Sunday, March 15, 2015

Pendakwah perlu mahir teknik menarik perhatian







Menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat adalah satu usaha yang sangat mulia. Justeru, masyarakat memberi gelaran khusus kepada orang yang melakukan usaha ini iaitu “pendakwah”. Seiring dengan perkembangan semasa khususnya teknologi maklumat dan saluran media serta selera masyarakat, golongan pendakwah dengan gaya penyampaian tersendiri mula mendapat perhatian.

Memahami pendakwah perlukan sedikit kajian berkaitan latar belakang ilmu mereka dan teknik menarik perhatian. Di Malaysia, pendakwah yang kita kenali dikelompokkan sebagai golongan ustaz, ustazah atau kakitangan jabatan agama. Mereka ini dikenali sebagai pendakwah formal. Namun, pendakwah yang tidak formal lebih ramai dan terkenal.

Pertembungan dua tokoh pendakwah baru-baru ini memberi ruang kepada kita untuk menilai kembali ciri-ciri pendakwah yang berkesan. Secara tidak sedar, ada pendakwah yang memiliki teknik dan kaedah menarik perhatian tersendiri. Menyelit lagu, kata-kata pujangga, meniru babak lakonan atau jenaka merupakan bentuk-bentuk kaedah menarik perhatian audiens sesuai dengan tujuan dakwah iaitu mengajak orang ramai menghayati Islam dan menjadikan Islam sebagai satu sistem hidup.

Kebanyakan pendakwah yang muncul hari ini banyak dikenali melalui media sosial. Namun, kebanyakan pengguna di media sosial ini terdiri dari golongan orang muda dan mereka lebih akrab dengan pendawah media sosial. Kuliah agama dan ceramah agama pendakwah ini sentiasa dimuat naik dalam rangkaian media sosial supaya kandungan kuliah mereka dapat dikongsi bersama. Disebabkan penonton ramai orang muda, kandungan kuliah agama atau ceramah agama mesti mempunyai daya penarik supaya dapat mengajak orang muda membuat perubahan dalam beragama.

Ada dalam kalangan pendakwah ini kurang menjaga bahasa mereka dan memilih perkataan yang menjengkelkan. Hal ini tidak lain hanya mempamerkan kerendahan tahap intelektual mereka. Menjatuhkan maruah pihak lain tanpa fakta juga menunjukkan akhlak yang jauh dari kemuliaan jiwa.

Berdakwah secara serius tidak menjadi masalah, mungkin keseriusan tersebut adalah kerana audiens yang khusus dan tempat yang istimewa pula. Umpamanya mengaji kitab Bahrul Mazi di masjid, kuliah seperti ini tidak ada lawak jenaka atau santai kerana kandungan kitab ini perlukan penjelasan berfakta di samping ulasan yang kemas. Di samping itu keseriusan berdakwah disumbangkan oleh peribadi pendakwah itu sendiri yang serius dan tidak mahir dalam teknik menarik perhatian audiens.

Pendekatan pendakwah di Indonesia juga hampir sama dengan pendakwah di Malaysia. Salah seorang pendakwah tersebut adalah “Ustadz Cepot” yang sentiasa menggunakan pendekatan jenaka diiringi senyum dan teriakan. Lelaki ini tampil dengan songkok jawa dan bertongkat serta berdiri. Ceramah spontannya disenangi ramai.

Kaedah penyampaian dakwah Uztadz Cepot turut mendapat sambutan di negara itu dari semasa ke semasa, cuma bahasa Melayu yang disampaikan agak pelat dengan kejawaan.

Memilih pelbagai pendekatan berkawah sangat penting untuk pendakwah kerana sasaran audiens berbeza-beza. Biarlah orang muda yang penuh dengan cabaran hidup hari ini mendapat santapan rohani yang sangat berharga daripada pendakwah yang ikhlas. Mungkin selepas mendapat kesedaran, jiwa dan hidup mereka lebih kuat dan mahu menjadikan Islam sebagai sistem hidup yang sempurna.

  

No comments:

Post a Comment