Thursday, October 23, 2008

Seronoknya membaca!

Membacakan buku kepada kanak-kanak adalah nikmat yang paling hebat dalam hidup berkeluarga. Ibu, ayah dan anak-anak mengisi masa lapang bersama-sama untuk memberi erti yang lebih besar kepada kehidupan masa depan.

Bagaimanapun kanak-kanak yang berumur 8 bulan sukakan buku yang berbeza dengan kanak-kanak yang berumur 4 atau 8 tahun.

Jika diamati dan diteliti, kanak-kanak peringkat umur tersebut agak cerewet memilih buku. Biasanya mereka sukakan buku yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

- boleh dibuka-tutup-buka-tutup
- warna-warna yang terang
- gambar-gambar yang mendamaikan
- kulit buku atau kad yang boleh digigit
- buku yang boleh dipegang dengan bebas dan selesa

Apabila kanak-kanak mula membelek buku, mereka akan mula belajar tentang:

- konsep membaca buku (sebaik sahaja dibuka, di dalam buku ada cerita)
- baca dari kiri ke kanan
- bagi sesebuah cerita, ia ada awal dan akhir
- menghargai buku dan menganggapnya sebahagian daripada hidup

Semasa membaca, tinggikan suara supaya kanak-kanak boleh dengar suara anda. Tidak mengapa jika mereka tidak berminat. Gunakan kebijaksanaan anda untuk memujuk mereka melihat buku dan ketika keadaan tersebut, anda boleh rumuskan bacaan supaya perhatian kanak-kanak tadi dapat difokuskan. Bagi seorang kanak-kanak, tempoh lima minit membaca adalah sangat lama.

Menarik perhatian kanak-kanak terhadap buku perlukan seni dan kemahiran yang tertentu seperti membina interaksi yang lebih mesra dengan mereka. Interaksi di sini bermaksud anda menyoal atau memberitahu yang senang-senang terlebih dahulu supaya timbul minat untuk melihat buku.

Ikut kemahuan dan selera membaca kanak-kanak walaupun anda berasa tidak selesa. Jika mereka meragut buku dari pegangan anda, biarkan saja supaya mereka menikmati masa membaca tersebut walaupun hanya membebel-bebel mulut.

Bagaimana pula hendak memilih buku-buku yang sesuai untuk kanak-kanak di peringkat ini?

Perkara yang mustahak anda tahu ialah buku tersebut tahan lama. Lumrah kanak-kanak, mereka tidak tahu menjaga buku dengan cermat dan anda juga malas untuk mengutip buku yang selalu disepahkan. Buku yang tahan lama biasanya agak tebal, tidak mudah koyak dan keseluruhannya adalah lasak.

Permukaan kertas adalah licin dan ada elemen berbau wangi. Kadangkala kita rasa pelik kenapa kanak-kanak suka mencium buku namun hakikatnya ialah mereka tertarik dengan bau wangi buku berkenaan.

Pilih buku yang mengandungi gambar-gambar yang biasa di sekeliling mereka seperti televisyen, meja, buah-buahan, sayur-sayuran dan pinggan-mangkuk. Daya imaginasi dan mata kanak-kanak lebih jelas dengan objek yang mereka telah biasa nampak.

Anda sekeluarga boleh menjadikan masa membaca sebagai sebahagian daripada rutin harian. Ajak dan ajar anak-anak membaca tidak perlukan masa yang lama, cukup 10 hingga 15 minit sehari.

No comments:

Post a Comment