Tuesday, January 13, 2015

Pengetahuan masyarakat terhadap isu pembuangan bayi











1.0 Pengenalan 


Pembuangan bayi adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan fitrah manusia yang pada hakikatnya cenderung kepada perasaan menyayangi dan disayangi. Justeru, agama dan kemanusiaan sangat mencela perbuatan ini kerana telah merosakkan keharmonian masyarakat  dan mengganggu proses perkembangan sistem kehidupan masyarakat dalam usaha melahirkan generasi baru yang berkualiti daripada pelbagai aspek pada masa yang akan datang. Kini, isu ini bukan sahaja isu yang sukar dibendung, tetapi telah menjadi semakin parah dalam kehidupan bermasyarakat. Sehubungan itu, kajian ini adalah untuk menyelami permasalahan sebenar terhadap pembuangan bayi supaya permasalahan sebenar isu ini dapat diterjemahkan.

1.1 Objektif Kajian

Kajian ini bertujuan untuk mengetahui tahap pengetahuan berkenaan isu pembuangan bayi. Selain itu kajian ini juga bertujuan mengetahui pandangan terhadap peranan masyarakat dalam usaha menangani isu pembuangan bayi. Seterusnya bagi mengetahui tanggapan dan persepsi tentang punca dan kesan pembuangan bayi.


2.0 Sorotan Literatur

Antara faktor utama kes pembuangan bayi ialah perasaan malu. Faktor ini jelas disokong oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus di dalam buku ‘Gejala Sosial dalam Masyarakat Islam’. Si ibu mengandung anak luar nikah menyebabkan mereka berperasaan malu terhadap orang ramai dan masyarakat. Perasaan ini juga mungkin disebabkan oleh keadaan anak itu sendiri seperti kecacatan yang tidak dapat diterima oleh ibu bapa bayi tersebut. Selain itu, beliau juga mengatakan perasaan takut juga merupakan faktor utama kes pembuangan bayi. Perasaan takut perempuan terhadap ibu bapa dan undang-undang menyebabkan dia cuba melepaskan diri daripada keadaan yang menimpanya, di mana dia telah melahirkan anak luar nikah.

Di samping itu, perasaan marah juga antara faktor yang disebutkan di dalam buku tersebut yang menjadi punca masalah pembuangan bayi. Perasaan marah terhadap pasangan yang tidak bertanggungjawab mungkin timbul dalam jiwa seseorang perempuan yang telah terlanjur melahirkan anak luar nikah. Keadaan marah ini menyebabkan dia tidak boleh menerima bayi tersebut lalu membuangnya ke dalam tong sampah atau sebagainya.

Pembuangan bayi juga berlaku disebabkan oleh pasangan yang panik dan tergamam. Perasaan ini menguasai mereka dan akhirnya berasa runsing lalu membuang bayi yang mana dengan cara ini mereka boleh terlepas daripada hukuman dan tanggungjawab. Konklusinya, masyarakat perlulah tahu tentang biologidiri mereka dan kesan buruk hubungan seks tanpa perkahwinan supaya mereka boleh mengelakkan diri daripada terjebak dengan kes pembuangan bayi.

Tambahan pula, merujuk kepada data yang dikumpulkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari tahun 2004 hingga 2009, daripada jumlah pasangan yang membuang bayi, sebanyak 4.93 peratus adalah daripada kategori umur bawah 18 tahun, 8.06 peratus daripada kategori umur 18 hingga 25 tahun, 4.64 peratus daripada kategori umur 25 tahun ke atas dan yang selebihnya tidak diketahui.

Sebanyak 20.4 peratus sasaran utama tempat pembuangan bayi dilakukan di kawasan rumah membabitkan 99 bayi, diikuti tempat pembuangan sampah membabitkan 77 bayi (15.8 peratus) dan bakinya di tempat seperti semak, masjid, sungai, tepi jalan dan hospital.
Walaupun kini Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan denda tidak memlebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali, kes buang bayi terus berlaku di mana-mana negeri Selangor mencatat kes tertinggi sebanyak 127 kes, diikuti Johor 104 kes, Sabah 73 kes, Serawak 42 kes dan Negeri Sembilan 30 kes.

Ini belum termasuk kes penguguran bayi. Ada remaja yang pernah melakukan penguguran melebihi tiga kali hinggakan rahimnya hampir terkoyak dan pecah. Kini ketagihan seks (sex addiction) dalam kalangan remaja semakin meningkat. Pengaruh-pengaruh sekeliling dan benteng iman yang rapuh menjadi punca mengapa kes sebegini semakin meningkat.


3.0 Metodologi

Dalam proses mendapatkan maklumat berkaitan dengan kajian ini, kaedah soal selidik telah dilakukan. Sebanyak 30 borang soal selidik telah diedarkan kepada responden yangmerangkumi pelajar dan masyarakat awam. Kajian ini dilakukan di sekitar UTeM dan Bukit Beruang, Melaka.


4.0 Hasil Kajian dan Perbincangan

Berdasarkan penyelidikan yang telah dijalankan, dapatan kajian menunjukkan bahawa majoriti daripada responden mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi berkenaan isu pembuangan bayi. Dalam 30 orang ini, 90 peratus daripadanya faham tentang definisi isu pembuangan bayi dan  67 peratus menunjukkan bahawa mereka sensitif tentang isu pembuangan bayi.

Selain itu, kebanyakkan responden berpendapat bahawa usaha diri seseorang adalah unsur yang paling penting untuk menangani isu pembuangan bayi. Majoriti daripada responden berpendapat bahawa kesedaran diri seseorang terhadap isu pembuangan bayi adalah yang paling penting dan kemudian diikuti oleh peranan ibu bapa, pihak kerajaan, dan seterusnya pihak sekolah.

Responden juga faham bahawa isu pembuangan bayi boleh menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan pesalah boleh mengalami masalah emosi seperti kemurungan dan kehilangan keyakinan. Selain itu, hamper 89 peratus responden perempuan berpendapat bahawa pihak lelaki tidak sepatutnya tergolong sebagai punca utama yang menyebabkan isu tersebut. Namun begitu, kebanyakkan responden lelaki berpendapat bahawa diri sendiri sama ada lelaki ataupun perempuan adalah punca utama menyebabkan isu tersebut. Kedua-dua pihak berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk memantau anak-anak mereka supaya anak-anak mereka dapat menjauhi daripada isu pembuangan bayi.

Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan bahawa kekurangan didikan agama merupakan antara sebab utama kes pembuangan bayi berlaku. Biasanya golongan remaja yang terdiri daripada 18 tahun ke bawah merupakan golongan yang terlibat dalam kes pembuangan bayi. Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan lalu terlibat dalam gejala negara, antaranya ialah pergaulan bebas. Remaja yang terlibat dalam pergaulan bebas akan menjalinkan hubungan di luar tabii. Hal ini menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum berkahwin. Dalam situasi tersebut, remaja yang hilang pegangan agama akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat-tempat seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan sebagainya.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan masalah kes pembuangan bayi berlaku. Hal ini juga berlaku kepada golongan yang berumur 18 tahun ke atas yang dikatakan demikian kerana pada usia muda, remaja atau dewasa amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya atau rakan sekerja mereka. Hal ini bertambah teruk apabila mereka bergaul dengan rakan sebaya yang negara. Rakan-rakan yang negara ini akan mengajak rakan mereka untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan norma maysarakat, hasilnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Sesiapa yang terjerumus dalam kancah-kancah negara tersebut terutama wanita akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuangkan bayi mereka.

Sehubungan dengan itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan masalah negara ini berlaku. Apabila seseorang wanita melahirkan anak luar nikah, sudah pastinya masyarakat setempat menghina dan memandang ringan padanya. Secara tidak langsung, wanita tersebut akan dianggap menjatuhkan maruah keluarganya. Demi menjaga imej sendiri dan juga keluarga, wanita tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuangkan bayinya daripada dipandang jijik oleh masyarakat.

Kesan-kesan kepada ibu bayi berkenaan atau lebih tepat lagi pesalah. Hal ini kerana, sewaktu pesalah melahirkan anak, mereka tidak berada dalam keadaan dan situasi yang selesa dan mengizinkan. Tanpa persediaan yang rapi, pesalah ini pastinya mengalami jangkitan kuman yang serius, kecederaan semasa melahirkan anak, dan juga kehilangan darah yang banyak. Majoritinya, mereka melahirkan anak dengan menggunakan cara sendiri tanpa pertolongan daripada pihak hospital atau pihak lain. Selain itu, pesalah juga sudah semestinya mengalami pelbagai masalah dalam diri seperti kemurungan, hilang keyakinan diri, dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang, agama, dan negara.

Di samping itu, akibat daripada pembuangan bayi juga, berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan. Apabila institusi sesebuah keluarga itu runtuh, keharmoniaan dalam kekeluargaan juga turut terkena tempiasnya. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak yang sebegitu rupa tingkah lakunya. Mereka menganggap anak seperti ini telah menconteng arang ke muka mereka. Apa yang mereka bimbangkan adalah jiran sekeliling mereka yang pastinya memandang serong dan negatif dengan keluarga mereka. Disebabkan masalah pembuangan bayi juga, masalah penceraian berlaku. Ibu bapa remaja yang terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral ini bergaduh dan menyalahkan sesama sendiri kerana tidak pandai mendidik dan memelihara anak sehingga anakanak yang lain terpaksa menanggung akibatnya. Sebagai ibu bapa, janganlah terus menyalahkan anak-anak mereka tetapi membantu dengan memberi sokongan dan panduan untuk meneruskan hidup.

Kesan yang seterusnya adalah kepada masyarakat. Kes pembuangan bayi yang berlaku telah menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Mereka pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sudah semestinya remaja dipersalahkan dalam kes ini kerana biasanya, remaja merupakan golongan terbesar melibatkan diri dalam kegiatan ini. “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Peribahasa ini bertepatan sekali dengan situasi ini. Masyarakat telah menerima akibatnya hasil daripada kegiatan tidak bermoral ini dan secara tidak langsung telah menimbulkan persepsi orang luar tentang kredibiliti masyarakat setempat dalam membendung kes-kes seperti daripada berlaku.

Tidak dapat dinafikan juga pembuangan bayi memberi kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh dan bangun sesebuah negara itu bergantung sepenuhnya kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Antara kesan yang pastinya berlaku ialah kerancakan pembangunan terbantut serta ekonomi negara sukar untuk berkembang disebabkan wujudnya gejala sosial ini. Tambahan lagi, perbelanjaan kerajaan turut meningkat untuk menampung bayi yang diletakkan di rumah kebajikan masyarakat. Hal ini kerana, bayi yang dijumpai biasanya ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat sebagai penempatan sementara. Pada masa yang sama, ibu bapa bayi tersebut dicari dan sekiranya tidak menjumpai, rumah kebajikan masyarakat pastinya menjadi penempatan kekal mereka. Perkara seperti ini pastinya membebankan pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan dari segi kewangan.


5.0 Kesimpulan

Kaum wanita seharusnya mempunyai kesedaran dan usaha untuk memahami bahawa apa yang mereka lakukan adalah bercanggah dengan kemurnian agama dan juga salah di sisi undang-undang. Pergaulan bebas tanpa batasan membawa kepada penzinaan dan lahir anak luar nikah menyebabkan kes pembuangan bayi berlaku dalam kalangan remaja. Hal ini jauh daripada kemurnian agama.

Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak dari segi sahsia mereka. Ibu bapa merupakan insan yang yang mempunyai hubungan darah yang dengan anak-anak. Anak-anak merupakan kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan kain putih itu. Seharusnya ibu bapa menjadi insan yang paling rapat dengan anak-anak, terutama remaja di samping mengambil tahu pergerakan mereka setiap masa. Contohnya dengan siapa mereka keluar, ke mana mereka keluar dan aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan.Sifat ibu bapa yang terlalu mempercayai anak-anak hinggakan mereka membiarkan anak-anak keluar sesuka hati boleh mengundang parah. Sifat ibu bapa yang mengabaikan anak-anak dengan mengejar kebendaan dan kemajuan,

Pendakwah yang terdiri daripada kalangan ahli-ahli agama, termasuk badan-badan dakwah amat diperlukan dalam membantu menangani masalah pembuangan bayi dalam satu sudut pandangan lain, para pendakwah bukan hanya menghukum dan menyalahkan pihak-pihak yang terlibat tetapi juga golongan ini seharusnya memikirkan kaedah-kaedah dan mencadangkan cara penyelesaian masalah ini. Para pendakwah juga seharusnya memikirkan bagaimana untuk mendekati golongan yang terlibat dalam masalah ini.



MZ Zainudin, Ng Wee Jian, Ooi Kent Sun, Koh Wen Kheng, Hanafi Baharom, Muhammad Hakim Ahmad Suhaimi, Abdul Rashid Zainal


No comments:

Post a Comment