oleh Rosdi Baharom dan Maimunah Hashim
Little ‘Abd Programme
Ibu bapa muslim dan pemimpin masyarakat muslim
berhajat untuk melahirkan generasi anak-anak yang telah dibentuk dan diproses
ke arah menjadi hamba Allah swt dan mampu mengabdikan diri hanyasanya kepada
Allah swt.
Pengabdian ini semata-mata kerana hendak menjadi
hamba Allah yang ikhlas dan setia melaksanakan sistem hidup Islam. Impian ini
mesti diprogramkan secara terancang dan mampu dibumikan dengan mengambil kira
keperluan menyediakan ana-anak untuk berperanan pada zaman mereka yang sudah tentu
berbeza dengan zaman ibu bapa.
Pendidikan berteraskan ‘tauhidullah’ telah menjadi
teras pendekatan ini. Sumber utama adalah al-quran dengan menjadikan surah Al-fatihah
sebagai dasar pendidikan di peringkat prasekolah.
Meneliti
generasi awal al-quran
Dr Ahmad Farid dalam bukunya ‘Pendidikan
berbasis metod Ahlus Sunnah Wal Jamaah’ telah mengungkap tulisan Muhammad Qutb
yang berbunyi;
‘Kelompok pertama adalah kelompok yang
ditarbiyah secara langsung oleh Rasulullah saw. Baginda mengerahkan segenap
tenaga, perhatian dan kepeduliannya untuk mentarbiyah mereka. Kelompok iniah
yang mendapat tarbiyah Islam secara lengkap dan sempurna kerana ditarbiyah
langsung oleh murabbi yang terhebat sepanjang sejarah.’
Kelompok inilah yang pertama-tama dimaksudkan
oleh firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 110;
‘Kamu adalah umat yang terbaik dilahirkan
untuk manusia. Kamu menyuruh kepada yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar dan
beriman kepada Allah.’
Kelompok ini benar-benar menjadi umat terbaik
dalam sejarah umat manusia secara keseluruhannya. Kelompok ini memiliki beragam
kebesaran dalam segala aspek yang belum pernah dimiliki oleh kelopok manapun
dalam sejarah. Kebesaran yang mereka miliki amat berlimpah, berbagai-bagai dan
luas. Mereka memiliki kebesaran politik dan pengurusan, kebesaran jiwa,
kebesaran ruhani dan pelbagai kebesaran lagi.
Dr Ahmad Farid memetik penjelasan Muhammad
Qutb mengenai tarbiyah yang diperlukan untuk dilaksanakan semula sebagaimana
tarbiyah yang pernah dilalui oleh generasi pertama adalah:
1. Akidah yang jernih, tanpa noda bida’ah dan
khurafat. Ertinya, akidah yang sama dengan akidah generasi salaf yang bersih
dari segala macam tambahan dan penyimpangan. Tarbiyah untuk melahirkan
tokoh-tokoh istimewa, bukan sekadar orang-orang Islam biasa iaitu peribadi yang
diumpakan seperti tiang-tiang yang kukuh untuk menunjangi bangunan Islam.
2. Pemahaman dan kesedaran terhadap akibat
dari akidah ini. Adapun akibat dari akidah ini adalah semua kewajipan dan
arahan yang ada dalam al-quran dan hadis. Oleh kerana kewajipan dan arahan ini
begitu agung dan mencakup seluruh aspek kejiwaan dan semua semua sudut
kehidupan, maka agama ini pun menjelma menjadi sebuah agama yang agung manakala
umat yang mengembangkan agama ini menjadi sebuah umat yang agung. Seterusnya
dapat membina sebuah peradaban besar yang hebat dalam sejarah manusia.
3. Tarbiyah yang boleh mengubah akidah menjadi
sebuah kenyataan dalam bentuk perilaku yang ada di alam maya. Tarbiyah ini
memerlukan pemantapan dan mendalamkan konsep-konsep ketuhanan hingga menjadi
sebuah keyakinan di dalam hati sebagai landasan perilaku di alam maya.
Maksudnya, sebuah keyakinan yang tidak boleh digoyah oleh ujian dan kesulitan
dan tidak boleh digoyang oleh kemakmuran dan kekayaan.
4. Tarbiyah ini memerlukan pemantapan akhlak
‘tiada tuhan selain Allah’ hingga menjelma menjadi perilaku nyata yang muncul
secara automatik dari dalam jiwa. Akhlak ini memiliki cakupan yang sangat luas
dan menyeluruh kerana mencakup semua perilaku yang dilakukan oleh manusia.
Persaudaraan, pemedulian, keteguhan hati, kesabaran, keberanian, berdisiplin
dan mengenal kebenaran adalah sebahagian daripada akhlak ini.
Beliau juga memetik ungkapan Imam Malik,
‘Urusan generasi penerus umat ini tidak akan baik kecuali apabila diatur dengan
institusi (tarbiyah) yang mengatur generasi pertamanya’.
Tarbiyah
keimanan dasar pentarbiyahan anak
Tarbiyah pertama dan terutama adalah tarbiyah
keimanan atau tarbiyah akidah. Dasar keimanan ini adalah mentauhidkan Allah
swt. Dr Ahmad Farid memetik tulisan Anas Karzun yang bertajuk ‘Manhaj Islam fi
tazkiyatin nufus’ iaitu;
‘Oleh kerana itulah, tajuk utama dalam
al-quran ialah tauhid. Ayat-ayat al-quran yang turun di Mekah selama
bertahun-tahun dimaksudkan untuk memperkuatkan akidah ini di dalam hati dan
menjawab keraguan orang-orang yang menyimpang dari akidah ini. Hal terbesar
yang menjadi fokus dari ayat-ayat al-quran yang berupaya memperkuatkan akidah
tauhid ialah keupayaan membangunkan fitrah. Ini adalah kerana orang yang
fitrahnya mati dan hatinya gelap pasti menyimpang dari akidah tauhid dan merasa
tidak memerlukan penciptanya’.
Dr Ahmad Farid turut memetik dari apa yang
dijelaskan oleh Abdullah Nasih Ulwan dalam buku ‘Tarbiyatul aulad fil Islam’;
‘Tanggungjawab memberikan tarbiyah keimanan
yang dipikul oleh para pendidik, ibu dan ayah adalah benar-benar merupakan satu
tanggungjawab yang penting. Ini disebabkan oleh tarbiyah keimanan merupakan
sumber keutamaan dan kesempurnaan. Bahkan tarbiyah keimanan ini merupakan fokus
utama untuk memasukkan anak ke dalam sangkar iman dan jambatan Islam.
Tanpa tarbiyah keimanan ini, seseorang anak
tidak boleh menjadi anak yang bertanggungjawab, tidak memiliki sifat amanah,
tidak mengetahui tujuan hidupnya, tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan yang
luhur, tidak mahu menjalankan norma-norma yang dihormati, tidak memiliki tujuan
yang mulia bahkan menjalani hidupnya laksana binatang ternak yang ada di
benaknya hanyalah bagaimana cara mengisi perutnya, memuaskan nalurinya mengejar
kesenangan dan kenikmatan serta bergaul dengan orang-orang yang membuat
kerosakan. Saat itulah ia termasuk ke dalam golongan orang-orang kafir dan
kelompok yang menganut fahaman kebebasan yang menyesatkan’.
Tarbiyah
berasaskan al-quran
Ungkapan Imam Malik ini wajar kita renungi.
‘Urusan generasi penerus umat ini tidak akan
baik kecuali apabila diatur dengan institusi (tarbiyah) yang mengatur generasi
pertamanya’.
Hal ini bermaksud kita perlu menggubal satu
manhaj yang sama dengan yang telah membentuk generasi al-quran yang pertama
dulu. Walaupun begitu, perlu dinyatakan bahawa manhaj ini digubal dengan
beberapa perkara tertentu untuk menjadikan manhaj itu mampu mencetak anak-anak
yang berperanan dalam kehidupan zamannya.
Sayyid Qutb dalam buku ‘Petunjuk sepanjang
jalan’ telah menulis mengenai pembentukan generasi al-quran yang unik.
‘Yang demikian maka dapatlah diambil
kesimpulan bahawa Rasulullah saw yang bermaksud dan mengarahkan supaya sumber
panduan dan pengajaran generasi pertama itu dalam peringkat pertumbuhan mereka,
sememangnya hanya terbatas kepada kitab Allah (al-quran) supaya jiwa mereka
menyatu dengan program-Nya yang tunggal itu. Kerana itulah baginda murka
melihat Umar al-Khattab mencuba mencari panduan lain selain al-quran’.
Peranan Nabi Muhammad saw adalah membentuk
satu generasi yang memiliki kebersihan hati, pemikiran, pandangan hidup dan
perasaan serta kemurnian jalan hidup. Generasi baginda menerima panduan dari
sumber yang tunggal. Oleh kerana itulah, generasi itu telah berhasil membentuk
sejarah gemilang pada zamannya. Apakah yang telah berlaku kepada mereka?
Surah Al-fatihah ditanzilkan pada tahap sangat
awal kepada Nabi Muhammad saw. Surah ini adalah surah yang pertama ditanzilkan
secara lengkap dan sempurna. Terdapat perbezaan pendapat surah-surah yang
ditanzilkan sebelum Al-fatihah iaitu Al-alaq, AL-muzammil, Al-mudadatsir dan
Al-qalam.
Keempat-empat surah ini memberikan perintah
dan arahan kepada Nabi Muhammad saw dan menunjukkan betapa beratnya
tanggungjawab baginda di hadapannya. Surah Al-qalam meyakinkan baginda bahawa
dirinya tidak gila malah memiliki akhlak yang agung. Surah Al-mudadatsir
memerintahkan baginda untuk bangun mala dan memberi peringatan. Surah
Al-muzammil memerintahkan baginda mendirikan solat dan menyembah Allah swt dan
Dia memaklumkan bahawa baginda akan diletakkan satu tanggungjawab yang berat.
Surah Al-fatihah adalah surah yang pertama
ditanzilkan dalam bentuk memberi arahan dan panduan kepada Nabi Muhammad saw
tentang bagaimana hendak berkomunikasi dengan Allah swt iaitu apa yang perlu
dikatakan kepada Allah swt. Surah ini
juga merupakan ringkasan padat risalah Islam dan al-quran.
Meneliti kandungan surah Al-fatihah yang
dikemukakan ulama dunia iaitu Muhammad Abduh, Said Hawwa dan Wahbah Zuhaili
serta merenung pula tujuan pentarbiyahan anak-anak, khususnya di peringkat umur
prasekolah, kita yakin bahawa surah Al-fatihah adalah sangat sesuai dan tepat
sekali untuk dijadikan dasar penggubalan kurikulum pentarbiyahan anak-anak ini.
Salah satu sebab yang sangat penting adalah
surah Al-fatihah mempunyai hubungan dengan solat yang difardhukan ke atas
seluruh umat muslimin. Surah ini wajib diajarkan kepada setiap anak pada usia
awal tahun. Dengan menjadikan surah ini sebagai dasar pentarbiyahan anak-anak,
mereka bukan sahaja akan belajar membaca dan menghafalnya malah akan ditarbiyah
dengan penjelasan yang mendalam tentang isi kandungannya. Hasil yang dihajati
adalah anak-anak didik akan memahami dan menghayati saripati iman dan Islam
dalam surah ini, sudah pasti meninggalkan kesan yang mendalam dalam solat dan
kehidupan mereka.
No comments:
Post a Comment