Thursday, March 26, 2015

Cabaran dakwah masa kini








Penulis yang gigih, Dr. Ahmad Shalaby telah menghuraikan dengan berkesan sekali bagaimana agama Islam harus difahami. Dalam buku Perbandingan Agama: Agama Islam, beliau menjelaskan betapa sambutan masyarakat dunia ke atas agama Islam menguatkan keyakinan beliau bahawa Islam akan menjadi suatu agama utama pada masa depan. Malah tersebar ke Asia, Afrika dan meresap masuk ke benteng-benteng agama kristian di Eropah dan Amerika Syarikat.

Islam untuk semua umat manusia. "Dan tiadalah Kami mengutus engkau melainkan (menjadi Rasul) untuk seluruh manusia sebagai pembawa berita gembira dan pemberi amaran." (Surah Saba':28)

Manusia yang berkulit putih, hitam dan kuning ada dalam agama ini dan tidak rasa seperti mengimport agama tersebut daripada golongan lain atau budaya lain. Lebih aneh, ia merasakan agama tersebut untuk dirinya yang dapat menyusun dan menguruskan hidup.

Hakikat yang tidak dapat dibendung ialah usaha-usaha penyeru agama kristian yang telah hampir-hampir gagal kerana perbelanjaan yang digunakan oleh mereka sangat besar tetapi tidak setimpal dengan hasil kejayaan yang diperolehi. Banyak sebab kenapa mereka tidak berjaya. Pendedahan terhadap agama kristian yang menitikberatkan perkara-perkara ganjil telah mengikis sedikit demi sedikit seluruh usaha sarjana dan cendekiawan sehinggakan agama kristian seolah-olah seluruhnya adalah mengenai perbahasan ketuhanan Al-Masih, kitab suci, dosa yang pertama dan pensaliban Al-Masih kerana menebus dosa tersebut.

Amat jarang kita dapati perbahasan mengenai kristian sebagai sistem hidup yang merangkumi penyelesaian masalah dan keperluan hidup manusia seperti keluarga, masyarakat, harta pusaka, ekonomi dan politik.

Namun begitu, mubaligh kristian yang sentiasa mendapat biaya yang besar tidak pernah berputus asa dalam usaha mereka. Presiden Amerika Syarikat, George Bush memperkenalkan Inisiatif Asas Kepercayaan dan Komuniti pada 2001 memperuntukkan lebih daripada US$2.1 bilion sehingga 2005. Daripada jumlah ini, gerakan kristian yang bergerak di luar negara menerima 98.3 peratus daripada peruntukan yang disediakan. Perbezaannya sangat ketara dengan cuma dua buah pertubuhan Islam yang menerima bantuan iaitu Pusat Islam Texas (US$18,413) dan Pertubuhan Bantuan Amerika Utara (US$6,750).

Salah satu penerima bantuan terbesar ialah Pat Robertson, yang disifatkan sebagai musuh besar Islam oleh Yusuf Estes. Operation Blessing yang diterajui oleh beliau menerima sejumlah dari US$108,000 hingga US$14.4 bilion untuk operasi di luar negara. Pertubuhan lain ialah World Vision yang ditubuhkan 1950. Pertubuhan ini menerima habuan US$260 juta. Kebanyakan operasi pertubuhan kristian ialah di kawasan bencana seperti Indonesia, Sudan, Iraq dan program pemakanan di Afrika Selatan.

Antara program lain ialah Food for the Hungry di 13 buah negara termasuk Ethiopia dan Bangladesh. Manakala di Kenya, program pembangunan kanak-kanak adalah membantu para pelajar memahami kitab Injil.

Usaha dan perancangan yang dilakukan ini memang tersusun. Kesungguhan mubaligh kristian melaksanakan misi agama dikagumi. Di mana-mana tempat yang ada kesengsaraan, di situ ada pertubuhan kristian dengan pelbagai kemudahan. Hal ini sangat ketara kerana pembiayanya banyak dan dalam jumlah yang besar pula. Lebih-lebih lagi pentadbiran Presiden Bush meletakkan penyebaran agama kristian sebagai keutamaan bagi menyuburkan gerakan dan aktiviti agama tersebut.

Peruntukan kewangan yang besar memberi implikasi ketara ke atas masyarakat yang kelaparan, miskin dan sengsara. Apa sahaja barang, perkhidmatan dan gerak laku didasarkan kepada agama. Orang yang susah tidak akan berfikir panjang untuk membuat pengakuan menerima atau keluar sahaja daripada sesuatu agama. Asalkan ada sahaja habuan, beliau akan mengambilnya bagi meneruskan hidup. Yang baik menjadi buruk, buruk menjadi baik malah disanjung.


Cabaran umat Islam ialah bersedia dengan strategi dan taktik yang lebih tersusun. Memantapkan ilmu dan kemahiran sebagai pendakwah, bukan sekadar untuk keluarga malah kawan-kawan dan masyarakat. Penekanan amalan fiqah sudah cukup banyak. Masyarakat sangat dahagakan tauhid dan ingin mengetahui Islam sebagai satu cara hidup.


No comments:

Post a Comment