Di ruangan Groups yang
sering saya ikuti, baru-baru ini saya membaca isu berkaitan tidak puas hati
layanan bangsa asing ke atas Melayu di sektor swasta. Rasa tidak puas hati ini
berkaitan dengan kenaikan gaji, pangkat atau mendapat bonus. Keluhan yang
ketara ialah Melayu dipinggirkan dalam syarikat yang sebahagian besarnya bukan
Bumiputera.
Isu ini telah lama diketengahkan
tetapi hanya berkisar di ruangan sembang, kedai kopi atau halwa telinga sewaktu
makan tengah hari. Melayu pada hari ini adalah kaum yang dominan di Malaysia.
Melayu beragama Islam. Melayu sangat utuh dengan nilai adat dan tradisi yang
diasaskan daripada agama Islam dan sesetengahnya adalah warisan amalan agama
Hindu yang disesuaikan dengan masyarakat serta diterima umum.
Di sebelah Timur, Melayu adalah
bangsa yang paling bertuah kerana rumpun Melayu di Nusantara, Borneo, Selatan
Thailand dan Selatan Filipina menerima Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw,
agama yang bersifat"cara hidup." Islam telah mengubah hidup Melayu
daripada percaya kepada nenek-moyang, hantu dan tahyul kepada tauhid. Selepas
menerima Islam yang jelas pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, Melayu tidak
lagi berpaling kepada agama lain walaupun diasak hebat oleh penjajah Portugis,
Belanda dan Inggeris.
Ketika Portugis menjajah Melaka pada 1511, alim ulama
Islam diburu dan dibunuh kerana salah satu perancangan Portugis yang menjajah
dunia Timur ialah gospel iaitu menyebarkan agama Kristian. Kekentalan
aqidah umat Melayu adalah kerana peranan pendakwah melalui ulama dan institusi
kesultanan yang memelihara kukuh agama Islam. Sehingga kini, Melayu tidak
pernah beralih kepada aqidah lain.
Islam yang dibawa dan diajar kepada
kaum Arab jahiliah adalah Islam yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab dan
India Muslim yang berdagang dang menguruskan import dan eksport di Pelabuhan
Melaka. Islam yang menjadikan bangsa Arab gah dan gemilang. Islam jugalah yang
menjadikan Kesultanan Melayu Melaka gah dan gemilang.
Kenapa Melayu hari ini tidak
menjadi gah dan gemilang dengan Islam?
Soalan inilah pada pandangan saya
dapat membuang jauh kerisauan sesetengah orang memikirkan Melayu mendapat kelas
kedua di negara sendiri. Ekonomi Malaysia dikuasai oleh bangsa lain, politik
Melayu mudah bergolak dan dikatakan mementingkan diri sendiri dan masalah
sosial yang berkaitan dadah, kemiskinan, keciciran dalam pendidikan juga
dikaitkan dengan Melayu.
Dr. Jeffry Lang, pensyarah
matematik yang memeluk agama Islam dalam ucapannya, (http://www.youtube.com/watch?v=XT1KGyxBXC0) beliau menekankan betapa pentingnya kembali
kepada model Mekah dalam hal ehwal seharian seorang muslim. Dr. Jeffry Lang
berkongsi pengalaman 20 tahun beliau sebagai seorang Islam yang melihat betapa
pentingnya sistem pemikiran yang betul terhadap hidup. Tidak ada sesiapa yang
habis berfikir dan menganalisis dalam sesuatu hal kerana ianya berlaku dalam
matematik, fizik, sains sosial dan sebagainya iaitu analisis sentiasa
diperbaharui. Justeru itu, berhenti membuat analisis menjadikan pemikiran beku,
tidak mampu untuk berfikir lebih jauh. Ia memerlukan usaha yang gigih bagi
mengembalikan corak pemikiran yang bersifat analitikal ini.
Perubahan dari satu masyarakat atau
kaum untuk menempa kejayaan adalah sunnah Allah.
"Maha Berkat (serta Maha
Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan
memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Al-Mulk, ayat 1)
Kejayaan Melayu sebagai pentadbir
dunia belum lagi tiba sedangkan masyarakat lain telah membentuk tamadun
masing-masing. China dengan kekuataan saiznya, India dengan jumlah penduduk dan
dominasi di sekitarnya, Arab dengan tamadun Mesir purba dan Eropah dengan
Anglo-Saxon. Melayu belum lagi menjelma.
Jadi apa yang harus kita lakukan
sekarang? Kembali kepada penghayatan ajaran Islam dan melaksanakan dakwah
kepada bukan Islam. Rasa tidak puas hati kepada bukan Melayu kerana mendominasi
kerja dan ekonomi adalah simptom daripada penghayatan agama yang lemah. Bukan
Islam di Malaysia adalah pasaran yang sangat baik dan segar untuk mengIslamkan
mereka kerana dakwah tidak kenal erti putus asa.
Jika Cina dan India menjadi muslim
hari ini, bayangkan apakah yang akan berlaku kepada ekonomi umat Islam
Malaysia? Bayangkan pula apa yang akan terjadi kepada dunia Melayu Islam di
Malaysia? Ketika itu Melayu adalah tuan kepada tanahairnya sendiri. Dengan
syarat, kembali menghayati dan melaksanakan risalah tauhid, ingat-mengingatkan
dan mewujudkan model Mekah di Malaysia.
No comments:
Post a Comment