Sunday, January 18, 2015

Satira ada batasnya








Charlie Hebdo belum banyak belajar di sebalik kematian 12 orang dalam serangan ke atas pejabat akhbar itu pada 7 Januari lalu.

Seminggu selepas kejadian, akhbar itu meneruskan penerbitan dengan mempersenda Nabi Muhammad saw. Sekali lagi masyarakat Islam seluruh dunia bangun menyatakan bantahan dan pemimpin-pemimpin Islam mengecam perbuatan tersebut.

Muncung senapang dan peluru belum dapat mengajar Charlie Hebdo tentang sempadan kebebasan bersuara.

Charlie Hebdo merupakan majalah mingguan satira Perancis yang memaparkan kartun, laporan, polemik dan jenaka. Penerbitan majalah ini seringkali dikenali kerana bernada lantang yang menggambarkannya sebagai anti-agama (khususnya kristian, Islam dan yahudi), anti-perkauman dan berhaluan kiri, menerbitkan artikel yang melampau merangkumi agama, politik, budaya dan lain-lain lagi.

Majalah ini telah menjadi sasaran dua serangan iaitu pada tahun 2011 dan 2015, dianggap sebagai tindak balas kepada beberapa kontroversi kartun Nabi Muhammad saw. Dalam serangan kedua ini, 12 orang terbunuh termasuk Stéphane Charbonnier, bekas editor.

Charlie Hebdo muncul kali pertama pada tahun 1970 sebagai pengganti kepada majalah-Hara Kiri yang telah diharamkan kerana mengejek kematian bekas Presiden Perancis Charles de Gaulle. Pada tahun 1981 penerbitannya dihentikan tetapi dihidupkan kembali pada tahun 1992. Majalah ini diterbitkan setiap hari Rabu dengan edisi khas yang dikeluarkan secara tidak berjadual.

Satira telah menjadi budaya masyarakat Perancis sejak lama lagi. Peranan satira sebahagiannya adalah menggalakkan kritikan tetapi akhbar itu pergi terlalu jauh dalam mengkritik tokoh agama Islam. Tindakan membalas dendam ke atas akhbar itu belum dapat memberi kesan kepadanya.

Keadaannya berbeza semasa akhbar Dernmark, Jyllands-Posten yang menerbitkan karikatur Nabi Muhamad saw pada tahun 2005. Kesepaduan tindakan negara-negara Islam memboikot barangan makanan dan minuman keluaran Dernmark telah memberi kesan kepada ekonomi negara itu. Berdasarkan tekanan yang berterusan, akhbar itu memohon maaf. Dari semasa ke semasa, premis Jyllands-Porsten sentiasa diintai untuk tindakan sabotaj dan baas dendam.

Tahun 2008, tiga orang ditahan kerana merancang pembunuhan kartunis, pada September tahun 2010 pula sebutir bom meletup yang dipercayai sedang dihantar ke pejabat akhbar itu dan Desember tahun yang sama, lima orang ditahan dan dipercayai merancangan pembunuhan beramai-beramai di ibu pejabat Jyllands-Posten di Copenhagen.

Dalam kes Charlie Hebdo, umat Islam perlu menyatakan bantahan supaya agama itu lebih dihormati.



No comments:

Post a Comment