Tuesday, March 24, 2015

Lee Kuan Yew dan theory of constraints








Lee Kuan Yew (LKY) adalah Menteri Mentor Singapura. Dikenali sebagai bapa Singapura moden, LKY telah berusaha keras dengan segala kepintarannya untuk memajukan Singapura sebagai sebuah negara yang makmur, kaya dan disegani di seluruh dunia. Syarikat penerbangan Singapura, Singapore Airlines (SIA) adalah syarikat yang sangat cemerlang. Kepintaran LKY telah menarik minat syarikat asing untuk menjadikan Singapura sebagai pusat perkhidmatan dan pengedaran barangan di sebelah Asia dan Pasifik. 

Pembangunan negara yang pesat ketika pentadbiran LKY menjadikan masyarakat Singapura sama ada Cina, Melayu ataupun India menikmati segala kemudahan dan kemewahan, jauh meninggalkan rakan-rakan Asean yang lain seperti Malaysia dan Indonesia. Itulah kebanggaan Singapura. Ia mempunyai simpanan senjata di merata tempat di seluruh dunia khususnya di Amerika Syarikat dan sentiasa berjaga-jaga. Ini kerana penggerak kepada pembangunan Singapura adalah perdagangan yang merangkumi pelbagai jenis perkhidmatan dari pelancongan hinggalah kesihatan dan pendidikan.

Majoriti rakyat Singapura adalah etnik Cina yang telah melepasi zaman kepayahan di Negara China. Kedatangan beramai-ramai etnik ini ke kepulauan Melayu adalah untuk memenuhi permintaan buruh di ladang dan perlombongan bijih timah. Kemasukan beramai-ramai ini menjadikan Singapura hak milik Cina untuk tempoh yang panjang.

Kaum Melayu membentuk 15 peratus diikuti India dan orang asing yang lain. Singapura sangat mementingkan pendidikan khususnya pendidikan tinggi yang mana Universiti Nasional Singapura adalah antara 20 buah universiti yang terbaik di dunia mengikut senarai Times Hinger Education Supplement 2006. Malaysia masih terkapai-kapai untuk berada dalam kelompok 100 teratas walaupun Universiti Malaya pernah mengecap kedudukan terbaik pada tahun 2004.

Singapura yang didominasi etnik Cina sentiasa melihat Malaysia dan Indonesia sebagai negara yang mendiskriminasi etnik ini. Kebimbangan LKY ialah selepas ketiadaannya nanti, Singapura akan kembali ke pangkuan Malaysia dan boleh dipermain-mainkan. LKY begitu gusar jika kelancaran ekonomi negaranya terancam sama ada kerana keselamatan serantau, wabak penyakit, makanan tercemar atau alam sekitar. Risaunya LKY ada asasnya. Jerebu di Indonesia sahaja mengakibatkan Singapura mengalami kerugian sebanyak $50 juta sehari.

Bagaimana caranya beliau berfikir untuk menghadapi jirannya, Malaysia dan Indonesia?

Kita sering mendengar Singapura mengambil penasihat ketenteraan dari Israel. Apa sahaja yang terbaik akan dipelajari dan dilaksanakan. Salah satu kaedah yang digunakan dalam hubungan antarabangsa ialah Theory of Constraints (TOC) atau Teori Kekangan. TOC diperkenalkan oleh Eli Goldratt iaitu seorang pendidik, penulis, ahli sains, ahli falsafah dan pemimpin perniagaan.

Dr. Goldratt adalah pengasas TOC, diiktiraf sebagai pemimpin dalam pembangunan pengurusan perniagaan. Syarikat ternama seperti General Motors, Proctor & Gamble, AT&T, NV Philips dan Boeing telah mendapat khidmat kepakaran beliau.

Eli Goldratt adalah seorang Yahudi. Mendapat ijazah sarjana muda sains dari Universiti Tel Aviv, master sains dan ijazah kedoktoran dari Universiti Bar-Ilan, Israel. Beliau juga merupakan pengasas Institut Goldratt. Institut ini melatih pelajar pintar dari seluruh dunia untuk berfikir dan menyelesaikan masalah. Kos untuk belajar di institut ini selama tiga minggu adalah RM200,000 seorang. Dianggarkan terdapat tiga orang rakyat Malaysia yang pernah belajar di sini berbanding 50 orang rakyat Singapura.

Apa kaitannya LKY dengan TOC ini?

Lee Kuan Yew adalah seorang yang pintar, sepintar pentadbirannya di Singapura. Tentulah LKY mempunyai pelbagai teori dan pendekatan untuk membuat sesuatu. Walau bagaimanapun, artikel ini memberi fokus kepada peranan TOC dalam mencorak pemikiran dan tindakan LKY.

Latar Belakang TOC

Theory of Constraints adalah salah satu penemuan daripada beberapa teori sebelumnya yang boleh digunakan oleh sesebuah organisasi untuk membuat keputusan di mana terdapatnya kekangan. TOC menyediakan kerangka bagi pengurusan secara holistik dan memberi fokus terhadap objektif dan matlamat organisasi.

Kekangan ini adalah sebarang halangan yang berada dalam organisasi yang menjadi rintangan ke arah pencapaian matlamat. Terdapat dua jenis kekangan iaitu fizikal dan bukan fizikal. Kekangan fizikal adalah sesuatu yang boleh dilihat, dipegang dan dirasa seperti mesin, manakala bukan fizikal ialah produk, prosedur atau minda para pekerja.

TOC menyatakan bahawa pada setiap sistem terdapat satu kekangan yang menghalang sistem berkenaan daripada mencapai prestasi terbaiknya. Contohnya dalam sesebuah syarikat perniagaan, keuntungan adalah matlamat tertinggi yang hendak dicapai, manakala bagi sesebuah negara pula, pencapaiannya ialah dapat menandingi negara-negara yang bersaing dengannya.

TOC sentiasa menyedarkan pelaksananya supaya peka dan dapat mengenal pasti kekangan yang ada seterusnya meningkatkan pencapaian.

TOC menekankan lima langkah berfokus untuk mengenal pasti kekangan dalam organisasi dan secara bersistematik merungkai masalah-masalah tersebut. Pengamal TOC mendakwa teori ini banyak membantu meningkatkan pendapatan dalam perniagaan. Lima langkah tersebut adalah:


1.Mengenal pasti kekangan yang wujud dalam sistem.
2.Tentukan bagaimana dapat mengeksploitasi kekangan tersebut.
3.Gantikan setiap elemen yang mengganggu sistem pada langkah 2.
4.Lenyapkan kekangan tersebut daripada sistem.
5.Sekiranya terdapat kekangan, ulangi langkah 1.


Perkara utama yang sangat ditekankan dalam TOC ialah kemahiran dan keupayaan berfikir. Penuntut yang telah tamat di Institut Goldratt akan bergelar Jonah, mengambil nama sempena kisah masyarakat Yahudi dahulu. Jonah adalah individu yang sering membawa sial atau celaka. Contohnya kalau seseorang itu naik bas, dengan adanya dia, bas tersebut menghadapi masalah atau kemalangan. Masyarakat Yahudi percaya Jonah ini adalah orang yang membawa khabar buruk. Eli Goldratt cuba menukar persepsi ini dengan memberi kerangka baru kepada makna Jonah. Dalam tempoh tertentu, diadakan konferens melibatkan pertemuan Jonah seperti September 95 Jonah Upgrade Conference di Cherry Hill, New Jersey, Amerika Syarikat.

Berfikir untuk membuat perubahan adalah keutamaan dalam TOC. Institut Goldratt mengutamakan kualiti pelajarnya untuk berfikir dan membuat perubahan. Oleh itu, matlamat menghalalkan cara boleh sahaja dilaksanakan. Kerangka pemikiran bagi membantu perubahan terletak pada tiga soalan iaitu:


1.What to change
2.What to change to
3.How to cause the change.


Teori ini mungkin akan ketinggalan selepas teori-teori baru muncul satu per satu. Perubahan cara berrfikir dan budaya bakal menjadikan teori-teori ini lebih berkesan untuk rancangan dan pelaksanaan pentadbiran yang lebih baik.

Pada usia 91 tahun, LKY tidak berupaya lagi berhadapan dengan keadaan kesihatan. Setiap hari beliau merasakan kesihatannya merosot dan dirinya semakin lemah. Jasa dan usahanya membangunkan sebuah negara yang kecil sehingga dikenali akan terus menjadi rujukan dan teladan kepada pemimpin selepas ini.


No comments:

Post a Comment