Salah faham terhadap Islam bukanlah perkara
baru, justeru ada yang sanggup menuduh Islam sebagai pencetus kepada pelbagai
masalah seperti bersifat kuno hinggalah ekstremisme dan menggalakkan perlakuan
ganas. Golongan yang menuduh ini terdiri daripada pelbagai rupa dan jenis
entiti sama ada individu, kelompok, organisasi atau negara.
Di Malaysia, tuduhan terhadap Islam muncul
kali ini dengan mengaitkan khutbah Jumaat dengan perlakuan ektremis. Tuduhan
ini diberikan secara rambang dan tanpa bukti kukuh terhadap peranan Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang membekalkan teks khutbah Jumaat kepada
masjid-masjid seluruh negara.
Tuduhan yang berbunyi, ‘Jakim sedang
mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu mananganinya jika
serius mahu membanteras ekstremisme di Malaysia’. Penuduh berkenaan adalah Eric
Paulsen, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liverty dalam akaun Twitternya.
Sebagai bukan Islam, beliau ada hak untuk
untuk menghina Islam, mencerca Islam dan sebagainya. Perbuatannya samalah seperti
yang dilakukan oleh Abu Jahal dan pengikutnya yang sangat membenci Islam.
Masyarakat Islam seluruh dunia faham benar kebencian Abu Jahal kepada Islam dan
beliau menerima hukuman yang setimpal dengan keangkuhannya itu.
Perangai Abu Jahal masih ada dalam zaman moden
ini tetapi dalam bentuk dan rupa yang pelbagai. Salah satunya adalah individu
di atas yang gagal memahami Islam.
Akibatnya, hidup beliau sudah berubah.
Kebebasan yang dinikmati sebelum ini sudah tiada. Selain daripada ditahan,
disiasat dibawah Akta Hasutan 1948, beliau juga menerima ancaman dan ugutan
yang serius. Pandangan masyarakat Islam juga berubah. Sama ada masyarakat Islam
dalam kerajaan, parti politik pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan Islam,
masing-masing menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap ulasan berkenaan.
Kita juga ingin tahu aspek kandungan khutbah
Jumaat yang bagaimana dikatakan mempromosi ekstremisme, bilakah khutbah
tersebut disampaikan dan di masjid mana?
Andainya diberikan maklumat lengkap, kita
boleh berdialog dengan beliau apa yang tidak difahami, apakah ayat yang
merisaukannya dan bagaimana beliau boleh memahami Islam dengan lebih baik.
Salah faham dan tuduhan ini boleh menjadi
permulaan dakwah yang baik kepada kelompok bukan Islam yang profesional, boleh
berfikir tetapi agak jahil tentang Islam. Saya sangat yakin kepada keupayaan
dialog kerana ulasan yang dimuatkan Twitter tersebut masih boleh dibincangkan
walaupun ada kecenderungan menghasut. Menyelesaikan isu ini mengikut emosi
tidak akan membantu kepada kefahaman Islam yang jelas dan berhikmah.
Pada masa yang sama, adalah baik sekiranya
kita berfikir apa yang tidak kena dengan persepsi masyarakat bukan Islam
terhadap Islam ketika ini. Bagaimana kita boleh memurnikan persepsi ini sesuai
dengan keindahan dan keagungan Islam. Tidak mungkin Islam menyeru kepada
ekstremisme kerana salah sebuah tamadun yang hebat daalam sejarah peradaban
manusia ialah tamadun Islam.
Di sinilah kita wajar mempromosi Islam dengan
memulakan langkah pertama dengan cara mendekatkan masyarakat awam kepada Islam.
Kita boleh mengadakan hari terbuka masjid
seluruh negara supaya masyarakat bukan Islam dapat datang ke masjid, melihat
aktiviti masjid, meninjau sendiri bagaimana ibadat orang Islam di dalam masjid,
bagaimana mereka bersolat, bagaimana mereka menguruskan operasi masjid dan
bagaimana dakwah dilakukan. Jika boleh, aktiviti umum melibatkan masjid dilakukan
bersama-sama dengan masyarakat bukan Islam.
Kunci kepada hari terbuka masjid adalah
memecahkan tembok persepsi negatif terhadap kehebatan Islam sebagai cara hidup.
‘Mosque Open Day’ adalah aktiviti biasa yang
sering dilakukan oleh masyarakat Islam di Amerika Syarikat dan Eropah. Melalui
aktiviti ini, halangan persepsi negatif masyarakat Barat terlerai begitu sahaja
kerana salah tanggapan mereka terhadap Islam selama ini sudah terjawab.
Saya melihat aktiviti seperti ini sangat
kurang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia. Mereka membiarkan masyarakat
bukan Islam jahil tentang Islam tanpa mengambil inisiatif mengadakan penerangan
kepada bukan Islam. Budaya seperti ini boleh diubah jika mahu masyarakat bukan
Islam lebih memahami Islam dan akhirnya berupaya membuat penilaian yang lebih
objektif terhadap Islam dan masyarakat Islam.
Saya beranggapan kegusaran Eric disebabkan
beliau gagal memahami Islam dan konsep-konsep utama dalam Islam seperti jihad
yang sudah tentunya perlukan penerangan terperinci, dan bukannya mendengar
melalui khutbah Jumaat yang disampaikan dalam sepuluh minit. Sewajarnya pihak
Jakim membuka pintu perbincangan dengan beliau supaya masyarakat awam dapat
mengetahui butir-butir yang menyebabkan tuduhan tidak berasas dilemparkan
kepada Jakim.
No comments:
Post a Comment