputus asa. Sikap ini amatlah perlu bagi
seseorang peniaga untuk kekal lama dalam bidang perniagaan.
Aspek pengurusan. Resort ini mengamalkan satu sistem yang baik iaitu mesra
pelanggan. Para pekerja resort ini dilatih serta dipupuk untuk melayan
pengunjung dengan lemah-lembut dan baik serta mengutamakan pengunjung setiap
masa. Hal ini secara tidak langsung membuatkan para pengunjung tertarik untuk
berkunjung buat kali kedua dan seterusnya. Selain itu, resort ini mengutamakan
kreativiti dan inovasi di mana pengurusan akan cuba sedaya upaya untuk menperbaharui
setiap perkara yang diperlukan oleh pelanggan.
Kawasan resort. Kawasan resort
terletak agak dalam ke kawasan pandalaman di mana ianya boleh dikatakan agak
tersorok daripada kota metropolitan Kuala Lumpur walaupun perjalanan hanya
mengambil kurang dari dua jam. Jarak yang dekat ini telah membuatkan ia satu
daya tarikan kepada pengunjung yang memilih untuk lari dari kesesakan kota yang
bising bagi menenangkan fikiran dalam jangka masa beberapa hari ataupun minggu.
Keindahan alam sekitar yang terdapat pada kawasan sekitar jugak merupakan
salah satu daya tarikan yang kuat bagi menarik para pengunjung datang berekreasi
di kawasan tersebut. Pengunjung perlu melalui kawasan kampung serta dusun
buah-buahan sebelum sampai ke kawasan resort. Hal ini membolehkan para
pengunjung merasai suasana seakan-akan berada di kampung halaman. Sungai yang
terdapat di kawasan resort juga merupakan daya penarik utama untuk sesiapa
berkunjung ke kawasan tersebut.
Pakej menarik. Pihak resort
mengenakan harga yang boleh dikatakan agak sesuai serta murah untuk para pengunjung
yang bertandang. Pihak resort juga menyediakan pelbagai kemudahan yang
diperlukan untuk ke perkhemahan serta pakej keluarga untuk bercuti selama
beberapa hari menikmati keindahan alam sekitar. Mereka juga ada membuat acara
sukaneka kepada mana-mana persatuan atau sekolah-sekolah yang membuat tempahan.
5.2 Kelemahan
Kewangan. Pengusaha menghadapi
masalah kewangan sewaktu perniagaan telah beroperasi selama lima bulan. Pihak
resort memerlukan dana bagi membaiki kawasan resort yang rosak akibat hujan
lebat yang mengakibatkan kerugian yang tinggi dan banyak bagi membaiki serta
menaik taraf kawasan resort. Pengusaha memakan masa yang agak lama pada masa
tersebut bagi menunggu kelulusan pihak bank untuk meluluskan pinjamannya.
Masalah keselamatan. Pengusaha
giat meningkatkan kawalan keselamatan daripada ancaman hidupan liar yang
bedekatan di kawasan resort. Hal ini kerana terdapat monyet serta ular yang
muncul di kawasan resort selepas waktu hujan.
Masalah musim. Salah satu daya tarikan di resort tersebut adalah
buah-buahan yang dijual dengan harga murah semasa musim tiba. Ramai pengunjung
yang membuat tempahan ke resort semasa
musim buah-buahan kerana harga yang murah. Ini membuatkan jumlah pendapatan
resort tidak sekata setiap bulan dan hanya meningkat semasa musim buah-buahan
sahaja
Masalah cuaca. Sungai serta kawasan alam sekitar yang cantik merupakan
salah satu daya tarikan yang kuat di resort tersebut. Musim hujan dan cuaca
yang tidak menentu serta banjir mengurangkan jumlah pengunjung yang bertandang
ke kawasan tersebut yang mahu menikmati
keindahan sungai dan alam
sekitar.
5.3 Impak Sosioekonomi
Penubuhan sesuatu tempat pelancongan sudah pasti memberi
kesan atau impak yang besar terhadap masyarakat setempat dan juga negara.
Semestinya impak yang tercetus ini adalah impak yang positif kerana banyak
memberi kelebihan kepada masyarakat, kawasan penempatan dan negara.
Begitu juga bagi Resort Restu Ibu di mana terdapat
pelbagai kesan yang baik kepada masyarakat setempat dan negara sejurus selepas
pembinaannya. Antara impak sosiekonomi resort ini kepada masyarakat setempat
ialah masyarakat di kawasan tersebut dapat meningkatkan taraf hidup mereka
menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Zaman ini taraf hidup semakin tinggi menjadikan
kehidupan rakyat semakin sukar. Oleh sebab itu, dengan penubuhan resort ini
sedikit sebanyak dapat meningkatkan taraf hidup serta dapat menampung
perbelanjaan seharian. Sebagai contoh, terdapat peluang pekerjaan untuk
penduduk setempat apabila resort ini ditubuhkan. Sudah semestinya resort ini
memerlukan pekerja untuk kerja-kerja pembersihan dan juga kawalan keselamatan
serta pelbagai lagi.
Sebelum ini, kawasan Ulu Yam tidak terkenal malah tidak
diketahui orang ramai kerana kawasan ini dulunya hanya kawasan hutan. Namun,
selepas penubuhan resort ini, kesan positif yang dapat dilihat adalah resort
ini membantu mempromosikan tempat tersebut iaitu Ulu Yam supaya menjadi satu
aspek pelancongan yang terkenal. Kesannya Ulu Yam semakin dikenali orang ramai
termasuk juga pelancong asing.
Apabila ramai pelancong tidak kira dari dalam atau luar
negara, sektor pelancongan negara akan menjadi lebih maju seterusnya
mengukuhkan lagi ekonomi negara. Penting bagi sesebuah negara untuk mengukuhkan
ekonomi kerana banyak kesan buruk apabila ekonomi tidak kukuh memberi pelbagai
masalah kepada masyarakat di negara tersebut. Oleh sebab itu, Malaysia
menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu sumber ekonomi kerana terdapat
pelbagai kawasan menarik serta bersejarah terdapat di Malaysia dan salah satu
contohnya Resort Restu Ibu ini yang terkenal dengan kawasan rekreasi untuk
seisi keluarga.
6.0 Permasalahan yang Dihadapi dan
Penyelesaiannya
Masalah sentiasa terdapat dalam sesuatu perkara. Begitu
juga bagi Resort Restu Ibu ini di mana mengalami beberapa masalah yang sedikit
sebanyak mengganggu perniagaan ini. Antara masalah yang dihadapi ialah mencari
pekerja berkemahiran terutamanya dalam bidang pengurusan. Dengan adanya pekerja
yang mahir, ia dapat membantu melicinkan lagi pengurusan resort ini dan
seterusnya resort ini dapat berkembang dengan lebih maju.
Masalah yang kedua yang dialami oleh resort ini adalah
daya tarikan sampingan yang tidak menentu. Dusun buah-buahan adalah antara
perkara tarikan yang terdapat di resort ini. Musim buah-buahan yang tidak
menentu menyukarkan lagi keadaan kerana bilangan pengunjung akan lebih ramai
pada musim buah-buahan.
Selain itu, masalah cuaca yang tidak menentu juga adalah
antara masalah yang sering dihadapi. Memang tidak dapat dielakkan lagi
sekiranya cuaca yang buruk melanda kawasan tersebut. Hal ini jelas menunjukkan bilangan
pengunjung semakin berkurangan apabila tibanya musim hujan. Pengunjung lebih
suka berada di rumah berbanding keluar rumah apabila waktu hujan kerana bagi
mereka berada di rumah lebih selamat berbanding berada di luar rumah.
Masalah terakhir yang dihadapi oleh resort ini adalah
masalah keselamatan. Masalah keselamatan yang dihadapi bukanlah masalah pencuri
tetapi ia adalah masalah binatang buas. Hal ini kerana kawasan ini berdekatan
dengan kawasan hutan. Ini akan menakutkan pengunjung untuk menginap di resort
ini kerana sudah semestinya masalah ini akan membahayakan nyawa mereka sendiri.
Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu
juga bagi resort ini di mana beberapa langkah diambil supaya dapat mengatasi
masalah yang dihadapi. Antara langkah yang dilakukan oleh pihak resort ini
adalah mengadakan promosi yang lebih menarik untuk pengunjung yang hadir.
Sebagai contoh, menyediakan pakej makanan yang terbaik, tempat letak kereta
percuma dan pelbagai lagi. Hasilnya reaksi positif diberikan oleh pelancong
yang pernah berkunjung ke resort ini.
Selain itu, pihak resort juga telah mempelbagaikan
aktiviti menarik bagi pengunjung dan penduduk setempat. Lebih banyak aktiviti
menarik yang dianjurkan lebih menarik minat pelancong untuk berkunjung ke
resort ini. Antara aktiviti yang dilakukan di resort ini adalah mengadakan hari
keluarga, aktiviti sukaneka dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik khas untuk
seisi keluarga.
Malahan penduduk juga ditawarkan peluang untuk bekerja di
resort ini. Contohnya sebagai pengawal keselamatan berikutan daripada masalah
yang dihadapi oleh pihak resort iaitu masalah binatang buas yang berkeliaran di
kawasan sekeliling resort. Ini sedikit sebanyak dapat membantu penduduk
setempat mendapatkan pekerjaan bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Penyelesaian terakhir yang dilakukan oleh pihak resort
adalah meningkatkan infrastruktur resort dan kawasan sekeliling kepada tahap
yang lebih baik. Hal ini kerana infrastruktur yang baik akan menjamin
keselesaan pengunjung yang hadir. Antara infrastruktur yang dinaik taraf ialah
pondok di kawasan dusun. Pondok ini digunakan oleh pengunjung untuk bersantai
sambil menikmati kelazatan buah-buahan tempatan. Selain pondok, chalet di
resort ini juga dibaik pulih seperti mengecat semula supaya nampak lebih ceria
dan perabot-perabot di dalam chalet tersebut diubah suai supaya memberi
keselesaan dan kepuasan kepada pengunjung resort ini.
7.0 Cadangan dan Potensi Masa Hadapan
Pelbagai cadangan untuk meningkatkan kemajuan resort ini
pada masa hadapan yang diberikan kepada kami oleh pihak resort. Cadangan yang
pertama adalah pihak kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak dana dalam
sektor ini. Hal ini kerana sektor pelancongan merupakan antara penyumbang yang
besar dalam ekonomi negara. Oleh sebab itu, dana yang banyak akan memberi
peluang kepada pengusaha-pengusaha resort seperti ini untuk memajukan lagi
perniagaan mereka seterusnya dapat meningkatkan lagi ekonomi negara pada masa
hadapan.
Selain itu, pihak resort juga ingin mengadakan kursus
mengendalikan resort bagi masyarakat setempat yang berminat supaya apabila
masyarakat mengikuti program ini, diharap mereka juga akan membuka resort seperti
ini dan seterusnya memajukan diri dan keluarga masing-masing.
Pihak resort juga berharap dapat memperbanyakkan resort bagi
menampung pelancong yang semakin ramai. Pembukaan cawangan lain sedikit
sebanyak dapat meningkatkan lagi populariti resort ini. Malahan pembukaan
cawangan lain penting kerana dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk
setempat yang kebanyakannya terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.
Penglibatan masyarakat setempat dalam membangunkan sektor
ini juga adalah harapan pihak resort pada masa hadapan. Pelbagai perkara boleh
dilakukan dalam sektor ini kerana tidak semestinya membuka resort, mereka juga
boleh membuka “homestay” yang semakin popular pada masa kini kerana pengunjung
dapat merasai pengalaman berada di kawasan lain yang berbeza daripada tempat
tinggal mereka. Malahan pengunjung juga dapat mengenali adat-adat yang terdapat
di kawasan tersebut.
Akhir sekali, pihak resort berharap agensi-agensi luar
perlu mengambil langkah lebih aktif pada masa hadapan supaya kedua-dua pihak
akan lebih maju kerana membantu antara satu sama lain. Contohnya agensi-agensi
luar yang ingin mengadakan kursus-kursus syarikat memilih lokasi untuk
mengadakan kursus tersebut di resort ini.
MZ Zainudin, Ahmad Faiz Amat Naib, Ahmad Syahir ‘Izzat Mohd Johari, Mohd Faridz
Mohd Kamal, Megat Fadzli Radzuan, Ameer Hafetz Johar
No comments:
Post a Comment