Tuesday, January 20, 2015

Pendidikan awal kanak-kanak menjana modal insan cemerlang









1.0 Pengenalan

Awal kanak-kanak ialah istilah yang merujuk kepada tempoh masa kanak-kanak tersebut dari waktu dilahirkan sehinggalah ke umur lapan tahun. Menurut  ‘The National Association for The Education of Young Children (NAEYC) atau Pertubuhan Kebangsaan bagi Pendidikan Kanak-Kanak Muda, istilah awal kanak-kanak merujuk pendidikan awal kanak-kanak yang memerlukan segala program pendidikan seperti memberi layanan, asuhan dan bimbingan kepada kanak-kanak tersebut seawal dari lahir hingga ke umur lapan tahun.

Pendidikan awal kanak-kanak adalah sangat penting dalam perkembangan dan pembangunan seseorang kanak-kanak itu. Umum mengetahui, sekiranya seorang kanak-kanak itu mendapat pendidikan asas yang berkualiti, maka diyakini kanak-kanak tersebut akan terus berjaya dalam pendidikan yang akan dilalui pada peringkat yang lebih tinggi dan juga kerjayanya di masa hadapan.

Di Malaysia, terdapat empat agensi utama penting yang menjalankan pendidikan prasekolah iaitu Kementerian Pendidikan sendiri, pihak KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta pihak swasta yang bertungkus lumus untuk memastikan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak ini diteruskan dan ditingkatkan.

1.1 Latar Belakang Kajian

Bermulanya selepas perang dunia ke-2 iaitu pasa era 1950-an, maka bermulalah juga sejarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Sekitar pada tahun 1900-an, pendidikan awal kanak-kanak mula ditubuhkan di negara luar seperti Filipina, Singapura dan Thailand sahaja. Manakala perkembangan pendidikan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia pula telah bermula pada tahun 1940 an.

Tambahan lagi, berkembangnya pendidikan awal kanak-kanak sekitar pada tahun 1940-an telah dibuka oleh missionari Kristian yang mengamalkan pendidikan berpengaruhkan British iaitu sistem pendidikan British. Sistem ini telah mengenakan yuran yang sangat mahal dan pada ketika itu hanya anak-anak orang berada sahaja yang belajar. Sistem ini dibantu oleh para guru yang terdiri daripada bekas guru sekolah rendah yang tidak ada latihan dan pengalaman.

Di Malaysia, bermula tahun 1950 hingga 1960, sosiolis kristian yang dikenali sebagai tenaga kerja yang membuat kerja-kerja kebajikan gereja telah membuka tadika. Kebanyakan tadika dipunyai oleh individu atau agensi persendirian yang bertapak di kawasan bandar dan berperanan menyediakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak hanya untuk ibu bapa yang mampu membayar yuran sahaja. Implikasi daripada itu, hanya sebahagian kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun berpeluang mengikuti kelas tadika. Dengan itu, malangnya ramai kanak-kanak yang berasal daripada keluarga yang miskin dan luar bandar tidak dapat menerima pendidikan awal di tadika.

Pendidikan Awal Kanak-Kanak mula berkembang secara umum pada sekitar tahun 1960-an berikutan kesedaran beberapa golongan untuk mendapatkan pendidikan terutamanya dalam kalangan golongan kurang berkemampuan selepas merdeka mula memuncak. Satu revolusi telah berlaku pada tahun 1969 di mana Yayasan Asia telah menyumbangkan sejumlah wang kepada Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia (Worker Society of Malaysia)  bertujuan untuk mendirikan tadika yang mirip kepada projek “Head Start” di Amerika Syarikat. Contoh tadika yang ditubuhkan berada di Negeri Selangor iaitu di Kampung Muniady, Kg. Manggis dan Kg. Sentosa. Sasaran kumpulan bagi projek ini terdiri daripada kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan miskin di mana mereka ini juga terdiri dari beberapa bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.

Jabatan Kemajuan Masyarakat atau dikenali sebagai KEMAS telah membuka Taman Asuhan Kanak-Kanak iaitu (TASKA) adalah selaras dengan Falsafah Baru Pembangunan Luar Bandar di mana program ini memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, bandar dan pinggir bandar terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Dengan adanya pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berfokuskan kepada program "Pembasmian Buta Huruf", Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kerajaan Tempatan serta Perumahan Sabah telah mengambil keputusan untuk menubuhkan beberapa Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) atau Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) di Malaysia ini untuk penjagaan dan juga pendidikan bagi kanak-kanak di antara umur empat hingga enam tahun.

Mengikut fakta yang sahih, pada tahun 1972 pula, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membina akta yang khusus bagi Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan dinamakan Akta Pelajaran 1961 P.U (A), Kaedah-kaedah Pelajaran (Kindergarten/ SekolahAsuhan) (Pendaftaran). Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) mula menawarkan kursus untuk melatih para guru dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak sekitar tahun 1972 sehinggalah 1976. Usaha MPIK ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan telah diteruskan melalui projek-projek perintis Prasekolah oleh Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Maktab Perguruan Sri Pinang (MPSP), Maktab Perguruan Mohd Khalid (MPMK) dan Maktab Perguruan Perempuan Melayu (MPPM) dimana dibiayai penuh oleh UNICEF (Bernard Van Leer Foundation 2009).

Justeru, pendidikan awal kanak-kanak mula mendapat perhatian yang lebih serius pada tahun 1984. Maka dengan itu, terdapat beberapa pihak mula mencadangkan dan menuntut bahawa pendidikan awal kanak-kanak harus bermula lebih awal, iaitu di usia empat tahun lagi.

1.2  Objektif Kajian

Antara objektif yang akan dicapai dalam kajian ini adalah mengetahui pandangan mahasiswa dan mahasiswi tentang kepentingan pendidikan awal kanak-kanak. Selain itu objektif kajian juga mengkaji teknik pengajaran yang sesuai untuk kanak-kanak dan mencadangkan program sampingan pendidikan kanak-kanak untuk melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif.


2.0 Sorotan Literatur

Dalam konsep pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia, terdapat dua peringkat berdasarkan tahap umur kanak-kanak. Peringkat yang pertama sekali ialah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dimana ia ditubuhkan khusus untuk kanak-kanak yang berusia bawah 4 tahun. Seterusnya, peringkat kedua ialah Prasekolah atau Tadika (Taman Didikan Kanak-kanak) telah ditubuhkan untuk kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Menurut Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Perpaduan, mereka telah menamakan program awal kanak-kanak sebagai Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika). Oleh itu Pendidikan Prasekolah adalah salah satu program yang menyediakan pengalaman pembelajaran kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun sebelum masuk ke Tahun Satu di sekolah formal dengan jangka masa yang dianggarkan ialah setahun.

Berdasarkan sejarah di Eropah, pendidikan prasekolah mula berkembang pada abad ke 19 dan di Amerika pada abad ke 20. Terdapat beberapa ahli-ahli Falsafah Eropah yang terkenal seperti Johann Heinrich Pestalozzi, Friedrich Froebel dan Maria Montessori telah memberikan pendapat masing-masing mengenai isu betapa pentingnya pendidikan kanak-kanak. Froebel adalah orang pertama mendirikan tadika di dunia iaitu di Negeri Jerman pada tahun 1837 dan menamakannya sebagai Kindergarten yang bermaksud “Garden of Children” dan prasekolah pertama telah didirikan di United Kingdom di mana ditubuhkan oleh Robert Own pada tahun 1816 di Daerah Scotland dan diberi nama “The Infant School”. Di Amerika Syarikat, prasekolah pertama didirikan pada tahun 1850 oleh Carl Schruz dan seterusnya pada tahun 1860, didirikan oleh Elizabert Peabody di Boston. Penubuhan prasekolah di Eropah dan Amerika Syarikat hanya tertumpu kepada kanak-kanak dari golongan yang berada sahaja. Manakala kanak-kanak yang miskin akan terbiar dan tidak mendapat pendidikan awal sebagaimana kanak-kanak dari golongan berada.

Pada tarikh 18 Disember 1991, Jemaah Menteri telah mengadakan sebuah mesyuarat untuk membincangkan mengenai program prasekolah di Malaysia. Manakala pada 27 Januari 1992, Kementerian Pendidikan Malaysia atau dikenali sebagai KPM telah bermesyuarat untuk membincangkan mengenai peluasan prasekolah. Kesan daripada kedua-dua mesyuarat di atas, maka Akta Pendidikan 1996, telah mengeluarkan beberapa kenyataan mengenai pendidikan prasekolah dalam sistem Pendidikan Kebangsaan.

Terdapat pelbagai falsafah dan pandangan dari tokoh-tokoh Islam juga bagi mengendalikan pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pada peringkat awal. Pandangan mereka sedilit sebanyak mempengaruhi pembentukan kurikulum untuk kanak-kanak pada peringkat awal. Antara tokoh-tokoh Islam tersebutadalah Imam Al-Ghazali dan Ibnu Khaldun. Imam Al-Ghazali merupakan ulama dan tokoh ilmuan Islam terkenal dan pernah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti dan pensyarah di Universiti Pengajian Tinggi Nizamiah.

Antara pandangan beliau mengenai perkara ini ialah seorang kanak-kanak harus dididik sejak lahir. Seorang bayi jangan diberikan kepada orang lain menjaganya kecuali perempuan yang kuat agama dan mulia tingkah lakunya. Kanak-kanak perlu dididik dengan pelajaran agama, adab sopan, adab makan minum, mencuci badan, berwuduk dan bersembahyang dan perlu dididik supaya memperolehi tingkah laku yang mulia, merendah diri, tidak berbohong, bersederhana dalam perlakuan, tidak berkawan dengan orang jahat dan tidak berbangga.

Ibu bapa harus bersikap tegas dengan kanak-kanak, tidak bersenang-senang, berseronok atau bermanja-manja apabila bergaul dengan mereka. Tidak boleh keterlaluan bila mendenda kanak-kanak dan jangan mencemuh atau menimbulkan kebencian mereka.Beliau berpendapat pendidikan lebih kepada memperelokkan fitrah dan membentuk naluri kanak-kanak, mereka perlu bermain kerana dapat membantu perkembangan fizikal serta menguatkan otot mereka, bermain merupakan sifat semulajadi kanak-kanak, dapat menggembirakan mereka serta memberi kerehatan selepas penat belajar. Beliau menasihati guru supaya mengajar mengikut kemampuan kanak-kanak, memperbaiki perlakuan dengan mesra bukan dengan cara menempelak mereka dan para guru tidak perlu mengharapkan ganjaran tetapi perlu menunjukkan model tingkah laku yang baik.

Pendekatan Ibnu Khaldun pula ialah pada peringkat permulaan, mereka perlu diajar daripada mudah kepada yang lebih susah secara berperingkat-peringkat, latih tubi, menggunakan benda-benda maujud, dan menggunakan bahan-bahan bantu mengajar. Kanak-kanak tidak boleh dibebankan dengan perkara-perkara yang diluar kemampuan mereka kerana boleh menyebabkan mereka tidak mahu belajar sebaliknya mencerca pengajaran yang diberi.Di peringkat prasekolah hendaklah diberi contoh-contoh yang konkrit yang boleh difahami melalui pancaindera mereka. Jadual pembelajaran harus disusun dengan baik supaya mudah memahami apa yang disampaikan. Kanak-kanak harus dibentuk dengan penuh kasih sayang, lemah lembut dan bertimbang rasa bukannya dengan cara kekerasan kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi pemalas, pembohong, berlagak untuk menyembunyikan yang sebenar, membuat tipu helah dan tidak berperikemanusiaan. Masa belajar jangan terlalu panjang kerana boleh menyebabkan lupa, sebaliknya dalam waktu yang pendek serta cara yang betul bagi mendapat hasil pembelajaran yang baik. Mulailah dengan menulis dan membaca, kemudian kaitkan dengan makna kerana bahasa adalah asas kepada semua kanak-kanak semasa pembelajaran. Pendekatan Ibnu Khaldun merupakan contoh pendekatan yang baik dalam membentuk peribadi kanak-kanak.

Ahli-ahli Falsafah Eropah yang terkenal seperti Johann Heinrich Pestalozzi, Friedrich Froebel dan Maria Montessori juga mempunyai pendapat masing-masing mengenai pendidikan awal kanak-kanak. Johann Heinrich Pestalozzi pula telah membuka sebuah sekolah di ladangnya dikenali dengan nama “Neohof” pada tahun 1774. Di sekolah itu diintegrasikan kehidupan di rumah, pendidikan vokasional dan pendidikan untuk bacaan dan tulisan. Beliau percaya bahawa pendidikan adalah diasaskan kepada pengalaman-pengalaman deria. Dengan melalui pengalaman itu kanak-kanak boleh mencapai potensi mereka yang semulajadi.Beliau percaya pengajaran boleh dibentuk berdasarkan objek. Oleh itu, pembelajaran konsep hendaklah dengan melalui manipulatif seperti membilang, mengukur, merasa dan menyentuh.

Friedrich Froebel yang digelar sebagai “Bapa Tadika” pula telah menubuhkan sekolah taman kanak-kanak yang dinamakan “Kindergarten’’. Menurut beliau, kanak-kanak perlu belajar dalam persekitaran yang terancang dan pemikiran kanak-kanak berkembang dengan cara bermain, mempelajari sesuatu melalui perbuatan serta perlu diberi kebebasan.Taman kanak-kanak perlulah dipenuhi dengan keindahan untuk menarik perhatian kanak-kanak seperti dicat dengan warna yang terang, bilik yang senang dimasuki cahaya, dipenuhi dengan taman-taman, binatang dan gambar-gambar. Dilengkapi dengan kerusi meja yang sesuai serta keadaan bilik yang tidak sempit kerana boleh menyusahkan perjalanan aktiviti. Suasana di taman kanak-kanak hendaklah dititikberatkan supaya dapat mengawal kanak-kanak daripada pengaruh jahat yang terdapat dalam masyarakat dan bahaya alam semulajadi.

Maria Montessori pula merupakan tokoh pendidikan di Rome yang berpengalaman mendidik kanak-kanak yang terencat akal telahmenyokong Froebel dalam pendapat membenarkan kanak-kanak belajar melalui aktiviti bermain. Beliau mengutamakan latihan daya penglihatan, pendengaran dan sentuhan yang bertujuan membolehkan kanak-kanak mendapat pengalaman dan latihan menggunakan deria dengan cekap. Selain itu, kanak-kanak mestilah dihormati haknya. Persekitaran yang terancang, kemahiran hidup, disiplin diri dan arahan adalah prinsip penting dalam pendidikan kanak-kanak untuk membentuk serta membantu perkembangan intelek, fizikal, sosial, emosi dan rohani.


3.0 Metodologi

Soal selidik menggunakan borang dan temuramah.


4.0 Hasil Kajian

Pendapat mahasiswa dan mahasiswi tentang pendidikan awal kanak-kanak itu adalah penting kerana melalui soal selidik yang telah dilakukan menunjukkan bahawa seramai 87 peratus bersetuju akan pendapat ini manakala hanya segelintir yang tidak berstuju. Jika dilihat dari semua aspek, pendidikan awal kanak-kanak sememangnya penting dan wajar diambil kira oleh semua lapisan masyarakat khususnya ibu bapa dan guru. Hal ini kerana, fasa kanak-kanak ialah fasa utama yang menentukan corak pertumbuhan dan perkembangan mereka seterusnya yang akan mempengaruhi segala tindak tanduk mereka dari aspek mental, fizikal, dan spiritual merangkumi pembinaan akhlak dan sahsiah yang terpuji di samping perkembangan emosi yang stabil.

Selain itu, seramai 70 peratus mahasiswa dan mahasiswi yang bersetuju supaya kanak-kanak mempelajari bahasa lain. Hal ini kerana, bahasa lain ini perlu dididik sejak kecil lagi kerana apabila mereka dewasa bahasa merupakan medium yang paling penting dalam pelajaran. Jika bahasa yang dipelajari kanak-kanak dipelbagaikan, tidak mustahil Malaysia akan melahirkan ramai generasi pelapis yang pakar dalam pelbagai disiplin ilmu melangkaui sempadan negara, sekaligus dapat menghantar ramai duta negara ke negara lain dalam rangka menaiktaraf sistem pendidikan Malaysia secara menyeluruh khususnya sistem pendidikan awal kanak-kanak.


Rajah 1: Graf umur yang bersesuaian dengan pendidikan awal kanak-kanak.

Rajah 1 menunjukkan seramai 13 daripada 30 responden berpendapat umur yang paling sesuai untuk kanak-kanak ke pusat pendidikan awal ialah pada umur 4 tahun manakala seramai  orang bersetuju pada umur 6 tahun. Menurut kajian, pada usia 4 tahun, kanak-kanak normal sudah dapat berinteraksi dengan persekitaran sekelilingnya dengan baik. Jadi, pada seawal usia 4 tahun, kanak-kanak perlu dihantar ke pusat pendidikan awal supaya bakat mereka dapat dikembangkan dari segi pertuturan yang lebih fasih dan perkembangan minda yang kreatif melalui interaksi dengan persekitaran seperti rakan sebaya dan guru.


Rajah 2: Carta pai skop pendidikan kanak-kanak.

Berdasarkan rajah 2, menggambarkan tentang skop pendidikan yang sesuai untuk kanak-kanak. Sebanyak 57 peratus responden bersetuju supaya akademik dan permainan digabungkan. Sebanyak 33 peratus bersetuju permainan sahaja manakala 10 peratus bersetuju akademik sahaja. Hal ini kerana pendekatan pembelajaran sambil bermain amat bersesuaian untuk kanak-kanak ekoran daripada sifat semula jadi kanak-kanak yang suka bermain. Mereka belajar melalui permainan. Pendekatan ini sangat disarankan oleh ramai tokoh pendidikan awal kanak-kanak seperti Imam Ghazali, Ibnu Khaldun, Friedrich Froebel, dan Johann Heinrich Pestalozzi.


Rajah 3: Graf teknik pengajaran yang lebih utama.

Rajah 3 menunjukkan bahawa mengajar kanak-kanak dengan berbagai budaya yang berbeza adalah teknik yang lebih utama. Hal ini kerana, kanak-kanak suka mempelajari sesuatu yang baharu dari persekitaran mereka. Maka dengan ini kanak-kanak perlu didedahkan dengan lebih meluas tentang persekitaran mereka. Teknik pengajaran yang kedua ialah mengadakan aktiviti soal jawab bersama mereka, umum mengetahui perkembangan minda kanak-kanak akan meningkat apabila mereka berfikir. Kesedaran sivik dan diikuti dengan pemberian motivasi merupakn teknik pengajaran yang sepatutnya ada tetapi diadakan pada waktu yang bersesuaian.  
 

Rajah 4: Graf suasana yang merangsang minda kanak-kanak.

Rajah 4 membincangkan tentang suasana yang perlu ditekankan untuk merangsang minda kanak-kanak. Sebanyak 60 peratus responden berpendapat suasana ceria sangat merangsang minda kanak-kanak. Ini bertepatan dengan pandangan “BapaTadika”, Friedrich Froebel yang menegaskan taman kanak-kanak perlulah dipenuhi dengan keindahan untuk menarik perhatian kanak-kanak. Jika dinilai, suasana pembelajaran yang ceria bukan sahaja merangsang minda kanak-kanak tetapi pelajar dari semua peringkat termasuklah sekolah dan universiti.


Rajah 5: Graf pandangan mahasiswa terhadap pendidikan luar negara.

Rajah 5 menggambarkan persetujuan 80 peratus responden mengenai usaha kerajaan Malaysia mencontohi pendidikan awal luar negara. Pendekatan Malaysia ke arah mengadaptasi sistem pendidikan awal dari luar negara memungkinkan ramai kanak-kanak Malaysia lebih berfikiran kritis dan kreatif serta dapat berdikari seawal usia 6 tahun. Sebagai contoh, kanak-kanak di Amerika dapat mengendalikan projek mini seperti reka cipta kereta mainan dan sebagainya seawal usia 7 dan 8 tahun.


Rajah 6: Graf pandangan mahasiswa tentang kelas yang diadakan di hujung minggu.

Rajah 6 menunjukkan 70 peratus responden bersetuju supaya kelas hujung minggu untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 4 tahun hanya bertujuan untuk membiasakan mereka dengan dunia persekolahan. Hal ini kerana kanak-kanak seawal usia ini tidak boleh ditekankan dengan masa pembelajaran formal yang terlalu lama dan kerap bertepatan dengan pandangan Ibnu Khaldun yang menyatakan bahawa masa belajar jangan terlalu panjang kerana boleh menyebabkan lupa, sebaliknya dalam waktu yang pendek serta cara yang betul bagi mendapat hasil pembelajaran yang baik.


Rajah 7: Graf program tambahan yang bersesuaian untuk kanak-kanak.

Rajah 7 menggambarkan persetujuan responden mengenai program tambahan yang bersesuaian untuk pendidikan awal kanak-kanak. Sepuluh daripada 30 responden berpandangan bahawa kanak-kanak perlu diberi peluang bermain alat-alat muzik, manakala sembilan responden bersetuju supaya pendekatan pendidikan waja diri untuk ketahanan dan keselamatan diri. Kedua-dua pendapat ini sama penting jika dilihat dari aspek pemupukan peribadi dan sahsiah seperti keyakinan diri dan komunikasi dengan persekitaran. Selain itu, kelas berenang dan menari serta program lain seperti belajar al-quran, belajar fardhu ain dan sebagainya dapat menyeimbangkan penggunaan otak kanan dan kiri kanak-kanak sekaligus melahirkan intelektual yang seimbang dari aspek rohani dan jasmani.


5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya pihak Kementerian Pendidikan perlu merancang satu strategi yang berkesan dan bersesuaian dengan muridnya untuk sesi pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak. Peranan guru juga perlu seiring dengan strategi tersebut. Secara tidak langsung, ia sedikit sebanyak dapat membantu kanak-kanak prasekolah menyesuaikan diri untuk ke tahun satu. Guru juga harus sentiasa peka dengan sebarang cadangan penambahbaikan yang dibuat supaya dapat memberikan yang terbaik untuk pembelajaran kanak-kanak pra sekolah. Berdasarkan kajian-kajian tersebut membuktikan pelbagai masalah yang wujud dalam taska dan perlu di ambil tindakan segera untuk meningkatkan lagi perkembangan kanak-kanak agar dapat melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan konsep ‘1 Malaysia rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan’, pendidikan awal kanak-kanak perlu dititikberatkan agar matlamat utama pembangunan keluarga dan masyarakat untuk melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif tercapai.

Melalui kajian ini, terdapat beberapa cadangan penambahbaikkan dapat diperolehi untuk membaiki strategi dan aktiviti yang sedia ada di prasekolah.

Aktiviti Berpusatkan Murid. Cadangan pertama yang dapat diperkatakan ialah guru perlu menjalankan aktiviti berpusatkan murid. Melalui cara ini, kanak-kanak akan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dirancangkan sama ada secara individu, kumpulan kecil ataupun kelas. Selain itu guru prasekolah juga perlulah menceriakan keadaan persekitaran di prasekolah. Guru hendaklah sentiasa memperbaharui dan membuat perubahan persekitaran kelas prasekolah agar kanak-kanak sentiasa tertarik dan gembira ketika hadir ke prasekolah.

Perbanyakkan Aktiviti. Guru juga perlu mengambil inisiatif untuk memperbanyakkan aktiviti-aktiviti dan permainan di dalam prasekolah dengan menggunakan alat bantu mengajar yang dapat menarik perhatian murid prasekolah untuk mengikuti pembelajaran. Murid prasekolah mempunyai potensi diri yang tersendiri dan menjadi tugas guru untuk mencungkilnya.

Ubah perancangan pembelajaran. Untuk melahirkan insan yang berpotensi, guru parasekolah seharusnya mempelbagaikan lagi aktiviti-aktiviti dan menguba perancangan pembelajaran supaya menjadi lebih efektif.  Dari situ kanak-kanak prasekolah dapat mengaut pengalaman dan pengalaman itu akan dibawa ke tahun satu.

Tidak mengajar pengajaran formal secara mendadak. Dari segi pengajaran pula guru di tahun satu tidak boleh memberi pengajaran formal secara tiba-tiba, mereka masih perlu menitikberatkan pengajaran secara kreatif di awal kemasukan mereka di tahun satu.  Dengan ini murid-murid akan rasa gembira belajar dan makin hari makin berminat untuk belajar.

Didikan dari rumah. Didikan dari rumah adalah penting.  Ibubapa seharusnya turut serta bersama-sama dengan guru membantu untuk memastikan anak-anak selesa berada di rumah dan dapat belajar dengan baik.  Ibubapa dan guru juga perlu duduk berbincang dan berkongsi idea bagaimana untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada. 

Kemudahan Teknologi Maklumat yang Lengkap. Kementerian Pendidikan juga perlulah membantu dengan menyediakan kemudahan teknologi maklumat yang lengkap seperti komputer riba (laptop) bagi setiap guru prasekolah. Ini mampu mengurangkan beban kerja guru prasekolah. Komputer riba boleh digunakan oleh guru prasekolah untuk mengaplikasikan pembelajaran dalam mata pelajaran teknologi maklumat kepada kanak-kanak prasekolah.

Interaksi dengan ibu dan bapa murid. Selain itu, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil tahu hal berkenaan perkembangan anak-anak mereka. Hubungan dua hala antara ibu bapa perlulah diwujudkan. Dengan ini guru dapat menceritakan permasalahan anak mereka kepada ibu bapa dan mereka dapat memantau serta membantu anak-anak mereka. Terdapat ibu bapa yang mengambil ringan pembelajaran anak-anak mereka di prasekolah dan meletakkan 100 peratus tanggungjawab mendidik anak mereka di bahu guru. Oleh itu, kerjasama daripada pelbagai pihak diperlukan untuk memangkin kemantapan dan kematangan kanak-kanak untuk belajar dan menyesuaikan diri untuk transisi dari satu tahap ke satu tahap.


Rujukan

Asas Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Diperolehi pada 9 Disember 2012, daripada
http://zulprasekolah.blogspot.com/2009/01/pra-3101-asas-pendidikan-awal-kanak.html

Definisi Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Diperolehi pada 9 Disember 2012, daripada
http://bustamkamri.blogspot.com/2011/05/definisi-pendidikan-awal-kanak-kanak-di.html

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Diperolehi pada 9 Disember 2012, daripada
http://www.moe.edu.my/btp/wp-content/uploads/2012/Blueprint/Preliminary-Blueprint-BM.pdf

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (2011). Kanak-Kanak Malaysia--The Children of Malaysia, Bab 1: Kanak-Kanak Harapan Kita (pp. 12-23).



MZ Zainudin, Nur Farahin Maruni, Nurain Abdul Munajat, Fatin Munirah Sapani, Syarifah Syakina Syed Kharuddin

No comments:

Post a Comment