Wednesday, January 28, 2015

Bisnes makanan mengubah hidup










Bisnes wujud apabila terdapat pengkhususan dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang cekap. Bisnes juga banyak memberi faedah kepada orang ramai kerana aktiviti-aktiviti ini dapat memenuhi kehendak dan keperluan ramai orang dengan menyediakan berbagai-bagai jenis barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan sama ada di dalam negara ataupun diimport dari luar negara.

Selain itu, bisnes juga dapat menjana keuntungan yang memberi galakan untuk berkecimpung dan mengembangkan usaha ahli perniagaan sehingga sanggup menghadapi risiko daripada pelaburan wang dan masa. Sebahagian besar masyarakat Malaysia menyara kehidupan melalui pekerjaan yang diperolehi daripada sektor bisnes ini. Pendapatan yang diterima melalui pekerjaan sebagai usahawan dapat menyara kehidupan malah boleh meningkatkan taraf hidup masyarakat. Selain itu, pekerja yang kehilangan pekerjaan dan terdesak semasa berlakunya kemelesetan ekonomi boleh beralih kepada bisnes terutamanya perniagaan secara kecil-kecilan sebagai sumber rezeki yang baru.

Salah satu bisnes kecil-kecilan adalah warung makanan dan minuman yang diusahakan oleh Kak Ida di Taman Sutra Wangi, Batu Berendam, Melaka. Berikut adalah analisis temubual yang dijalankan bagi mengetahui lebih lanjut operasi perniagaan beliau.

Zahadi: Assalamualaikum wbt. Kami pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka sedang melakukan kajian mengenai pembangunan sosioekonomi masyarakat Malaysia dan impak terhadap komuniti. Hari ini kami akan menemu bual puan untuk mendapatkan maklumat bagi melengkapkan kajian ini sahaja. Boleh puan terangkan sedikit mengenai latar belakang puan khususnya dari segi pendidikan, tempat tinggal dan keadaan kesihatan ketika ini.

Ida: Nama saya Rosidah. Saya berusia 45 tahun dan berasal dari Perak tetapi sekarang saya sekeluarga menetap di sini. Suami saya bernama Nor Azizi dan beliau bekerja di sektor awam. Saya mempunyai lima orang anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan. Saya berpendidikan STPM dan, Alhamdulillah buat masa ini saya sihat dan tidak mengidap penyakit yang merbahaya setelah 15 tahun berniaga disini.

Wan: Adakah puan melibatkan diri dalam persatuan atau organisasi berkaitan keusahawanan ataupun kemasyarakatan, sama ada di kawasan tempat tinggal ataupun di negeri ini? Jika ada, apakah persatuan berkenaan menjadikan puan lebih melibatkan diri dalam membina kerjasama dengan rakan-rakan usahawan yang lain?

Ida: Seingat saya, sepanjang 17 tahun saya berkecimpung dalam bidang bisnes ini , saya masih belum pernah lagi memasuki atau menceburkan diri dalam persatuan atau organisasi berkaitan keusahawanan ataupun kemasyarakatan. Minat tu ada, tapi kekangan masa menjadi penghalang utama. Masa seharian banyak dihabiskan menguruskan keluarga dan juga bisnes. Cuma, kadang-kadang ada mengetahui serba sedikit mengenai persatuan-persatuan melalui rakan dan jiran tetangga. Sedikit sebanyak dari itu saya mempelajari lebih mendalam mengenai alam bisnes.

Zulaika: Pada pandangan puan, sejauh mana aktiviti dalam masyarakat dapat membantu puan supaya lebih aktif dalam mengubah keadaan hidup?

Ida: Saya tidak menyertai mana-mana persatuan di kawasan ini kerana saya lebih cenderung melakukan perkerjaan secara bersendirian tanpa melibatkan orang lain.

Fazira: Adakah puan merasai perubahan keadaan hidup selepas menyertai persatuan masyarakat seperti menghadiri kursus-kursus berkaitan keusahawanan atau peningkatan kemahiran? Adakah kursus-kursus ini membantu puan lebih berjaya dalam bidang keusahawanan?

Ida: Saya tidak menyertai mana-mana persatuan masyarakat yang berkaitan keusahawanan atau peningkatan kemahiran kerana saya tidak berminat dalam menyertai mana-mana persatuan.

Fatin: Adakah puan mempunyai pekerja dalam membantu puan menguruskan bisnes ini?

Ida: Buat masa sekarang saya tidak ada mengambil mana-mana pekerja. Kalau dulu pernah mempunyai pekerja tetapi tidak lama di sebabkan oleh sedikit masalah yang di hadapi.

Fatin: Apakah cabaran puan yang pernah di hadapi dalam mengembangkan bisnes ini?

Ida: Terlalu banyak cabaran yang saya hadapi sepanjang bisnes ini berlangsung. Selama 17 tahun saya berniaga, tahun 2014 ini adalah tahun yang paling mencabar yang pernah saya hadapi. Pada mulanya, banyak buang makanan yang tidak habis. Tapi kita kena bersabar, mulut pun kena jaga apabila buka bisnes. Bila orang kritik makanan kita, kita kena terima. Percakapan pun kena jaga. Nak mulakan bisnes ini, kita kena mula dari bawah. Itulah antara cabaran-cabaran yang pernah kak ida hadapi.

Arzihan: Adakah  puan mendapat pembiayaan bisnes untuk menjalankan bisness ini? Adakah pembiayaan berkenaan mencukupi? Sekiranya tidak mencukupi, bagaimana puan berusaha mengembangkan bisnes ini?

Ida: Saya tidak mendapat pembiayaan bisnes dari mana-mana pihak kerana saya tidak suka berhutang. Pembukaan kedai ini adalah hasil daripada wang yang dikumpul oleh saya dan juga suami. Modal permulaan pembukaan kedai membeli barang masakan dan juga beberapa buah meja  sebanyak RM1000. Pembiayaan pada masa tersebut cukup kerana saya hanya memborong barang keperluan sahaja.  Barang keperluan yang selalu diborong tidak memerlukan kos yang mahal  antara contohnya mee, bihun, kuey teow  dan juga keropok lekor.

Fatinah: Adakah puan menerima galakan dari mana-mana pihak untuk menyimpan wang atau membeli aset? Pada pandangan puan, adakah bisnes dapat membantu mengubah hidup dengan memiliki aset yang lebih banyak.

Ida: Tiada pihak yang memberi galakan pada saya. Semua yang saya buat adalah hasil titik peluh sendiri. Suami dan keluarga banyak memberi sokongan. Hasil daripada bisnes yang saya jalankan sepanjang 17 tahun ini, saya dapat beli dua buah kereta untuk anak dan juga dapat hantar anak untuk sambung pelajaran. saya sangat setuju dengan bisnes dapat mengubah hidup seseorang.

Murni: Pada pandangan puan, adakah hidup telah banyak berubah setelah menceburi bidang bisnes?

Ida: Ya, banyak sangat perubahan dan kesenangan hidup yang dikecapi setelah menceburi bidang bisnes ini. Walaupun sekadar bisnes kecil-kecilan, saya mampu mendapat keuntungan dengan purata RM350-RM500 dalam sehari. Alhamdulillah, saya mendapat pulangan modal serta untung yang membolehkan saya merasa hasil bisnes setiap hari. Dengan duit ini jugalah saya dapat menambah baik bisnes dari semasa ke semasa. Mana tahu lepas ni saya berhijrah tempat baru, boleh lah cuba menjual jenis makanan baru.


No comments:

Post a Comment