Thursday, January 22, 2015

Masalah ekonomi sering ketepikan pelaburan sosial








Kejatuhan harga minyak di bawah paras $50 setong memberi impak kepada ekonomi banyak negara termasuk Malaysia. Bagi membuat pelarasan seiring dengan perkembangan semasa, kerajaan Malaysia mengambil pendekatan berjimat dengan menilai semula Bajet 2015. Antara langkah penjimatan ini adalah memotong beberapa peruntukan untuk program-program yang tidak mendesak khususnya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Keputusan menangguhkan PLKN tahun 2015 bakal menjimatkan RM400 peruntukan kerajaan bagi digunakan untuk tujuan lain yang lebih penting.

Pada hemat saya, penangguhan ini kurang bijak.

Banyak usaha yang telah dilakukan untuk membentuk program pembangunan remaja di negara ini. Sebelum PLKN, Kementerian Belia dan Sukan pernah mengadakan program berbentuk khidmat bakti dengan menggabungkan modul pembangunan diri, sahsiah dan kemahiran. Saya pernah menjadi fasilitator program ini ketika berada di Labuan pada awal tahun 2000. Program ini dihentikan selepas kerajaan melancarkan PLKN.

Ketika PLKN hendak dilaksanakan, banyak bantahan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan ibu bapa sendiri. Bantahan-bantahan ini merangkumi kos perbelajaan, faedah kepada kelompok sasar, bentuk pelaksanaan program dan keselamatan. Bagi parti politik, bantahan ini semakin kuat dan mereka mengalu-alukan penangguhan berkenaan dan mengharapkan PLKN dimansuhkan terus.

Ditinjau dalam program dan aktiviti PLKN, ia merupakah sebuah program yang sangat berfaedah kepada pembangunan remaja negara ini. Belum ada program yang tersusun dan berskala besar yang pernah dilaksanakan di Malaysia untuk golongan remaja. Jika ada pun ia hanya dilakukan oleh institusi bukan kerajaan yang prihatin dengan cabaran-cabaran remaja.

Justeru, bagi PLKN, setiap warganegara yang layak diwajibkan hadir. Kewajipan ini diiringi dengan akta khusus yang telah digubal dan diluluskan dengan sempurna. Pelatih yang gagal menghadirkan diri sudah pun dikenakan tindakan undang-undang.

Peningkatan profesionalisme kejurulatihan juga telah dilaksanakan dengan baik apabila jarang lagi kedengaran kakitangan PLKN yang dikenakan tuduhan jenayah. Sebelum ini terdapat kes jurulatih yang mencabul dan merogol pelatih di kem di samping berlaku vandalisme dan pergaduhan. Keadaan kem-kem latihan seluruh negara juga lebih baik kerana pengendali telah mengeluarkan peruntukan besar untuk menaik taraf kemudahan.

Pengenalan modul menembak juga sangat berkesan dalam membentuk jiwa remaja yang sayangkan negara dan melatih mereka dengan nilai-nilai bertanggungjawab, berwaspada yang yakin diri.

Pendek kata, PLKN merupakan program pembangunan remaja yang bersepadu dan holistik merangkumi fizikal, mental, spiritual dan sosial. Malahan alumni PLKN dilihat lebih berketrampil dan bersemangat apabila meneruskan kehidupan masing-masing.

Membuat keputusan menangguhkan PLKN 2015 sepatutnya tidak dibuat kerana kerajaan mempunyai beberapa pilihan seperti mengurangkan pengambilan pelatih, memendekkan jangka masa latihan ataupun mengubahsuai modul supaya tidak melibatkan peruntukan kewangan yang besar. Hal ini kerana pembangunan remaja yang berskala besar ini patut sentiasa diteruskan walaupun keadaan ekonomi kurang memberangsangkan kerana inilah satu-satunya pelaburan sosial yang berkesan dalam jangka masa panjang.

Berkesan untuk mengharmonikan masyarakat dan juga berkesan dalam membentuk kesatuan fikiran generasi muda dari pelbagai lapisan peringkat masyarakat.

Kita berharap keputusan penangguhan ini tidak lagi dibuat pada masa hadapan sebaliknya mencari alternatif yang bersesuaian dan menjimatkan kos.




No comments:

Post a Comment