Tuesday, January 06, 2015

Now everyone can fly ... and safe








Sebahagian mangsa nahas kemalangan udara pesawat AirAsia QZ8501 dari Surabaya ke Singapura telah dijumpai dan dikenal pasti. Gerakan mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai aset menjadi tulang belakang operasi di tengah-tengah laut yang bergelora dengan harapan dapat menjumpai mangsa yang selamat.

Kemalangan yang berlaku ini merupakan kali pertama sejak AirAsia beroperasi di bawah jenama “Now everyone can fly”.

AirAsia berkembang menjadi sebuah entiti penerbangan swasta yang hebat di Malaysia dan di Asia. Syarikat ini sentiasa memenangi anugerah syarikat penerbangan tambang murah terbaik saban tahun di Asia. Justeru, ia berkembang ke Indonesia, Thailand, Filipina dan India.

Kecemerlangan AirAsia ada hubungan rapat dengan gaya kepimpinan Ketua pegawai eksekutif, Tan Sri Tony Fernandez dan model perniagaan yang digunakan.

Saya pernah menggunakan perkhidmatan AirAsia pada tahun 1998. Model perniagaan ketika itu sama seperti syarikat penerbangan lain dan beroperasi dengan kos yang sangat tinggi. Ia ada kelas perniagaan dan kelas ekonomi. Harga tiket juga tidak jauh berbeza.

Tokoh penggerak kepada perubahan AirAsia mungkin kita boleh katakan adalah Datuk Pahamin Rejab. Pengalamannya berkhidmat dalam kerajaan dan minat terhadap bisnes telah mengangkat kembali jenama AirAsia.

Beliau membentuk pasukan yang memiliki fikiran terbuka dan berwawasan jauh. Ramai yang tertanya-tanya kenapa beliau memilih ketua yang tidak memiliki latar belakang penerbangan sebaliknya memilih Tony Fernandez yang berpengalaman luas dalam industri muzik.

Datuk Pahamin menutup mulut pengkritiknya apabila AirAsia berkembang pantas dan berkembang sebagai sebuah syarikat penerbangan pilihan di Malaysia pada hari ini.

Sebagai menghargai peranan Datuk Pahamin, tandatangannya diabadikan pada badan pesawat AirAsia.

Perkhidmatan AirAsia menjadi pilihan kerana harga yang murah dan menawarkan laluan baru yang berpotensi untuk menjadi pusat pelancongan. Permintaan tinggi terhadap AirAsia menyebabkan kerajaan Malaysia membuka terminal udara tambang murah di Sepang seterusnya membina sebuah terminal yang lebih besar yang dikenali sebagai KLIA2.

Pesawat QZ8501 sedikit sebanyak telah merentap keyakinan ramai orang terhadap keselamatan pengangkutan udara. Keadaannya lebih menonjol selepas sebuah pesawat Malaysia Airlines hilang ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan sebuah lagi ditembak jatuh semasa melalui ruang udara Ukraine.

Perbandingan antara pengangkutan darat, laut dan udara masih menunjukkan pengangkutan udara lebih selamat. Kemalangan yang berkaitan dengan kapal terbang, helikopter atau pesawat pejuang sangat kurang berbanding kemalangan jalan raya. Namun begitu, tiga buah pesawat yang terlibat dalam nahas udara amat merentap keyakinan kita untuk melancong dan berjalan-jalan ke luar negara. Biarpun juruterbang seorang berpengalaman, faktor cuaca boleh menjadi masalah besar kepada pesawat.

Kita tidak pasti bagaimana orang ramai memberi reaksi terhadap penerbangan AirAsia selepas ini. Jika ada syarikat penerbangan tambang murah yang setanding AirAsia, kita mempunyai pilihan kerana memikirkan keselamatan dalam pesawat dan dapat tiba ke destinasi tanpa ada masalah.

AirAsia wajar bertindak pantas memlihara keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap mereka dengan melakukan promosi dan ikrar keselamatan penumpang, anak kapal dan pesawat. Ikrar seperti ini sedikit sebanyak dapat melegakan resah hati pelanggan sedia ada. Tiga perkara utama boleh diberi tumpuan iaitu juruterbang yang berpengalaman, pesawat yang hebat dan laluan penerbangan yang selamat.

Sekiranya ketiga-tiga cadangan ini diberi keutamaan, jenama AirAsia wajar diperkukuh kepada “Now everyone can fly ... and safe”.



No comments:

Post a Comment