Monday, January 26, 2015

Aku ingin kembara lagi






Penulis: Mohd Asri Zainul Abidin
Tahun: 2014
Penerbit: Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor.
Muka Surat: 257

“Aku Ingin Kembara Lagi” merupakan himpunan tulisan Mohd Asri semasa bertugas sebagai felow di OCIS, Oxford. Tempoh waktu di sana adalah antara waktu yang paling berharga dan menarik dalam hidup beliau. Mohd Asri amat jatuh cinta dengan Oxford dan suasananya. Bandar tersebut amat indah bagi dirinya manakala OCIS juga amat bermakna bagi diari hidupnya.

Oxford amat bermakna seperti yang dicoretkan, “Saya coretkan sebahagian daripada apa yang saya tengok semasa berada di Oxford. Lantas saya simpulkan semua dengan apa yang saya faham. Saya berharap setiap pembaca dapat mendoakan agar Allah swt memberikan peluang kepada saya untuk terus mengembara mencari hembusan pengalaman baru yang mendidik jiwa sehingga benar-benar memahami rahsia alam dan terasa amat kebesaran tuhan”.

Mohd Asri meneruskan kehausan mengembara dalam coretan di muka hadapan buku ini yang berbunyi, “Saya ingin terus mengembara melihat dunia ini dan memahami banyak perkara. Mungkin ada yang telah saya faham, namun belum merasai dan mengalaminya sendiri.”

Selain prakata, terdapat 30 artikel pengalaman dan pandangan Mohd Asri berkaitan isu-isu Islam dan masyarakat Islam seperti murtad, budaya, Islam di Sepanyol dan cinta sebelum kahwin.

Membaca buku ini amat menyantaikan kerana bentuk penulisan yang mudah difahami, kritikal dan diselang-seli dengan beberapa gambar untuk menguatkan hujah.


No comments:

Post a Comment