Hari ini kita melangkah ke tahun 2015. Tahun
baru dengan azam dan cabaran baru. Tahun lepas sudah berlalu dan tidak akan
datang lagi. Hanya ada memori yang mematangkan hidup kita.
Banyak peristiwa sedih dan malang yang
menenggelamkan kegembiraan kita. Kehilangan nyawa akibat kemalangan udara
MH370, MH17 dan QZ8501 memburukkan lagi imej dan persepsi masyarakat dunia
kepada negara kita, Malaysia.
Ditambah lagi derita banjir di tujuh negeri,
menyebabkan hampir 150,000 orang hilang tempat tinggal. Trauma banjir akan
berkekalan bagi tempoh yang panjang.
Malang yang menimpa kita harus dilihat dalam
pelbagai perspektif.
Berdasarkan geografi, bahagian timur
Semenanjung Malaysia saban tahun menerima hujan yang lebih banyak. Perubahan
iklim dunia menyebabkan paras laut semakin meningkat dan hujan yang turun
mencurah-curah mempercepat kejadian banjir. Tambahan negara kita mempunyai
bayak empangan untuk menjana elektrik. Dijangka pada tahun-tahun yang akan
datang, banjir mungkin lebih buruk.
Negara kita tergolong dalam kelompoknegara
membangun. Serba-serbinya masih membangun termasuk sektor pengangkutan dan
perkhidmatan. Kemalangan darat, laut dan udara tidak dapat dielakkan kerana
sikap dan tingkah laku masyarakat kita masih belum matang sepenuhnya.
Kemalangan jalan raya meningkat setiap kali musim perayaan kerana sikap kita
juga. Biarpun jalan raya diturap, dipasang lampu jalan dan diadakan operasi
mencegah laju, semuanya tidak memberi impak ketara kerana pemikiran dan sikap
kita masih belum matang. Kita sukar menerima perubahan yang positif untuk
kebaikan bersama.
Negara kita banyak sumber semula jadi,
penduduk yang tidak ramai tetapi menjadi tempat mencari nafkah hidup kepada
masyarakat luar. Nampaknya, sistem pendidikan kita perlukan transformasi segera
untuk bergerak kepada masyarakat berpendapatan tinggi supaya dapat menguasai
kemahiran teknologi. Banyakkan sekolah berprestasi tinggi, lahirkan pelajar
berfikiran kritikal dan bantu golongan yang tertinggal.
Cabaran tahun 2015 sangat hebat. Kita wajar
merenung kembali semua musibah besar ini dengan hati yang lapang dan minda
terbuka. Ingat kembali kejadian kaum-kaum yang hilang kerana tidak bersyukur
kepada Allah swt. Ketika senang mereka lupa kepada tuhan, ketika susah,
baharulah datang mengadu. Namun selepas dibebaskan dari kesusahan, mereka
kembali ke perangai asal.
Hari ini, marilah kita bersama-sama melihat
kembali status iman dan takwa kita untuk mengharungi tahun 2015. Banyak lagi
cabaran lain seperti IS, jenayah, LGBT, politik semasa, mahasiswa dan ancaman
keselamatan di Sabah.
No comments:
Post a Comment