Sunday, January 25, 2015

Pelaburan sosial atasi penagihan dadah








Artis dan penagihan dadah sudah tidak asing lagi di seluruh dunia termasuk Malaysia. Dalam tempoh sepuluh tahun lepas, artis ternama ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah kerana dadah. Antara mereka ini termasuk Ameng dan Yasin. Tangkapan terbaru melibatkan penyanyi kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 44 tahun.

Tangkapan ke atas Zamani agak kontroversi kerana klip video beliau bergari dan menyanyi semasa ditahan tiba-tiba menjadi popular dan mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak. Biarpun Zamani mengatakan beliau menyanyi atas alasan menghibur peminat, tindakan seorang dua anggota polis terbabit dilihat tidak wajar kerana tidak kena pada tempatnya. Biarlah prosedur dan tatatertib pihak polis yang menguruskan hal ini.

Penglibatan artis dalam penagihan dadah akan terus berlaku dalam pelbagai bentuk kerana dadah semakin kompleks. Apalagi golongan artis dikatakan mempunyai wang yang banyak dan mereka perlu bertenaga untuk meneruskan aktiviti pengartisan sebagai sumber pendapatan.

Golongan artis adalah contoh daripada beberapa kes yang melibatkan kelompok-kelompok tertentu dalam lapisan sosial masyarakat kita. Warga emas yang terjebak dengan dadah punyai cara mereka sendiri. Kelompok ini sudah lali dengan masuk dan keluar penjara.

Saya pernah berjumpa seorang penagih warga emas yang berusia 56 tahun dan sudah tidak ada gigi. Saya bertanya hal tersebut lalu dijawab, “Saya ketagih pil kuda”. Saya tidak pernah terbayang seseorang boleh hilang semua gigi dan tinggal gusi untuk meneruskan kehidupan.

Saya juga pernah berjumpa seorang pemuda yang berumur 25 tahun, Badannya agak berisi dan tidak menampakkan dirinya sedang ketagihan dadah. Saya mendekati pemuda ini dan bertanya satu dua soalan. Pemuda ini melihat saya dan menoleh ke arah lain seolah-olah tidak mempedulikan soalan saya kepadanya. Kecewa dan saya bertanya pegawai yang bertugas ketika itu tentang masalah pemuda tadi. Katanya, pemuda itu telah mengalami gangguan saraf pada otak kerana heroin. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana masa hadapannya nanti.

Usaha-usaha pencegahan dan rawatan dadah diberi perhatian serius oleh kerajaan Malaysia. Pada tahun 1983, Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) ditubuhkan untuk melaksanakan tanggungjawab membebaskan masyarakat dari dadah. Selepas 30 tahun, masalah dadah belum lagi selesai.

Setiap minggu dan setiap bulan pasti kita membaca perihal kejayaan operasi pengedaran dadah. Nilai rampasan dadah juga bukan sedikit malah menjangkau jutaan ringgit. Pihak berkuasa sama ada pasukan polis atau kastam kerapkali mengadakan sidang media menguar-uarkan kejayaan tersebut sebagai sebahagian daripada keberkesanan operasi pencegahan dadah.

Seorang rakan saya pernah bercerita bagaimana soalan beliau tidak ada jawapan. Ketika di majlis penerangan mengenai pencegahan dadah, beliau melontarkan soalan ini, “Kenapa Malaysia menjadi pusat transit dadah?” Penceramah yang memberi ceramah tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan. Saya juga berfikir kenapa negara kita menjadi pilihan popular untuk pengedaran dadah.

AADK telah berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh memberi kesedaran kepada masyarakat tentang dadah. Mereka juga menguruskan institusi pemulihan dan rawatan di samping mengadakan kerjasama dengan institusi swasta dan persendirian dalam memulihkan penagih dadah.

Kesungguhan AADK dapat dilihat dalam cara berfikir dan konsep baru dalam memberi definisi terhadap penagih dadah. Jika dahulu penagih dadah menerima persepsi buruk masyarakat seperti pemulauan, kini stigma tersebut sudah mula berkurangan. Penagih tidak lagi dilayan sebagai pesalah tetapi dilayan sebagai pesakit yang perlu dirawat. Oleh kerana itu Pusat Serenti telah diberi nafas baru dan kaedah rawatan juga diubah. Penerangan dan kempen ke arah memberi galakan kepada penagih untuk dirawat secara sukarela telah menimbulkan sedikit sebanyak kesedaran kepada masyarakat khususnya keluarga yang mempunyai ahli penagih dadah.

AADK juga menyediakan geran penyelidikan kepada insitusi pengajian tinggi untuk mengkaji pelaksanaan program berbentuk pendidikan dan promosi kesedaran bahaya dadah di peringkat sekolah dan universiti. Begitu juga penyelidikan terhadap kesedaran keluarga mengenai dadah melalui “Family on Alert”.

Pengamatan saya terhadap program AADK adalah objektif iaitu tidak memberi keutamaan kepada pelaburan sosial. Banyak program dan aktiviti bersifat ad-hoc dan memenuhi jangka masa pendek. Kita tidak didedahkan kepada program jangka masa panjang 20 hingga 30 tahun berkenaan usaha untuk mewujudkan sifar dadah di Malaysia. Oleh kerana pelaburan sosial tidak diberi tumpuan, kerajaan terpaksa memperuntukkan jutaan ringgit untuk membiayai rawatan, operasi pencegahan dan promosi kesedaran setiap tahun. Lebih banyak kos yang diperlukan kerana kelompok sasaran semakin membesar khususnya melibatkan golongan remaja dan belia.

AADK wajar melihat kembali perancangan strategik yang akan datang. Mereka perlu memasukkan pelaburan sosial sebagai sebahagian daripada program pencegahan supaya sampai ke satu tahap, bilangan penagih baru dan penagih berulang akan berkurangan. Ada empat aspek yang perlu diberi perhatian dalam pelaburan sosial iaitu modal insan, jaringan sosial, penyertaan aktif dan pembangunan komuniti. Keempat-empat aspek bergerak secara sepadu dan perlukan komitmen tinggi daripada kakitangan AADK sendiri.

Modal insan adalah prasyarat utama dalam pelaburan sosial. Pembangunan modal insan harus bermula dengan institusi pendidikan kerana tanpa pendidikan, individu mudah dipinggirkan dalam persaingan. Apa tidaknya, hari ini orang melihat kelayakan akademik untuk mendapat pekerjaan. Apa yang berlaku jika tidak pergi sekolah? Bagaimana hendak tunjukkan kebolehan? Golongan terpinggir ini juga akan kalah dalam persaingan untuk mendapatkan pelbagai peluang kerana keadaan lemah yang ada pada diri mereka seperti kurang yakin pada diri, tidak bijak berkomunikasi dan tahap keinginan untuk berjaya yang lemah. Jadi, mereka mudah mengalah dan enggan menghadapi cabaran.

AADK tidak akan mampu membina modal insan secara bersendirian sebaliknya perlu lebih agresif mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam pembentukan modal insan negara. Bagi sekolah rendah, menengah dan universiti, bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia adalah langkah bijak untuk memastikan individu yang berpotensi tercicir dari sekolah dan terjebak dengan dadah dapat dikenal pasti.

Kelompok seterusnya adalah remaja dan belia yang sudah pun tercicir dari alam persekolahan formal. Mereka ini mungkin tercicir di tingkatan satu, tiga atau lima. Harapan untuk berjaya dalam akademik mungkin sudah punah tetapi masih ada harapan untuk berjaya dalam hidup melalui peningkatan kemahiran. Di sinilah fungsi institusi latihan yang dilihat dapat melatih kemahiran-kemahiran khusus sebagai bekalan untuk mendapat pendapatan sendiri dan tidak terjebak dalam kegiatan jenayah. AADK boleh bekerjasama dengan Institut Latihan Perindustrian, Kolej Kemahiran Belia Tinggi Negara dan sebagainya.

Pembangunan modal insan kepada kelompok ketiga iaitu penagih tegar warga emas perlu berbeza. Mereka sudah tidak ada keinginan hendak berubah sebaliknya ingin meneruskan hidup seperti biasa iaitu ada bekalan dadah. AADK boleh meneruskan rawatan sedia ada dengan bantuan institusi rawatan swasta seperti Pengasih. Kalau berumur 56 tahun dan masih mencari pil kuda, saya rasa semua ikhtiar sudah tidak dapat menghalangnya daripada pil kuda.

Kes yang berlaku terhadap Zamani mengingatkan kita bahawa dadah amat kejam kepada penagih. Bukan sahaja imej dan maruah diri tercemar, keadaan fizikal juga sangat menyedihkan. Kita dapat lihat bagaimana keadaan fizikal Zamani, lengannya nampak tulang manakala wajahnya cengkung kehilangan seri.


No comments:

Post a Comment