Wednesday, October 22, 2008

16 jam sehari untuk jadi kontraktor

Syarikat pembinaan Usima Sdn. Bhd. (Usima) terus bertahan dan bertambah besar sejak kemelesetan ekonomi 1997.

Mohd. Yusof Ismail, 44, peneraju syarikat pembinaan ini berkata banyak nilai yang menyumbang kepada kejayaan syarikatnya. Antaranya ialah fokus, disiplin, kerja keras, sanggup belajar, perancangan teliti dan tidak lupa untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Projek besar Usima ialah pembinaan kem tentera di Tok Jalai, Jitra dan bekalan paip air di Kuala Muda yang berjumlah RM180 juta.

Mohd Yusof bermula dengan membuat kerja-kerja kontrak ataupun istilah yang lebih mudah ialah subkontraktor kepada kontraktor utama. Pengalaman menjadi subkontraktor ini menjadikan beliau dapat belajar banyak pengalaman di samping menimba pendedahan selok-belok bidang kontraktor ini.

Cabaran sebagai subkontraktor ialah terpaksa menerima hanya 40 peratus daripada nilai kontrak dan menanggung 100 peratus kerja. Sebarang kesilapan akan mengundang padah. Sebab itulah fokus adalah inti pati kepada kejayaan syarikat beliau.

Beliau bekerja 16 jam sehari bagi mempastikan semua kerja dilaksanakan dengan lancar. Jika perlu turun ke tapak pembinaan, beliau akan turun supaya dapat mengenal pasti sebarang masalah yang dihadapi seperti pekerja yang tidak dapat datang kerja, masalah jentera ataupun kelewatan bahan binaan.

Tidak hairanlah beliau dapat tahu dari awal hingga akhir berkaitan kerja-kerja pembinaan ini.

Bapa Mohd Yusuf hanyalah seorang petani dan beliau tidak dapat belajar ke universiti kerana kesempitan hidup. Tetapi keadaan ini tidak menghalang sifat gigih beliau untuk berjaya dalam bisnes.

Memulakan diri dalam perniagaan pemasangan kabel telekomunikasi, bisnes ini tidak bertahan lama kerana ketiadaan kontrak untuk dilaksanakan. Selepas itu beliau berniaga pakaian dari negara jiran. Bisnes ini terpaksa ditutup kerana pelanggan tidak membayar hutang. Kemudian dia berniaga ikan di pekan sehari.

Kata orang, peluang mesti dicari. Selepas berhempas pulas dengan macam-macam masalah dan cabaran, sambil berniaga ikan beliau memberanikan diri mendaftarkan syarikat kontraktor kelas A.

Beliau mempunyai falsafah ingin belajar dan sangat mengagumi semangat kerja orang-orang Jepun. Dengan konsep itulah, beliau akan berada di tapak projek untuk memastikan kesemuanya berjalan lancar pada awal-awal pagi lagi.

Yusof percaya jika kita banyak memberi kepada mereka yang memerlukannya, syarikat akan terus bertahan. Beliau mengambil contoh pengeluar kasut Bata dan minuman terkenal Milo yang kekal lama sehingga sekarang dan menjadi pilihan ramai kerana dapat menyumbangkan kembali keuntungan syarikat kepada masyarakat melalui tanggungjawab sosial yang mereka lakukan.

Mesejnya ialah kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya terletak pada keuntungan semata-mata tetapi juga kepada sejauh mana ia mampu menyumbang kembali kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment