Wednesday, March 25, 2015

Insan cemerlang, ummah terbilang








Sehingga mencapai umur 40 tahun, Nabi Muhammad saw tidak pernah diketahui sebagai negarawan, ulama dan pendakwah. Baginda saw tidak pernah dilihat membincangkan prinsip-prinsip metafizik, alam ghaib, etnik, perundangan, politik, ekonomi atau sosiologi. Tidak diragukan lagi baginda saw memiliki akhlak yang terpuji, mesra dan beradab tinggi. Tidak kelihatan sesuatu yang radikal akan berlaku kepadanya yang akan memberi impak besar kepada manusia selepas itu. Sebaliknya, setelah keluar dari Gua Hira' dengan mendapat mesej, baginda saw berubah 360 darjah. Adakah mustahil seorang yang tidak punya kualiti apa-apa bertukar secara tiba-tiba menjadi seorang yang berpura-pura alim dan mendakwa menjadi Rasul Allah dan menjemput kawan dan lawan untuk mengikutinya? Kita mungkin bertanya; kenapa Muhammad bersusah payah? Masyarakatnya menawarkan kerajaan dan menjadi ketua mereka asalkan berjanji meninggalkan ajaran barunya. Tetapi baginda saw menolak semua tawaran berkenaan dan meneruskan usaha menyebarkan dakwah seorang diri.

Tidak pernah sesiapa pun menafikan baginda saw seorang yang buta huruf, hidup secara normal dan mendiamkan diri sehingga berumur 40 tahun, dakwahnya telah menarik seluruh bangsa Arab untuk menerima ajaran baru ini. Ayat-ayat al-quran yang dibacanya tidak dapat disaingi oleh pemuisi dan penyajak. Bagaimana baginda saw dapat menerangkan kejadian saintifik yang terdapat di dalam al-quran ketika itu sedangkan tahap pendidikannya sangat lemah? Kehendak Allah, meletakkan Muhammad saw di akhir rantaian para nabi dan rasul yang diutuskan ke seluruh alam.

Sejarah hidup Nabi Muhammad saw sentiasa diulang sebut setiap kali sambutan Maulidur Rasul. Kisah seorang lelaki pilihan Allah yang menghadapi pelbagai cabaran dan ujian tetapi berjaya mencapai matlamat iaitu membawa rahmat ke seluruh alam. Bagaimana umat Islam di Malaysia dapat menjadi umat yang terbaik dan cemerlang seperti yang difirmankan Allah dalam al-quran,

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” Surah Ali-Imran ayat 110

Dalam tempoh 23 tahun, Muhammad saw membina kekuatan dan mempersiapkan sebuah tamadun yang sangat cemerlang. Zaman kegemilangan tokoh-tokoh Islam yang sangat tersohor dalam bidang sains dan falsafah. Bagaimanapun, kejayaan mereka menjadi legasi yang hanya memberi sedikit kegembiraan kepada masyarakat Islam hari ini kerana minda dan tindakan mereka tidak dapat mewarisi kehebatan berkenaan.

Bagaimana Muhammad saw membentuk sebuah generasi yang cemerlang?

Kecemerlangan bermula dengan diri. Baginda saw mendidik setiap individu di sekelilingnya dengan kecenderungan membuat baik. Membuat kebaikan dalam semua perkara bagi memajukan masyarakat. Individu-individu diperoses untuk memperkasa ekonomi dan ilmu pengetahuan. Proses hati yang dilalui dengan siraman ayat al-quran dan hadis menghalau keluar kemungkaran yang berlalu pergi dengan sendirinya. Tanpa kemungkaran mudahlah tumpuan diberikan terhadap usaha memperkasa minda dan jiwa masyarakat untuk mengelakkan mereka menjadi hina-dina kerana kemiskinan dan menjadi terpinggir kerana tidak berpendidikan.

Muhammad saw, seorang yang buta huruf, memiliki akhlak yang sangat mulia dan mantap. Mesej ini adalah jelas untuk umat Islam bahawa akhlak adalah prasyarat membina sebuah tamadun yang diberkati. Kesan akhlak ialah mampu membina hubungan dengan Allah ‘Azza wa Jalla untuk menyedarkan diri dan patuh dalam setiap perkara. Asas kepada kecemerlangan dan kejayaan adalah taqwa.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah di antara kamu adalah orang yang bertaqwa.” Surah Al-Hujurat ayat 13

Taqwa ialah takut balasan Allah. Tindakan dan perlakuan tertakluk pada peraturan yang telah dinyatakan dalam agama dan hadis. Balasan itu ada kerana Allah itu ada. Ketaqwaan akan melahirkan jiwa hamba yang akan kembali merujuk kepada penciptanya.

“TidakKu jadikan jin dan manusia melainkanuntuk beribadah kepadaKu.” Surah Az-Zariat ayat 56

Di mana taqwa boleh dicari dan dimilki? Sayangnya, hanya umat Islam yang tahu. Al-quran adalah petunjuk kepada orang-orang bertaqwa supaya mereka tidak hilang arah. Taqwa menjadikan Arab cemerlang dengan Islam. Lalu, bagaimana Melayu boleh cemerlang dengan Islam?

Kembali kepada ilmu. Jawapan paling tepat, kukuh dan mantap. Muhammad saw memproses para sahabat dengan halaqah iaitu tempat perbincangan bagi menguatkan akidah, meninggikan iman dan membesarkan jihad. Setiap kali wahyu diturunkan, baginda saw akan berkongsi dengan mereka supaya ilmu tersebut dikembangkan. Ilmu bagi mengubah zaman. Kejayaan penguasaan ilmu menjadikan kerajaan Islam Andalusia sangat cemerlang. Zaman tersebut adalah sejarah kelahiran tokoh-tokoh pencetus reka cipta seperti Ibnu Thufail, Ibnu Baitar, Ibnu Arabi, Ibnu Rusyd malah Ibnu Sina.

Islam agama tamadun. Melayu yang hendakkan tamadun mesti mengambil Islam sebagai pedoman. Melayu harus membangun bersama pedoman yang hakiki dan jelas kerana Barat membina tamadun tanpa agama sebaliknya akal. Contoh kegagalan akal berfikir Barat ialah Teori Darwinisme yang menyifatkan manusia berasal daripada monyet. Kedangkalan cara fikir ini disangkal oleh Surah Al-Alaq ayat 1 hingga 2,

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk); Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku.”

Panduan yang jelas, tepat dan sahih mesti disebarkan dan dikongsi supaya Melayu dan masyarakat lainnya tidak hidup dalam kejahilan. Menolak agama bererti menolak kebenaran dan panduan hidup. Turki adalah sebuah negara yang pernah menjadi warisan kegemilangan khalifah Islam. Negara ini menolak agama semasa pentadbiran Kamal Attarturk kerana berpendapat agama membawa kemunduran. Setelah berpuluh-puluh tahun hidup memisahkan agama, kini sudah ada sinar kesedaran baru bagi masyarakat Turki kembali melihat Islam yang pernah memberi kejayaan kepada bangsa ini.

Malaysia sebuah negara di alam Melayu belum pernah merasai kegemilangan sebagai sebuah tamadun. Kesultanan Melaka hanya terhad pada tempoh tertentu yang tidak begitu mantap untuk dikatakan pencetus perubahan dunia. Malaysia yang moden dan merdeka, jika ingin membina sebuah tamadun gah, mesti mengambil Islam dan melaksanakannya dalam pemikiran, perbualan dan perbuatan. Negara ini mempunyai rakyat yang mengasak dan pemimpin yang peka untuk memperkenalkan setiap ajaran Islam dalam pendidikan, perdagangan, ekonomi, politik, sosial dan budaya. Ada ketikanya berjaya dan ada ketikanya gagal. Jatuh dan bangun adalah lumrah tetapi Malaysia ada acuannya sendiri. Mereka mahu melihat akhlak dan akademik seiringan. Mereka ingin mengulangi kecemerlangan tokoh-tokoh Andalusia yang menguasai pelbagai bidang pengetahuan. Azam mereka ialah melahirkan seorang doktor yang hafiz, seorang jurutera yang hafiz dan juga tokoh korporat yang hafiz.

Di mana kecemerlangan harus bermula?

Rumah adalah kilang kecemerlangan. Ibu sangat penting. Mendidik anak-anak dengan didikan rabbani bagi membentuk akhlak yang mulia, minda yang cerdas dan berani. Masalah anak-anak zaman kini seperti penagihan dadah, mat rempit, berzina, pergaulan bebas dan lari dari rumah adalah simbol jati diri yang lemah. Rumah yang sepatutnya menjadi tempat pembentukan hati yang tunduk dan patuh pada agama bertukar menjadi tempat paling dibenci dan dijauhi. Di mana silapnya?


No comments:

Post a Comment