Wednesday, October 29, 2008

Iklan, bisnes 'tak habis makan'

Penerima Anugerah Usahawan Wanita 1957-2007, Shamsinar, memulakan perniagaan pengiklanan pada tahun 1988. Bermula dengan tiga orang pekerja dan mencatat keuntungan sekitar RM2 juta, kini syarikat CD Communication Group telah mendapat keuntungan RM40 juta pada 2006.

Syarikat beliau ada 130 pekerja dan sebuah bangunan tujuh tingkat di Damansara Perdana. Bagaimana Shamsinar melakukannya?

Perniagaan beliau bermula dengan minat setelah terlibat beberapa tahun dalam industri pengiklanan. Cabaran dan halangan yang datang dalam perniagaan menjadikan beliau semakin tabah. Cabaran paling perit pernah beliau hadapi ialah apabila rakan kongsi menarik diri sehingga syarikatnya menghadapi kesukaran dalam membuat pusingan modal.

"Tanpa sokongan dan bantuan daripada keluarga, saya tidak mungkin dapat meraih kejayaan pada hari ini," ujar beliau ketika berkongsi pengalaman dan susah-payah menjadi usahawan wanita.

Persaingan adalah asam garam dalam dunia perniagaan dan beliau terpaksa berhadapan dengannya. Cabaran yang banyak ini menjadikan semangatnya lebih kental dan mempunyai azam yang tinggi untuk berjaya.

Aktiviti bisnesnya ketika ini ialah kerja-kerja pengiklanan di media elektronik dan media cetak, billboard, dokumentari, perunding dan penasihat komunikasi, perhubungan awam, kerja-kerja reka bentuk penerbitan dan pecetakan seperti brosur, laporan tahunan, katalog dan sebagainya.

Kumpulan pemasaran syarikat CD Comm sangat agresif dan mampu bekerja siang dan malam kerana bilangan pekerjanya yang ramai. Justeru itu, seperti kata Shamsinar, asas kepada kejayaan syarikat beliau ialah dapat membina hubungan yang akrab dengan pelanggan-pelanggannya sama ada dari sektor awam atau swasta di samping komitmen, dedikasi, kesetiaan dan kegigihan seratus peratus kakitangan syarikat yang dimilikinya.

Saya juga pernah bertemu beliau yang lebih mesra dipanggil Kak Sham. Memang beliau seorang yang mesra, mudah tersenyum dan mempunyai semangat kerja yang sangat tinggi.

No comments:

Post a Comment