Saturday, March 28, 2015

Memahami taqwa










Memupuk sifat taqwa kepada Allah swt adalah sebaik-baik perbuatan sebagai manusia yang mengenal Tuhannya. Al-Maududi dalam bukunya Moral Foundations menyatakan empat asas yang perlu ada kepada seseorang muslim iaitu Islam, iman, taqwa dan ehsan.

Proses mengumpulkan taqwa berada di mana-mana sehaja ketika kita masih hidup. Dalam erti kata yang lain, mencari taqwa ialah menghayati tujuan sebenar kehidupan yang kita lalui dari lahir, akil baligh hinggalah meninggal dunia. Malahan taqwa adalah bekalan terbaik untuk dibawa ke akhirat. Ketika masih hidup, kuat fizikal, cerdas berfikir dan ramai kawan, semuanya adalah ke arah mencari wang sebagai alat untuk meneruskan hidup, membeli barang keperluan dan yang penting, menukar wang kepada pahala di akhirat.

Sejauh mana amalan taqwa dapat membentuk peribadi mulia?

Sememangnya susah untuk mendapatkan taqwa ini. Biarpun setiap hari Jumaat khatib mengulangi kepentingan bertaqwa, tidak ramai yang betul-betul menghayati nasihat ini. Justeru, semua jemaah perlu diingatkan berkali-kali.

Mendengar sahaja tidak akan membawa sebarang perubahan atau membuahkan perubahan yang besar jika tidak ada proses transformasi secara besar-besar dan berterusan.

Salah satu daripada contoh taqwa yang sentiasa ada dalam masyarakat kita ialah budaya memberi, membalas kejahatan dengan kebaikan dan berakhlak mulia.

Jika kita seorang penjawat awam, masa bekerja ialah dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Tempoh ini adalah kewajipan kita melakukan kerja-kerja hakiki sebagai penjawat awam dan tidak boleh melakukan sebarang kerja yang tidak berkaitan. Mencari taqwa sebagai penjawat awam ini amat senang, mencabar dan perlukan kesabaran. Mungkin ada di antara kita yang begitu kuat amalan memberinya, tidak kisah dengan masa, buah fikiran atau tenaga biarpun telah melebihi masa yang diperuntukkan di pejabat.

Contoh budaya memberi yang amat mudah tetapi dilaksanakan dengan penuh kesabaran dan kesungguhan ialah keupayaan Khadijah r.a memberi harta kekayaannya untuk menjayakan dakwah Rasulullah saw. Daripada seorang yang kaya-raya, hidup dengan limpahan harta, beliau menjadi miskin kerana Islam. Tentulah ganjaran yang diperolehinya sangat hebat di akhirat kelak.

Bagaimana pula contoh orang lain bertaqwa?

Saidina Umar ketika marah kerana tidak dibenarkan masuk ke Makkah, bertanya kepada Rasulullah saw kenapa perkara itu boleh terjadi. Jawapan yang diberikan oleh baginda saw membuatkan Saidina Umar tersentak dan tersedar daripada marahnya. Akibat marah yang melulu dan menyedari silapnya, beliau akhirnya buat kenduri untuk menebus kembali kesilapannya.

Bagaimana pula contoh orang yang tidak bertaqwa?

Senarainya panjang: tidak bayar hutang pinjaman, suka jaga tepi kain orang, iri hati, 'ujub, lekas marah, menipu, mencuri dans ebagainya.


No comments:

Post a Comment