1.0 Pengenalan
Kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji
pengaruh tamadun luar dalam masyarakat Melayu. Kehidupan masyarakat Melayu
banyak dipengaruhi oleh tamadun-tamadun luar seperti Arab, Cina, India serta
Barat. Pengaruh-pengaruh ini dapat dilihat dalam sistem politik, ekonomi,
sosial dan sebagainya. Pengaruh tamadun luar ini telah memberi impak yang besar
dalam kehidupan masyarakat Melayu hingga sekarang.
Adat merupakan cara hidup iaitu tingkah laku,
kepercayaan dan sebagainya. Ia juga mencerminkan perbuatan
yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan
atau tahun. Suatu perkataan yang sinonim
dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari
segi pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama. Adat
Melayu yang awal dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu dan Buddha, selepas itu
dipengaruhi oleh campuran Hindu/Buddha dan Islam. Pengaruh tamadun luar yang
ketiga yang juga merupakan pengaruh yang paling kuat dalam kebudayaan dan adat
Melayu adalah pengaruh Islam.
Tamadun Barat pula banyak mempengaruhi
masyarakat Melayu dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Hal ini
kerana masyarakat Melayu telah mengalami perubahan
struktur dan organisasi setelah Tanah Melayu dijajah seluruhnya oleh Inggeris. Bagaimanapun, pengaruh Islam masih lagi
memainkan peranan yang amat penting dalam senario politik Melayu khasnya dan masih digunakan
sehingga kini.
Seni bina merupakan satu lagi cabang yang boleh kita
lihat untuk mengkaji bagaimana kuatnya pengaruh luar dalam masyarakat Melayu.
Kita dapat lihat seni bina banyak dipengaruhi oleh pengaruh Cina dan Islam.
1.1 Objektif
Objektif kajian
ini adalah mengenal pasti pengaruh tamadun-tamadun luar yang mempengaruhi kehidupan
masyarakat Melayu. Selain itu kajian ini juga mengenal pasti kesan-kesan
pengaruh tamadun-tamadun luar terhadap kehidupan masyarakat Melayu serta menentukan
faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada kekuatan masyarakat Melayu.
2.0 Hasil Kajian
2.1 Tamadun Melayu
Tamadun Melayu berdiri berasaskan terasnya iaitu orang
Melayu. Oleh yang demikian, ianya berkembang di kawasan-kawasan yang dihuni
oleh orang Melayu dan dikenali sebagai kepulauan Melayu. Pusat-pusat Tamadun
Melayu mengalami perkembangan tamadun yang panjang dan ianya telah berlaku
ratusan tahun dahulu.
Ada sumber mengatakan, Tamadun Melayu ialah tamadun yang
dibentuk oleh sekelompok manusia yang digolongkan secara luas sebagai kumpulan
orang-orang Melayu dan bertempat di suatu wilayah di Asia Tenggara yang
dikenali dengan pelbagai nama seperti gugusan Kepulauan Melayu, gugusan
Kepulauan Melayu-Indonesia, Nusantara, Alam Melayu dan Tanah Jawi. Menurut Kamus Dewan pula, Melayu ialah nama
suatu bangsa dan bahasa terutamanya di Semenanjung Malaysia. Ensiklopedia bebas
pula menyatakan Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa melayu dan
mengamalkan adat resam orang melayu dan pemerintah Malaysia pula mendefinisikan Melayu sebagai
penduduk pribumi yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan
yang menjalani tradisi dan adat-istiadat Melayu.
Siapa yang
dikatakan Melayu? Mereka yang dikatakan Melayu secara normalnya mempunyai kulit
berwarna coklat, fizikalnya tahap sederhana tetapi gagah dan bersopan santun
atau lemah lembut. Mereka juga dikenali atau dilabel sebagai “bumiputera”di
Semenanjung Malaysia.
Menurut
undang-undang, istilah “Orang Melayu” telah ditakrifkan di bawah perkara 160(2)
Perlembagaan Malaysia, iaitu: menganut agama Islam, berbahasa Melayu, mengamalkan adat Melayu, telah dilahirkan di Tanah Melayu atau di
Singapura sebelum hari Merdeka atau anak yang dilahirkan oleh salah seorang daripada ibu bapanya yang
dilahirkan di Tanah Melayu atau di Singapura, atau pada hari Merdeka ia bermastautin di
Tanah Melayu atau di Singapura, dan uriat kepada orang-orang sedemikian.
2.2 Tamadun Cina
Hubungan antara China dengan alam Melayu sudah lama wujud
iaitu sebelum permulaan tahun masihi iaitu sejak zaman Dinasti Han (140-117
S.M). Hubungan China dengan alam Melayu melonjak ke peringkat yang lebih tinggi
sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907 M) dan Empayar Srivijaya di alam Melayu
pada abad ke-7. Pemerintahan zaman Dinasti Tang (618-907 M) telah mewujudkan
hubungan diplomatik dengan negara luar melalui pembukaan tujuh jalur jalan
dagang dengan dunia luar, satu daripadanya ialah perjalanan laut dari Guangzhou
dengan India, Parsi dan Arab melalui alam Melayu.
Zaman gemilang hubungan tamadun Melayu-China berlaku
dalam zaman Dinasti Ming pada abad ke-15. Persahabatan antara Melaka dan China wujud sebelum
itu lagi apabila Melaka di bawah pemerintahan Raja Parameswara (Sultan Iskandar
Syah) menjadi destinasi pertama misi Maharaja Ming Cheng Zhu ke alam Melayu
pada tahun 1403. Sejarah pembukaan hubungan diplomatik antara China dengan
Melaka itu tercatat dalam Ming Shi (Sejarah Dinasti China)
Hubungan Melayu-China yang kurang aktif disebabkan
masalah dalaman kerajaan China dan penjajahan Barat di alam Melayu terjalin
semula dalam abad 18/19, tetapi dengan pola yang jauh berbeza, kerana
kedatangan orang Cina bukan dibawa oleh pemerintah Cina atas hubungan
diplomasi, melainkan dibawa oleh penjajah Barat untuk memenuhi keperluan
ekonominya, dengan kebanyakan pendatang itu dijadikan buruh di lombong bijih
timah dan sebilangan yang lain mencuba nasib dalam perniagaan.
Mengikut kajian sejarah, Tamadun China telah datang ke
dalam Tanah Melayu melalui hubungan perdagangan. Ianya bermula di Jakarta
(1619) dan Singapura. Di Singapura lebih pesat pada tahun 1819 selepas
pembukaannya oleh Raffles dan pada tahun 1845, hampir separuh dari penduduk
Singapura ialah pendatang Cina. Pola penduduk ini juga berlaku di pusat-pusat bandar
seperti Pulau Pinang, Melaka dan Kuching. Mereka menjadi sumber buruh di Tanah
Melayu dan merupakan modal dalam perkembangan perdagangan import dan eksport
antara Barat dan Timur.
Pendatang Cina menjadi sumber buruh apabila sektor
perlombongan dan pertanian komersial telah berkembang di Tanah Melayu. Contoh
kawasan perlombongan ialah di Larut, Perak dan telah terdapat 40,000 pendatang
Cina di sana pada tahun 1873. Selain menjadi buruh di sektor perlombongan,
tenaga buruh mereka turut digunakan di ladang lada dan gambir.
Penghijrahan secara besar-besaran telah berlaku apabila
Inggeris mengambil alih Pulau Pinang dari Sultan Kedah pada 1786, Singapura
dari Sultan Johor pada 1819 dan selepas penubuhan Negeri-Negeri Selat 1826. Migrasi
secara bebas dari China telah mendapat galakan dari Kerajaan Selat (Inggeris)
dan undang-undang untuk galakan imigran telah ditubuhkan iaitu The Chinese Immigrants dan The Crimpling Ordinance. Jabatan
perlindungan Orang Cina turut ditubuhkan bagi melindungi buruh-buruh Cina.
Sehinggalah pada 1933, kemasukan orang asing telah dihadkan oleh Ordinan Orang
Asing.
Pergolakan di China Selatan akibat pemberontakan Taiping
1851 dan malapetaka seperti banjir dan kepesatan penduduk telah mendorong
migrasi beramai-ramai ke Tanah Melayu dari wilayah Kwangtung, Fukein dan
Kwangsi yang membentuk lima kumpulan dialek utama iaitu Teochew, Kantonese,
Hokkien, Hakka dan Hainan. Pada awalnya, ramai yang terkorban akibat keadaan
hidup, penyakit dan kerja teruk. Kemudian mereka menjadi semakin gigih hingga
mampu menempa kerjaya dalam perniagaan, pertanian, perlombongan dan lain-lain.
Justeru itu, pada pandangan pihak berkuasa Inggeris kadar migrasi mereka
selaras dengan pertumbuhan ekonomi.
Pemujaan atau penyembahan roh nenek moyang
adalah penting. Penyembahan ini dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali setahun iaitu
menjelang Tahun Baru iaitu sepuluh hari sebelum dan sepuluh hari selepas
perayaan Cheng Beng dan bila-bila masa terutamanya pada hari ulang tahun
kelahiran dan kematian mereka. Pemujaan juga dijalankan semasa sambutan ulang
tahun pelbagai dewa dan dewi serta Hari Wesak. Namun begitu, terdapat juga kaum
Baba dan Nyonya terutamanya kaum Nyonya yang tidak menjalankan sesetengah
upacara pemujaan ini. Mereka akan ke kuil Hindu dengan membawa kelapa dan
pisang kepada sami untuk sembahyang, melumurkan debu suci di atas dahi dan
membawa pulang seketul arang dari lombong untuk digunakan dalam acara berjalan
di atas bara.
Masyarakat Baba
dan Nyonya tidak bercakap menggunakan bahasa nenek moyang mereka sebaliknya
bercakap menggunakan bahasa Melayu dikenali bahasa Melayu Baba. Mereka akan
mencampurkan perkataan dan frasa bahasa Melayu dan bahasa Hokkien. Kadangkala,
bahasa Portugis dan Tamil juga dicampuradukkan ke dalam bahasa tersebut.
Berbeza dengan masyarakat Baba dan Nyonya Pulau Pinang. Mereka tidak bercakap
dan menggunakan budaya Melayu. Sebaliknya, pelbagai jenis bahasa Hokkien walaupun
mereka fasih berbahasa Melayu.
Kebanyakan daripada mereka masih mengamalkan
adat dan peraturan Cina tradisional tetapi adat dan kebudayaan Melayu masih
lagi dominan mempengaruhi kehidupan sosial masyarakatnya. Mereka harus belajar
cara terbaik melayan orang-orang yang lebih tua, cara berpakaian yang sempurna
dan berkeyakinan serta bagaimana dan bila harus memohon sembah. Mereka juga
harus berjalan dengan lemah-lembut dan apabila duduk tidak boleh bersilang
kaki.
Makanan kaum
ini adalah mengikut cita rasa masakan Melayu, Cina, India dan Serani. Terdapat
juga sesetengah hidangan istimewa masyarakat Baba yang dikenali sebagai makanan
Nyonya iaitu gabungan masakan Cina dan Melayu tetapi mengikut cara Baba yang
tersendiri. Biasanya, masakan Nyonya adalah pedas dan menggunakan banyak cili.
Malah mereka sentiasa menyediakan sambal untuk dimasak bersama daging atau ikan
atau udang bersama-sama dengan sayur, sup dan nasi sebagai hidangan harian.
Mereka juga menggunakan perencah yang biasa digunakan oleh orang Melayu iaitu
belacan, asam, buah keras, lengkuas, dan serai di samping bahan masakan orang
Cina mengikut kesesuaian jenis makanan.
‘Kuih Ku Merah’ misalnya merupakan kuih kaum
Cina yang dibuat dari pulut dan kacang hijau. Ia biasanya dihidangkan semasa
anak yang dilahirkan mencapai umur satu bulan. Kuih dodol, kuih karas, dan kuih
wajik adalah kuih tradisional Melayu tetapi menjadi hidangan istimewa
masyarakat Baba. Kuih mereka yang asal adalah seperti kuih koci dan kuih talam.
Ia dilakukan beberapa minggu sebelumnya, di mana
rumah-rumah dibersih, dikemas dan dicat. Kain langsir dan alas meja ditukar baru
dan kain ‘chyee kee’ iaitu kain merah yang panjang digantung di hadapan pintu
besar sehari sebelum Tahun Baru tiba. Pada malam tersebut, semua anggota
keluarga berkumpul bersama untuk makan malam dengan diiringi oleh bunyi petas (mercun)
untuk mengirimkan hari terakhir tahun lama. Ia akan dibunyikan sehingga
keesokan pagi. Pintu rumah sentiasa dibuka hingga lewat malam untuk ‘menyambut
tahun baru’. Membakar petas dan bunyi-bunyi meriah akan mengusir tanda dan niat
jahat keluar.
Pada hari pertama Tahun Baru, mereka akan
memakai pakaian baru. Pada pagi hari lagi saudara- mara akan mengunjungi dan
mengucapkan “Selamat Tahun Baru”. Kanak-kanak atau orang dewasa yang belum
berkahwin akan diberi ‘ang pow’. Pada hari ini, mencuci dan menyapu sampah
tidak dibenarkan bagi mengelakkan rezeki baik yang dibawa oleh Tahun Baru
diusir keluar. Pada hari kelima belas, perayaan Chap Goh Mei disambut bagi
menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina. Bunyi petas akan kedengaran
untuk kali yang terakhir. Mereka akan ke kuil-kuil Cina untuk bersembahyang dan
membawa pulang abu-abu suci untuk disimpan. Manakala, anak-anak dara akan
melemparkan buah limau kedalam sungai dengan harapan untuk mendapat suami yang
baik.
Pada peringkat
awal, sebelum majlis perkahwinan berlangsung, pihak lelaki akan menghantar
wakil bagi merundingkan hal perkahwinan. Pihak perempuan akan menetapkan masa
yang tertentu untuk memberikan persetujuan. Pasangan ini tidak dibenarkan
berjumpa antara satu sama lain sehingga hari perkahwinan. Pada hari
perkahwinan, pengantin perempuan akan memakai baju yang disulam indah, menarik
dan berwarna-warni yang dikenali sebagai ‘kuah’.
Pada hari perkahwinan juga hanya pihak lelaki
yang akan mengadakan kenduri. Pihak lelaki bersama-samapengantin lelaki akan
menjemput pengantin perempuan kerumah persatuan dimana diadakan jamuan the bagi
menjalani istiadat perkahwinan mereka. Upacara dimulakan dengan pemberian
‘Chiu-thau’ yang dianggap suci dan disusuli pula dengan ‘Chim-Pong’ apabila
kedua-dua pengantin bertemu buat pertama kalinya semasa menziarahi Dewa Syurga,
Bumi dan Manusia di hadapan tempat pemujaan khas bertingkat tiga yang dipanggil
‘Sam Kai’.
Pada umumnya, China kaya dengan bahasa. Bangsa
Han mempunyai tujuh jenis loghat;
-Loghat Bei Fang Hua atau loghat utara
-Dialek Wu
-Dialek Xiang
-Dialek Gan
-Dialek Kejia atau Hakka
-Dialek Yue atau Kantonese
-Dialek Min atau Hokkien
Tulisan Cina dikenali sebagai Hanzi atau
tulisan Han. Ada dua jenis tulisan yang utama;
-Wen (gambar-gambar mudah)
-Zi (huruf-huruf campuran)
Seni lukis dalam tamadun China merupakan kesenian yang
penting kerana mendapat naungan dari istana. Terdapat beberapa jenis seni lukis
Cina, antaranya seni potret yang memaparkan dewa-dewi, bangsawan, gadis dan
rakyat biasa. Ciri kesenian lukisan Cina ialah dihasilkan secara spontan.
Perbuatan spontan ini dibuktikan dengan gerakan berus yang digunakan. Dakwat
hitam yang berair membolehkan tangan bergerak dengan lebih bebas dan pantas. Lukisan
Cina juga menunjukkan makna sajak.
Pada peringkat awal, dikatakan datang dari Tanah Besar China ekoran
daripada hubungan perdagangan kedua-dua belah pihak. Hal ini terbukti dengan
penemuan batu bersurat di Campa bertarikh 1039, di Brunei (1048) dan di Laren, Jawa
(1082) yang mengatakan Islam datang dari Canton dan Hainan pada kurun ke-9.
Mewarisi Cina Peranakan yang dikenali sebagai Baba dan Nyonya. Kebudayaan Baba
dan Nyonya mempunyai unsur-unsur kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu Baba pula
banyak dipengaruhi oleh perkataan Hokkien, salah satu cabang dalam bahasa Cina.
Cina Peranakan juga turut dipengaruhi oleh gaya masakan Melayu dan mereka juga
biasa makan menggunakan tangan. Malahan, golongan ini menggunakan kebaya dan
kain sarong sebagai pakaian mereka seharian.
Unsur kebudayaan juga dipengaruhi oleh kebudayaan
masing-masing. Disebabkan oleh pertukaran barang yang dijadikan sebagai hadiah,
Tamadun Melayu telah diperkenalkan dengan pelbagai jenis tekstil seperti kain
sutera dan kain kapas, barangan porselin, tembikar dan logam serta makanan
seperti kicap, taugeh dan tauhu. Malahan, adat memberi ang pau yang bermaksud
sampul merah ketika perayaan Tahun Baru Cina juga diperkenalkan.
Aspek perubatan dan teknologi yang dibawa oleh Tamadun
China seperti rawatan akupuntur dan herba adalah sangat mujarab dan bertujuan
menyeimbangkan yin dan yang mengikut kepercayaan masyarakat Cina. Perubatan
herba Cina menggunakan lebih seribu jenis herba juga dapat mengubati penyakit
seperti asma, anemia dan kanser. Teh Cina iaitu teh hijau juga mempunyai banyak
khasiat kepada tubuh badan. Dalam bidang teknologi, Tamadun China membawa
teknologi membuat gula dari tebu ke Kepulauan Melayu seperti di Jawa selain
daripada penghasilan barangan lain seperti kertas, kain, bahan letupan dan
lilin.
Menimbulkan konflik
seperti rasa tidak puas hati terhadap pencapaian ekonomi pihak yang
bertentangan. Penduduk Han di Tenggara China mewujudkan permusuhan dengan orang
Islam kerana tidak puas hati terhadap kemewahan orang Islam dalam aktivti
perdagangan. Pemberontakan kemudian berlaku pada tahun 758 Masihi dan 876
Masihi menyebabkan orang Islam dibunuh dan ramai yang melarikan diri ke Asia
Tenggara seperti Palembang dan Kedah. Selain itu, rasa tidak puas hati orang
Islam turut muncul apabila ajaran Konfusianisme diutamakan pada pemerintahan
Dinasti Ching. Rasa tidak puas hati orang Islam disokong oleh gerakan Kaum
Muda (Wahabi) dalam kalangan orang Cina beragama Islam.
2.3 Tamadun India
Masyarakat majmuk di Malaysia dibentuk oleh
kepelbagaian kaum dan amalan budaya mereka. Masyarakat India merupakan salah
satu kompenen penting dalam kependudukan di negara kita. Daripada segi
kebudayaan India pula ia adalah sebahagian daripada elemen budaya silam yang
menyumbang kepada pembentukan identiti budaya Melayu selain daripada elemen
agama Islam. Pengaruh peradaban India berkembang di nusantara secara dominan
daripada kurun masihi yang pertama sehingga kurun ke-14 dan ke-15 melalui dua
falsafah kepercayaaan yang penting iaitu Hinduisme dan Buddhisme (A.Aziz, 1994).
Proses asimilasi budaya Hindu-Budha dalam masyarakat tempatan dikenali sebagai
proses penghinduan atau pengindiaan. Ia juga turut terkenal dengan beberapa
istilah lain seperti The Greater India dan Indianization. Proses ini
secara evolusinya berjaya membentuk sistem sosial dalam masyarakat Melayu yang
kemudiannya di asimilasi mengikut amalan tempatan.
Kedatangan
orang-orang India ke Tanah Melayu berlaku sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada kedatangan masyarakat tersebut.
Antara yang terpenting adalah kedudukan Semenanjung Tanah Melayu sebagai tempat
persinggahan dan sekali gus sebagai kawasan perdagangan yang menawarkan banyak
sumber perdagangan kepada semua pedagang daripada serata negara yang menarik
minat pedagang-pedagang dari India Selatan. Mereka menjadikan Semenanjung Tanah
Melayu sebagai pusat perdagangan mereka di rantau Asia Tenggara.
Pada abad ke-19,
kemasukan imigrasi India adalah lebih besar daripada pedagang-pedagang
sebelumnya. Rasionalnya kemasukkan
orang-orang dari India adalah kononnya kerana orang Melayu tidak suka makan
gaji. Sebenarnya kedatangan kaum India ke negara ini adalah berkait secara
langsung dengan dasar ekonomi British. Pemilihan kaum India sebagai tenaga
buruh utama dalam sektor perladangan kolonial berdasarkan pada beberapa faktor
seperti kemerosotan ekonomi masyarakat tempatan India akibat daripada sistem
monopoli British.
Kemelesetan dan kemelaratan ekonomi ini
ditambah lagi dengan bencana-bencana alam yang menyebabkan mereka bersedia
untuk keluar dari India bagi memulakan hidup baru di negara lain. Selain
daripada itu, sebagai sebuah kuasa yang menjajah India, British sedia maklum
dengan masalah sosiobudaya yang melingkari masyarakat India. Sikap merendah
diri dan jiwa kehambaan yang wujud dalam diri penduduk India terutamanya mereka
daripada golongan berkasta rendah memudahkan lagi British menguasai dan memanipulasi
mereka yang menjadi buruh di Tanah Melayu. British juga berpendapat tenaga
buruh India ini mampu digunakan dengan sebaik-baiknya apabila sistem yang
teratur dapat diperkenalkan oleh mereka.
Selain daripada dasar British yang sememangnya
menjadikan rakyat di India sebagai tumpuan dalam menyelesaikan masalah tenaga
buruh yang diperlukan oleh Tanah Melayu, faktor dalaman di India sendiri adalah
penyumbang besar kepada kehadiran rakyatnya ke negara ini. Antaranya,
kesengsaraan sosial akibat daripada banjir dan kemarau yang melanda di samping
wabak penyakit seperti malaria dan beri-beri. Keadaan ini ditambah lagi dengan
peluang kerja yang terhad akibat daripada pertambahan penduduk yang amat ketara
iaitu seramai 130,000,000 orang pada tahun 1845 ke 390,000,000 orang pada tahun
1941 menyebabkan ramai penduduk mengalami kebuluran.
Selain daripada itu, sistem kasta yang menjadi
amalan pula menambahkan lagi masalah di mana kaum kasta rendah terus tertindas.
Sistem kasta yang mengehadkan mobiliti sosial dan ekonomi juga menggalakkan
orang India daripada kasta-kasta rendah untuk berhijrah ke Tanah Melayu.
Mengikut Rabindra Daniel, golongan kasta rendah ini sering dizalimi dan
teraniaya serta peluang-peluang mereka disekat secara sewenang-wenangnya.
Anak-anak mereka tidak mendapat peluang belajar dengan lebih baik dan sekali gus
peluang mendapat pekerjaan juga tertutup. Oleh yang demikian, mereka melarikan
diri daripada terus berada dalam sistem dan budaya yang tidak adil, mereka
membuat keputusan untuk berpindah ke tempat yang tidak mengamalkan sistem
tersebut. Sehubungan dengan itu, lebih satu pertiga daripada jumlah orang India
yang berhijrah dari Madras ke Tanah Melayu pada tahun 1931 berasal daripada
kasta-kasta rendah.
Akibat penjajahan British yang membawa bersama
pembaharuan-pembaharuan memberikan impak negatif ke atas masyarakat tempatan
India. Selaras dengan berlakunya Revolusi Industri di Eropah, kerajaan Inggeris
menggunakan tanah-tanah jajahan bagi membekalkan bahan mentah untuk industri
mereka. Monopoli British menyebabkan peluang-peluang ekonomi dan pemasaran
hasil pemasaran menjadi semakin kecil dalam kalangan penduduk tempatan. Selain
daripada itu, cukai-cukai yang dikenakan terlalu tinggi sehingga 80 peratus
bagi setiap hasil keluaran (Azmah Abdul Manaf, 2001). Ini mengakibatkan
petani-petani kehilangan tanah kerana terpaksa menyerahkannya kepada kerajaan
dan ceti-ceti akibat kegagalan membayar cukai yang tinggi yang dikenakan oleh
pihak British. Mereka tertindas akibat faedah yang tinggi yang dikenakan oleh
para peminjam wang. Kesempitan hidup yang diakibatkan oleh British menyebabkan
mereka memilih untuk berhijrah ke Tanah Melayu juga atas tawaran British.
Pihak pentadbiran British menggalakkan
kemasukan imigran ke Tanah Melayu selepas tahun 1870-an. Tiada sebarang sekatan
ke atas penghijrahan masuk imigran ke Tanah Melayu sehingga tahun 1929. Tabung
Imigrasi India dan undang-undang diperbaiki menyebabkan semakin ramai buruh
India bekerja di ladang-ladang getah.
Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, dasar
kerajaan British sendiri menggalakkan penghijrahan penduduk dari luar ke negara
ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di ladang-ladang dan perkhidmatan
kerajaan. Rakyat India seperti kaum Punjabi dibawa masuk untuk berkhidmat dalam
pasukan-pasukan polis dan keselamatan. Orang India yang berpendidikan Inggeris
dari India dan Sri Lanka diambil untuk berkhidmat dalam
perkhidmatan-perkhidmatan perkeranian dan teknikal. Sementara itu penghijrahan
penduduk dari India Selatan digalakkan bagi memenuhi keperluan tenaga dalam
pembinaan jalan kereta api dan jalan-jalan raya ke Negeri-negeri Selat pada
tahun 1972.
Perladangan getah yang diusahakan oleh pemodal
Eropah sejak tahun 1890-an menyebabkan kemasukan buruh India ke Tanah Melayu.
Penghijrahan yang paling ramai berlaku antara tahun 1911 hingga 1921 iaitu
semasa harga getah melambung tinggi. Kemasukan imigran India adalah melalui
Sistem Kangani yang diadakan pada tahun 1810. Pengusaha ladang menghantar
seorang ketua ke India untuk mendapatkan buruh. Pihak Inggeris menerapkan
seorang pegawai British di Madras untuk urusan pengambilan buruh. Pihak
Inggeris juga membuat persetujuan dengan kerajaan India supaya kemasukan orang
India lebih mudah untuk sektor perladangan dan awam. Kerajaan juga mewujudkan
Tabung Imigrasi India untuk mendapatkan sumbangan wang daripada pemilik kilang.
Terdapat sebilangan orang India yang berhijrah
ke Tanah Melayu yang terdiri daripada golongan pertengahan. Mereka merupakan
golongan pedagang seperti golongan Chettiar dari Madras, masyarakat Muslim dari
India Selatan dan masyarakat Gujarani, Sikh dan Sindhi dari India Utara. Mereka
merupakan golongan profesional dan separa professional yang menjadi peniaga,
peminjam wang, terlibat dalam sektor pengurusan dan pentadbiran, polis, tentera
serta pekerja-pekerja rumah semasa kerajaan kolonial di Tanah Melayu
(Sandhu,1969).
Kestabilan politik di Tanah Melayu ketika itu
juga mendorong kepada kemasukan imigran India. Pada tahun 1875, British berjaya
memulihkan keamanan di Tanah Melayu dengan menamatkan Perang Saudara dan
perbalahan kongsi gelap. Pemerintahan British melalui Sistem Residen juga telah
menjamin keselamatan harta benda dan nyawa. Pembentukan Negeri-negeri Melayu
Bersekutu pada tahun 1896 telah mewujudkan satu sistem kerajaan yang cekap dan
stabil. Keadaan inilah yang mendorong kemasukan imigran India ke Tanah Melayu.
Salah satu daripada cara penyebaran tamadun
India ke Tanah Melayu adalah melalui aktiviti perdagangan. Secara tidak langsung
aktiviti ini telah memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan
penduduk setempat. Selain itu, tamadun ini juga disebarkan melalui aktiviti
perkahwinan. Pedagang-pedagang dari India telah berkahwin dengan anak pembesar
- pembesar di Tanah Melayu.
Perkahwinan campur antara pedagang India dengan penduduk
tempatan membentuk komuniti Chetti di Melaka. Mereka merupakan hasil
perkahwinan campur antara penduduk yang berbangsa India dengan masyarakat Cina
dan Melayu tempatan dan lain-lain. Masyarakat ini wujud hasil daripada hubungan
perdagangan yang wujud antara Melaka dengan India semasa kegemilangan kerajaan
Melayu Melaka dahulu. Pada masa itu wujud suatu penempatan yang dikenali
sebagai ‘Kampung Keling’ sebagai penempatan para pedagang India bagi memudahkan
mereka berurus niaga. Menurut seperti yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu
dan Hikayat Hang Tuah, perkataan ‘keling’ berasal daripada ‘Kaling Gappatinam’
atau ‘Kalinggam’ yang dikenali sebagai Benua Keling. Di Pulau Pinang perkahwinan campur antara
India Muslim dengan wanita Melayu telah melahirkan komuniti Peranakan Jawi.
Berdasarkan faktor-faktor sejarah dan perkembangan ugama
Hindu di Tanah Melayu ini, ciri-ciri kebudayaan dan kesenian masyarakat 'India
Chetti' ini hampir merangkumi kebudayaan di negara ini kerana mereka turut
mengamalkan perkahwinan campur, adat menyambut tetamu dan pakaian tradisional
mereka. Sebagai contoh, pakaian tradisional mereka lebih mirip kepada bangsa
Melayu iaitu kebaya labuh dan bersanggul tiga bagi wanita manakala yang
lelakinya pula berkain pelekat, baju Melayu labuh dan talapa iaitu kain seperti
serban bagi menutup kepala.
Oleh kerana kehidupan mereka dipengaruhi oleh alam
sekeliling dan pergaulan dengan masyarakat tempatan, maka makanan harian mereka
juga adalah seperti orang-orang Melayu iaitu nasi. Namun terdapat juga makanan
tradisi mereka yang biasanya dihidangkan pada hari-hari kebesaran agama atau
perayaan. Makanan itu ialah tause dan itali. Kedua-dua makanan
ini diperbuat daripada beras yang direndam dan dikisar halus.
Bukti kedatangan Tamadun India dapat dilihat
melalui penemuan Candi Bukit Batu Pahat di Lembah Bujang, Kedah. Candi ini
merupakan tinggalan pengaruh ajaran Hindu Kerajaan Chola ketika menguasai
Kedah. Kesemua candi yang dijumpai tinggal bahagian tapak sahaja. Candi pada
masa dahulu merupakan monumen keagamaan bagi agama Hindu dan Buddha serta
berperanan sebagai rumah ibadat. Candi juga berfungsi sebagai tempat simpan abu
jenazah raja dan keluarganya. Di samping itu, candi juga ialah tempat menyimpan
patung dewa utama bagi sesebuah kerajaan awal dan menjadi lambang kepada
keagungan seseorang pemerintah berdasarkan kehebatan seni binanya. Candi agama
Hindu terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu vimana dan mandapa. Vimana
ialah bahagian suci tempat arca keagamaan diletakkan dan mandapa ialah bahagian
luar candi. Candi berunsur Buddha pula memiliki pelan jenis cruciform.
Terdapat juga penemuan tembikar dan
patung-patung agama Buddha di Lembah Bujang, Kedah. Selain itu, bukti
kedatangan Tamadun India dapat dilihat melalui penemuan batu bersurat di Sungai
Mas (Kedah Tua). Batu bersurat Sungai Mas berkaitan dengan agama Buddha dan
mengandungi maklumat tentang agama, pemerintahan, raja dan undang-undang.
Bahasa dan tulisan Sanskrit yang terdapat pada batu bersurat jelas menunjukkan
arahan dan pemberitahuan yang ditujukan oleh pemerintah kepada rakyat. Oleh
sebab bahasa Sanskrit merupakan bahasa keagamaan seperti yang terdapat dalam
kitab-kitab berkaitan keagamaan dan bahasa berkaitan dengan pemerintah dan ilmu,
maka, banyak perkataan tersebut masih kekal terdapat dalam bahasa Melayu dan
bahasa lain di Asia Tenggara. Sesetengah perkataannya telah mengalami
penyesuaian dengan bahasa Melayu yang ada pada hari ini.
Kesan positif kedatangan Tamadun India ke
Tanah Melayu dari segi penyebaran agama ialah agama Hindu dan Buddha telah
diterima dan menjadi pegangan penduduk tempatan yang sebelumnya berpegang
kepada kepercayaan animisme.
Dari segi sistem pemerintahan, konsep
‘Dewaraja’dalam bahasa Sanskrit yang bermakna God King diperkenalkan
pada masa dahulu. Ini merupakan konsep ketuhanan agama Hindu yang membesarkan
keagungan dewa-dewi dan dikaitkan dengan kedudukan serta status raja sebagai jelmaan
Tuhan. Konsep ini telah diaplikasikan semasa upacara pertabalan raja-raja.
Simboliknya upacara ini adalah untuk mengekalkan status tinggi raja sebagai
pemerintah tertinggi negara kita.
Manakala dari segi bahasa dan kesusasteraan
pula, bahasa Sanskrit telah mula tersebar di Tanah Melayu. Ini dapat dibuktikan
melalui penemuan Batu Bersurat Talang Tuwo, Batu Bersurat Terengganu dan
sebagainya. Pada Batu Bersurat Terengganu, selain daripada perkataan Arab,
turut ditemui juga 29 perkataan daripada bahasa Sanskrit. Sesetengah perkataan
bahasa Melayu yang kita gunakan sekarang sebenarnya berasal daripada bahasa
Sanskrit seperti perkataan bhakti, bhumi, dosa dan banyak lagi.
Kesusteraan Sanskrit seperti Epik Ramayana dan
Mahabharata juga tersebar. Hikayat Seri Rama yang cukup terkenal sebenarnya
telah mendapat inspirasi daripada Epik Ramayana. Selain itu, Epik Mahabharata
turut diberi wajah tempatan dan lahirlah hikayat seperti Hikayat Pendawa Lima,
Hikayat Panca Delima dan Hikayat Sang Boma. Karya kesusasteraan Melayu
tradisional amat menitikberatkan aspek kesenian, keromantisan, keagungan
raja-raja dan menyelitkan unsur epik dan mitos. Ia juga turut diaplikasi dalam
persembahan wayang kulit.
Dari segi adat resam dan budaya, kedatangan
agama Hindu mempengaruhi kehidupan seharian dan adat resam masyarakat Melayu
seperti amalan jampi dan mentera untuk mengubati orang sakit. Amalan adat dalam
kalangan masyarakat Melayu seperti melenggang perut, bertindik telinga,
bersanding dan berinai juga merupakan adaptasi daripada pengaruh agama Hindu.
Dari segi ekonomi dan sosial pula, aktiviti
perdagangan sekitar abad ke-14 dan ke-15 masihi membolehkan Melaka muncul
sebagai sebuah pelabuhan entrepot dan kota metropolis yang sangat terkenal di
seluruh nusantara pada masa itu. Ekonomi di Tanah Melayu pada ketika itu juga
turut berkembang ekoran daripada perkembangan pesat dalam pengeluaran kelapa
sawit, getah dan sebagainya.
Kedatangan para pedagang India Islam
terutamanya dari wilayah Benggala ke Melaka membentuk masyarakat campuran hasil
daripada perkahwinan mereka dengan wanita-wanita tempatan. Kumpulan ini memberi
impak yang kuat pada perkembangan di negeri itu. Zaman kegemilangan Melaka
memperlihatkan pengaruh India-Islam dalam hal ehwal politik di dalam kerajaan
itu. Kedatangan tamadun India juga telah melahirkan masyarakat majmuk yang
mempunyai pelbagai kebudayaan dan adat resam. Ini menjadikan Malaysia sebuah negara
yang berbilang kaum dan kaya dengan adat resam.
Dari segi seni bina, pengaruh
India tidak banyak mempengaruhi bangunan di Malaysia. Pendatang India banyak
mendirikan kuil-kuil agama Hindu yang banyak menyerupai bentuk seni bina
seperti kuil Hindu di India. Namun begitu pengaruh seni bina Selatan India,
banyak mempengaruhi binaan masjid. Masyarakat India Selatan yang beragama Islam
yang disebut sebagai Klings atau Keling lebih suka dengan gaya seni bina Islam
mereka (Vlatseas, 1990). Masjid Kapitan Kling (1802-1803), Pulau Pinang salah
satu contoh seni bina Selatan India, dibina oleh ketua masyarakat India Muslim
atau Kapitan. Seni bina India Muslim ini jelas kelihatan pada menara yang
tinggi dan kubah potong bawang.
Di samping itu, terbinanya bandar-bandar yang
lebih terancang. Kesan akibat perkembangan bandar ialah mendorong terbinanya sistem
pengangkutan moden yang lebih baik. Ia juga melahirkan kemudahan persekolah
untuk penduduk setempat memperolehi pendidikan. Contohnya, sekolah terawal di
Malaysia ialah Penang Free School yang telah dibuka pada tahun 1825. Kesan yang
lain ialah taraf kesihatan yang lebih tinggi di bandar dan terdapatnya
kemudahan perubatan seperti hospital, pusat penyelidikan dan sebagainya.
Kemudahan hospital yang terawal di Malaysia dibina di bandar-bandar
perlombongan seperti di Taiping pada tahun 1878.
Terdapat juga kesan-kesan negatif akibat
kedatangan bangsa India. Antaranya ialah kejatuhan empayar Melaka. Kejatuhan
empayar ini dikaitkan dengan pergolakan politik yang melibatkan beberapa tokoh
India Muslim di Melaka pada pertengahan abad yang ke-15. Konflik yang berlaku
antara Bendahara Tun Mutahir dengan Sultan Mahmud Shah digunakan oleh Raja
Mandeliar bagi mendapatkan pengaruh daripada pihak sultan. Peristiwa ini
akhirnya menjadi faktor yang mempercepatkan keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka
ditangan Portugis pada tahun 1511.
Antara kesan negatif dalam bidang sosial dan
ekonomi akibat daripada kemasukan imigran India ke Tanah Melayu adalah
menyukarkan proses perpaduan kaum kerana mereka telah membentuk organisasi
sosial dan budaya masing-masing. Manakala dari segi struktur kemasyarakan pula,
akibat pengaruh dari sistem kasta (susun lapis dalam masyarakat) terdapat
pemisahan jenis golongan atasan atau bangsawan yang dianggap lebih mulia dengan
golongan rakyat biasa. Pengaruh ini telah membawa kepada munculnya masyarakat feudal
dalam kehidupan masyarakat Melayu. Selain itu, akibat daripada perkahwinan
campur menyebabkan kes perebutan anak apabila pasangan itu sudah bercerai dan
anak akan dibawa lari ke negara asal mereka. Keadaan ini akan merumitkan lagi
keadaan.
Kesan akibat kemasukan secara beramai-ramai
imigran India telah membawa kepada pertambahan penduduk di Tanah Melayu.
Keadaan ini menyebabkan kawasan bandar lebih ramai didiami oleh kaum bukan
Melayu yang menjadi pusat perkembangan ekonomi moden. Dari segi pendidikan
pula, kesan negatif akibat daripada kedatangan tamadun India adalah pengenalan
kepada sistem pendidikan vernakular dengan sukatan pelajaran yang berbeza. Ini
menyebabkan sukatan pelajaran yang diajar di sekolah tidak selaras dan
menyukarkan para pelajar.
2.4 Tamadun Islam
Islam mempunyai kaitan yang rapat terhadap perkembangan tamadun manusia
termasuklah di Malaysia. Perkataan Islam itu sendiri berasal daripada perkataan
Arab salima bererti selamat sentosa atau kedamaian. Dari perkataan salima
ini lahir perkataan aslama yang bermaksud terpelihara dalam keadaan
selamat sentosa. Ia juga bererti menyerah diri, tunduk patuh dan taat.
Sebelum
kedatangan Islam, masyarakat Melayu menganut fahaman animisme. Keadaan ini
berubah selepas kedatangan Islam yang membawa konsep tauhid dengan menafikan
kewujudan Tuhan yang banyak. Bermula dengan konsep keesaan Tuhan dan ibadat
yang luas Islam telah berjaya menarik minat masyarakat tempatan. Sejak
kedatangan Islam, kehidupan harian masyarakat Melayu dan adat istiadat tertentu
yang didapati bertentangan dengan akidah ditinggalkan secara beransur-ansur
(Ruslan Zainuddin, 2004).
Agama Islam menjadi asas utama dalam pembentukan Tamadun
Melayu dahulu dan sekarang. Islam telah menjadi agama rasmi sebagaimana yang
diperuntukkan dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Malaysia. Islam juga menjadi
anutan yang tidak boleh dipisahkan daripada Tamadun Melayu. Dalam
perkembangannya, tamadun Melayu semakin mantap dengan kedatangan agama Islam
dan kewujudan adat istiadat Melayu. Islam dan adat budaya Melayu telah
berinteraksi dan berintegrasi antara satu sarna lain serta saling melengkapi
antara keduanya dalam Tamadun Melayu.
Kedatangan Islam telah menyebabkan berlaku proses
Islamisasi di alam Melayu dengan kesan-kesannya sebagaimana yang dilihat dalam
sejarah. Antaranya, berlaku perubahan akidah Melayu kepada kehidupan
kerohanian. Namun, masih ada unsur unsur budaya Hindu-Buddha dan animisme yang
masih diamalkan. Proses Islamisasi dalam masyarakat Melayu telah merubah
pelbagai aspek kehidupan seperti rohani, intelektual dan kemasyarakatan.
Perkembangan Islam di alam Melayu unik kerana tidak
terdapat sebarang bukti penggunaan kekerasan atau ekspedisi-ekspedisi
ketenteraan yang motif utamanya mengembangkan Islam. Jika ada pun, perselisihan
yang wujud adalah bersifat setempat dan tidak menyeluruh disebabkan faktor
keengganan menerima perubahan. Tarikh sebenar kedatangan Islam ke alam Melayu
masih lagi menjadi bahan pertikaian dan perdebatan. Meskipun sedemikian,
setidak-tidaknya terdapat beberapa bahagian di alam Melayu yang telah pun
menerima Islam sejak abad ke-7 ataupun ke-8 masihi seperti di Sumatera
sementara di Tanah Melayu pula sejak abad ke-9 atau ke-10 masihi. Ramai juga
sarjana yang meletakkan bahawa kemasukan Islam ke Sumatera dan Tanah Melayu
sebenarnya lebih lewat dari itu dan mengatakan bahawa di Sumatera sekitar abad
ke-13 sementara di Tanah Melayu pada abad ke-14.
Secara umumnya, terdapat tiga teori dalam
melihat kedatangan Islam ke mlam Melayu. Tiga punca ini termasuklah Islam
dibawa dari Tanah Arab, dari China dan dari India. Terdapat satu persamaan dalam ketiga-tiga
teori ini iaitu agama Islam berkembang melalui perdagangan.
Islam dari
Tanah Arab. John Crawford mengatakan agama Islam datang secara langsung dari
Tanah Arab pada abad ke-7M. Bukti yang dikemukakannya ialah “pedagang Arab
sudah lama berdagang di alam Melayu iaitu sejak Zaman Jahiliyah sehinggalah ke
Zaman Islam.” S.M. Naquib al-Attas pula menegaskan
bahawa kandungan persuratan Melayu Islam dengan istilah dan konsep serta
tulisan Jawi yang digunakan menunjukkan sumber Arab atau Timur Tengah sebagai
puncanya kedatangan Islam. Selain itu, Islam turut disebarkan melalui
perkahwinan seperti perkahwinan antara Ali bin Muhammad ibn Jaafar iaitu salah
seorang daripada ahli rombongan Muhamad bin Jaafar al-Siddiq dengan Puteri
Makhdum Tanshuri iaitu adik perempuan raja Perlak. Maharaja Derbar Raja II, raja Kedah telah pun diislamkan
pada tahun 531 H/1136 M oleh Sheikh Abdullah bin Sheikh Ahmad al-Qaumiri
seorang ulama berbangsa Arab yang datang dari Yaman.
Islam dari India. Pada zaman
pemerintahan Kesultanan Delhi (abad ke-13), agama Islam sudah bertapak di
India. Kota Baghdad telah merosot kerana ditawan oleh tentera Mongol. Kerajaan
Islam di Sepanyol pula menghadapi Perang Salib. Akibatnya, banyak orang Islam
yang berhijrah ke Timur (alam Melayu). Para sarjana seperti S.Q. Fatimi,
Morison Harison, RA. Kern dan Snouck Hurgronje berpendapat bandar pelabuhan
Gujerat di India memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam melalui
perdagangan. Snuck Hurgronje dan Brian Harisson (orientalis Barat) telah
menyatakan, “Masyarakat alam Melayu memandang India bagi mendapatkan khidmat
nasihat dan bimbingan termasuklah akhirnya dalam persoalan agama.” Penemuan batu nisan di Pasai yang bertarikh 1428M dan di
Gerisik yang bertarikh 1419M oleh Morquette merupakan bukti Islam dibawa ke
Pasai melalui perdagangan. Bentuk fizikal kedua-dua batu nisan ini mempunyai
ciri persamaan dengan batu nisan di Gujerat. Realiti ini membawa pada
kesimpulan sejarah oleh sejarawan iaitu Islam sampai ke alam Melayu pada awal
kurun ke-15M. Selain itu, persamaan mazhab iaitu mazhab Shafie menyebabkan
Thomas Arnold dalam bukunya The Preacing
of Islam meletakkan bahawa Islam di Asia Tenggara dibawa oleh pedagang dan
pendakwah dari Malabar.
Islam dari China. Emanuel
Godinho De Evedia mengatakan Islam datang ke nusantara dari China melalui
Canton dan Hainan pada kurun ke-9 masihi. Pendapat ini terbukti dari hasil
penemuan batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu yang terletak di pantai
Timur Tanah Melayu. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, pemberontakan di
Canton (878 masihi) telah menyebabkan para pedagang Islam berhijrah ke Kedah
dan Palembang demi mendapatkan perlindungan. Kedatangan
mereka ke Kedah dan Palembang ini dijadikan asas teori Islam datang dari China.
Pedagang-pedagang Arab telah singgah di beberapa
pelabuhan di alam Melayu untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman sebelum
meneruskan perjalanan ke negara China. Semasa singgah di alam Melayu, mereka
berpeluang mengenal adat resam penduduk tempatan. Sebilangan dari mereka telah
berkahwin dengan penduduk tempatan dan mengislamkan isteri serta keluarga pihak
isteri. Perkampungan Arab telah wujud dengan banyaknya di Campa, Kemboja dan
Sumatera. Ini menyebabkan Islam dapat disebarkan dengan mudah dan meluas.
Raja serta golongan bangsawan mempunyai pengaruh yang
kuat terhadap penduduk tempatan. Penduduk tempatan akan mengikut segala
tindakan raja atau ketua mereka. Ini menyebabkan penduduk tempatan memeluk
agama Islam.
Raja yang memeluk agama Islam akan mengamalkan
pentadbiran bercorak Islam seperti Melaka di Tanah Melayu. Kerajaan Islam telah
meluaskan jajahan takluk dan menyebarkan agama Islam kepada penduduk tempatan.
Contohnya, Bendahara Tun Perak di Melaka telah meluaskan kuasanya ke Pahang,
Pattani, Terengganu, Johor, Bangkalis, Siak, Kampar, Rokan dan Inderagiri.
Penduduk tempatan dapat menerima kemasukan Islam dan telah memeluk Islam tanpa
sebarang paksaan.
Banyak tokoh mubaligh muncul pada zaman pemerintahan
Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1505-1535). Antaranya ialah Abdul Rauf
Singkel, Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri. Tokoh-tokoh tersebut
menyebarkan Islam secara berhikmah dengan akhlak yang mulia, rasional dan
bijaksana. Mubaligh menyebarkan Islam melalui ceramah (khutbah) dan penulisan
kitab. Mubaligh yang terkenal di Demak ialah Wali Songo atau Wali Sembilan yang
sangat giat menyebarkan Islam.
Setiap kerajaan Islam
yang kuat dan masyhur akan memainkan peranan penting sebagai pusat
kebudayaan Islam di alam Melayu. Pada mulanya peranan ini dimainkan oleh Perlak
dan Pasai, kemudian diambil alih oleh
Melaka, Acheh dan Riau. Pusat tersebut juga terkenal sebagai pusat perdagangan
dan pusat intelektual. Pusat tersebut mempunyai institusi pendidikan seperti
pondok sekolah. Banyak pusat kegiatan intelektual didirikan untuk masyarakat
setempat mendalami ajaran Islam.
Kedatangan Islam telah memberi kesan yang
besar terhadap masyarakat Melayu. Kesan ini juga jelas dilihat di dalam
kehidupan seharian masyarakat Melayu. Kehidupan masyarakat Melayu banyak diguna
pakai dalam adat dan ajaran agama Islam. Kesan dan pengaruh Islam dalam tamadun
Melayu adalah seperti berikut:
Agama dan Kepercayaan.
Masyarakat Melayu meninggalkan ajaran
Hindu-Buddha dan animisme serta bertukar kepada konsep ketuhanan,
hormat-menghormati dan pentingkan soal persamaan taraf. Islam telah mengubah world
view masyarakat Melayu daripada mempercayai roh, semangat dan dewa kepada
mempercayai Tuhan Yang Maha Esa, nabi-nabi, malaikat dan kitab suci. Walau bagaimanapun,
tradisi dan adat lama masih sukar dihapuskan dan hilang sedikit demi sedikit.
Politik dan Pemerintahan.
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah memberi perubahan
terhadap sistem politik. Beberapa institusi Islam
didirikan bagi membantu mengukuhkan sistem pentadbiran berasaskan Islam. Antara
institusi yang didirikan adalah Jabatan Agama Islam dan Syariah. Institusi kesultanan telah diperkenalkan
berdasarkan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Tanah Melayu menggunakan undang-undang syariah
untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat sama seperti kerajaan Islam.
Gelaran sultan digunakan oleh ketua kerajaan dan baginda menjadi ketua agama
Islam. Baginda dianggap sebagai pemegang amanah Allah swt iaitu
bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat jelata. Penasihat, ulama dan mufti
turut membantu baginda dalam menguruskan pentadbiran. Selain itu, kedatangan
Islam telah menyemarakkan semangat jihad orang Melayu menentang penjajah.
Semangat yang berkobar-kobar itu akhirnya melahirkan semangat kebangsaan
penduduk tempatan untuk menentang penjajah Portugis, Belanda, Sepanyol dan
Inggeris.
Bahasa dan Kesusasteraan.
Bahasa Melayu menerima pengaruh Islam pada
abad ke-14. Masyarakat Melayu menyesuaikan perkataan Arab kepada bahasa Melayu
dan diubah suai sebagai tulisan Jawi. Pada masa itu, bahasa Melayu telah
dipilih sebagai bahasa persuratan dan sebagai alat penyebaran Islam di seluruh alam
Melayu. Berlaku pinjaman kata bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu seperti hakim,
mahkamah, akal, tamadun, roh, iman, ilmu. Agama Islam membawa perubahan besar terhadap
kesusasteraan Melayu. Antara hasilnya adalah Hikayat Nabi Muhammad saw, Hikayat
Para Nabi dan Rasul.
Pendidikan.
Sebelum kedatangan Islam, pendidikan hanya terhad kepada
golongan bangsawan. Selepas kedatangan Islam,
golongan bawahan menerima pendidikan yang sama seperti golongan atasan.
Di Melaka, istana berperanan sebagai institusi pendidikan dan mempunyai
perpustakaan untuk menyimpan kitab-kitab dan sastera Islam. Antaranya ialah
Kitab Dun al-Manzum, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammaad Ali Hanafiyah. Sistem pendidikan yang bermula di istana mula beralih ke
institusi pendidikan Islam seperti pondok dan madrasah. Sekolah pondok
banyak terdapat di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Lahirlah para cendiakawan Melayu seperti Hamzah Fansuri
dan Syeikh Abdul Malik Abdullah.
Adat dan Cara Hidup.
Tradisi animisme dan Hinduisme telah diganti dengan adat
dan cara hidup Islam yang dilakukan sejak individu itu lahir di dunia
sehinggalah hari kematiaannya. Tiada lagi sistem kasta yang berasaskan ajaran
agama Hindu diamalkan dalam masyarakat Melayu.
Sistem Kekeluargaan.
Keluarga sebagai agen sosialisasi utama dalam
masyarakat Melayu di samping komuniti bagi melaksanakan kawalan serta tekanan
sosial. Sistem
kekeluargaan masyarakat Melayu dan pendidikan berteraskan Islam dan adat.
Proses sosialisasi pada tahap kanak-kanak juga
memperlihatkan penerapan unsur-unsur Islam yang berterusan. Seseorang
kanak-kanak sejak kecil lagi diajar konsep dosa, pahala, haram dan sebagainya.
2.5 Tamadun Barat
Bermula dengan penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris,
penjajahan Inggeris memperkenalkan bukan sahaja dasar-dasar baru dalam bidang politik, pentadbiran, ekonomi,
pendidikan dan lain‑lain tetapi juga nilai‑nilai baru yang terselindung di sebalik dasar‑dasar tersebut.
Orang Melayu, sama ada secara sedar atau tidak, turut mendokong nilai‑nilai tersebut
setelah menerima (secara paksaan atau terpaksa) dasar‑dasar penjajahan dalam bidang‑bidang yang
disebutkan di atas. Pada masa pertengahan pula kebanyakan pengaruh barat masuk
melalui rakyat Malaysia yang banyak melanjutkan pelajaran juga bekerja di
barat. Akibat dari itu banyak rakyat Malaysia yang belajar di barat membawa
pulang bersama cara hidup dari Barat yang lebih moden dan terbuka.
Juga jika dilihat semasa Malaysia sedang
membangun, banyak tenaga pakar dan profesional
dari Barat di bawa masuk ke Malaysia untuk berkhidmat membangunkan
Malaysia. Jika dilihat pada masa sekarang, media massa menjadi pembawa utama
pengaruh Barat ke Malaysia seperti
filem, rancangan televisyen, akhbar dan dari segala aspek.
Perkahwinan campur yang sudah menjadi
kebiasaan dlm golongan atasan juga membawa kepada pendekatan pengaruh barat ke
dalam bangsa Melayu terutama Malaysia.
Masyarakat Melayu kini lebih terikut dengan
budaya keterbukaan yang diketengahkan oleh masyarakat Barat dalam hidup seperti
pergaulan bebas serta kesopanan dalam masyarakat. Selain itu, cara hidup
masyarakat Barat yang gemar berhibur dan berpesta juga dapat dilihat dengan
banyaknya di kelab-kelab malam yang dibina di Malaysia sekarang.
Amalan meminum arak sudah menjadi perkara biasa bagi
sesetengah masyarakat Melayu sehinggakan berani meminumnya tanpa rasa bersalah
di khalayak dan jika dilihat terdapat juga orang-orang berada yang mempunyai
mini bar sendiri di rumah mereka. Jika dilihat pada masa kini, seks bebas juga
semakin menular dalam masyarakat Melayu sehinggakan terdapat golongan pelajar
sendiri yang terikut-ikut dengan cara hidup di Barat seperti yang di papar
dalam filem-filem dari Barat.
Bahasa Inggeris semakin meluas penggunaannya dalam
masyarakat kita, sehinggakan ada yang menyuarakan bahawa lebih mudah dan lebih
dipandang tinggi jika bertutur dalam bahasa Inggeris. Sikap kemasyarakatan juga
semakin berkurang dalam diri masyarakat Melayu sekarang. Masyarakat lebih
senang untuk tidak mengambil kisah hal-hal kejiranan.
Permainan rakyat seperti gasing, konda-kundi, batu
seremban, wau dan congkak semakin dilupakan, sebaliknya kanak-kanak Melayu pada
masa kini lebih mengagungkan permainan yang dating dari Barat seperti kereta
kawalan jauh dan permainan video.
Masyarakat Melayu pada masa kini kebanyakannya gemar
meniru cara pemakaian orang Barat yang menjolok mata dan ketat. Ini amat
berbeza dengan budaya masyarakat Melayu dahulu yang mengutamakan kesopanan.
Pakaian Barat turut menjadi pakaian rasmi untuk ke pejabat serta ke
majlis-majlis seperti kemeja, blouse dan kot dan ini sangat berbeza
dengan masyarakat Melayu yang asalnya menjadikan baju Melayu serta baju kurung
sebagai pakaian rasmi untuk ke mana-mana. Kini baju Melayu hanya sering dilihat
pada hari raya. Pakaian tradisional seperti batik dan sulaman yang dahulu
menjadi kebanggaan masyarakat Melayu kini semakin pupus ditelan zaman akibat
kurang promosi serta kepenggunaannya dalam masyarakat.
Jika dilihat pada hari ini hampir 99 peratus lagu yg
dicipta dan di mainkan di radio adalah bertemakan muzik Barat seperti tertonik,
jazz dan RnB sehinggakan artis-artis Malaysia sendiri bernyanyi dan
mencipta lagu dalam bentuk moden yang kebaratan. Pada masa lalu, masyarakat
lebih gemar memasang lagu-lagu tradisional pada majlis-majlis keramaian seperti
pada majlis perkahwinan, menyambut kehadiran org kenamaan, tetapi masa kini,
lagu-lagu Barat yang dimainkan pada majlis-majlis keramaian.
Anak-anak muda sekarang lebih cenderung untuk belajar
bermain alat muzik Barat seperti drum, gitar, bass serta piano sehinggakan di
sekolah sendiri mengadakan kelas untuk alat-alat muzik seperti ini dan
alat-alat muzik tradisional kini hanya dijadikan sebagai barang perhiasan di
rumah-rumah.
Tarian barat seperti ballet, jazz, tektonik,
shuffle dan liquid menjadi
kegilaan masyarakat pada masa kini. Mereka ini beranggapan tarian
tradisional adalah membosankan.
Hilangnya kebanggaan kita terhadap budaya kita
sendiri yang diturunkan dari dahulu lagi. Jatuhnya moral kita sebagai orang Melayu
juga yang beragama Islam yang mementingkan maruah serta kesopanan. Gejala
sosial bertambah serta runtuhnya akhlak dalam masyarakat kita. Menaikkan
ekonomi Barat kerana produk-produk Barat menjadi kegilaan masyarakat kini. Masyarakat
mementingkan pangkat dan kemewahan hidup. Isi keagamaan menjadi tidak penting
lagi. Hubungan kemasyarakatan semakin berjauhan.
Antara cara mengatasi penularan budaya Barat. Media
massa perlu lebih banyak menyiarkan perkara yang mencirikan ketimuran. Kerajaan
perlu menganjurkan program menaikkan produk-produk tradisional. Ibu bapa perlu
menerapkan contoh dan amalan mulia dan mengajar anak-anak tentang agama dan
moral yang baik (ketimuran). Majlis-majlis perlu lebih menitikberatkan tentang
pakaian serta konsep yang digunakan sejajar dengan agama dan bangsa. Sekatan
terhadap filem serta lagu-lagu barat yang berunsur negatif. Subjek kenegaraan
perlu dititikberatkan dalam kokurikulum.
2.6 Faktor-Faktor Kekuatan Masyarakat Melayu
Perjuangan menobatkan bahasa Melayu telah melalui
perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama. Raja-Raja Melayu dalam
mesyuarat Durbar pada 1903 di Kuala Lumpur telah membangkitkan soal
pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Usaha menobatkan bahasa
Melayu mencapai kemuncak apabila bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya menjadi
bahasa ilmu di pusat-pusat pengajian tinggi dan menjadi lengkap apabila terlaksana penggunaannya di kamar
mahkamah di negara ini. Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan bagi memperjuangkan
bahasa Melayu. Ia merupakan universiti pertama yang menggunakan bahasa Melayu
dan ini membuktikan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa perantaraan
ilmu. Universiti tersebut adalah manifestasi
kesungguhan negara bangsa melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan dan melaluinya,
telah membantu meningkatkan tahap pencapaian ilmu dalam kalangan rakyat jelata,
berupaya menjadi cerdik pandai di samping mengembangkan daya intelek dalam
kalangan warga.
Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan negara, simbol
kekuatan warga serta payung mahkota negara tempat rakyat tumpang berteduh. Raja
Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa. Raja itu adalah lambang kerajaan.
Rakyat yang memahami “budaya rakyat beraja - negeri bersultan” memahami akan
falsafah pemerintahan beraja, peranan raja secara tersirat di sebalik yang
tersurat, melindungi kepentingan bangsa Melayu. Raja-Raja Melayu berperanan
penting dalam usaha memperjuangkan dan mencapai kata sepakat menuntut
kemerdekaan. Kesembilan Raja Melayu memberikan perkenan untuk ditubuhkan
Persekutuan Tanah Melayu dan turut berkenan untuk dilantik salah seorang
daripada baginda-baginda itu menjadi Ketua Negara secara bergilir-gilir dengan
gelaran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Pentingnya adat masyarakat Melayu jelas
terlihat dalam peribahasa yang berbunyi “biar mati anak, jangan mati adat”. Adat ini
dapat dilihat pada tiga aspek kehidupan iaitu adat resam kelahiran, perkahwinan
dan kematian.
Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya
beragama Islam percaya setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya
masing-masing, justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek
kelahiran ini, masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat tertentu yang diwarisi
sejak turun- temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung (melenggang
perut), bersalin (potong tali pusat, azan atau qamat, membelah mulut,
berpantang) dan selepas lahir (tanggal pusat atau cuci lantai, member nama,
cukur rambut atau potong jambul, naik buai, jejak tanah atau turun tanah,
bersunat atau berkhatan).
Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan
begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan
dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat
Melayu, terdapat beberapa peringkat penting antaranya merisik, meminang,
bertunang, akad nikah, berinai serta bersanding.
Mengikut ajaran Islam, mayat perlu dimuliakan
dan dihormati daripada jasad yang hidup. Dalam masyarakat Melayu yang
rata-ratanya beragama Islam, kewajiban menguruskan mayat saudara sesama Islam
adalah fardu kifayah.
3.0 Kesimpulan
Tamadun Melayu terbentuk hasil daripada campur tangan
tamadun-tamadun luar seperti Tamadun China, India, Islam dan Barat. Terdapat
banyak kesan yang ditinggalkan oleh tamadun-tamadun ini dan kita dapat lihat
kesannya sampai sekarang.
Dalam membina peradaban bangsa Malaysia menjelang tahun
2020, apa yang pasti ialah budaya dan nilai luhur yang wujud dalam agama Islam
dan orang Melayu perlu diperkasakan dan dijadikan sebagai teras kepada
pembentukan dan pembinaan bangsa Malaysia dan negara Malaysia. Ini kerana orang
Melayu pernah membuktikan kepada dunia bahawa mereka pernah mengecap zaman
kegemilangan lantaran berpegang teguh dan menghayati sepenuhnya ajaran Islam.
Islam sebagai
cara hidup yang lengkap menyediakan panduan yang sempurna bagi semua dimensi
kehidupan. Maka untuk mencapai era kegemilangan sepertimana yang dikecapi oleh
umat Melayu terdahulu, sewajarnya generasi hari ini kembali memahami
dan menghayati ajaran Islam dalam erti kata yang sebenar kerana Islam adalah
yang dinamik dan progesif.
Rujukan
Meniti Catatan Sejarah, Koleksi Artikel
2002-2003; Arkib Negara Malaysia, Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan
Malaysia 2005.
Modul Pengajian Tamadun Islam dan Tamadun
Asia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
http://aisaluddin.multiply.com/journal/item/14/SEJARAH_KEDATANGAN_ISLAM_KE_TANAH_MELAYU
http://zainulfaqar.wordpress.com/2007/10/21/teori-kedatangan-islam-ke-alam-melayu-suatu-analisis/
http://malaysiana.pnm.my/01/0101mel_pengenalan.htm
PERPUSTAM
(Perbadanan Perpustakaan Negeri Melaka)
MZ Zainudin, Nur Hazwani Mohd Fadzil, Nur Akmal Abd Rahman, Nurul Aini Abdullah,
Venecia Violette, Zulfika Arsad
No comments:
Post a Comment