Thursday, October 30, 2008

Pupuk kemahiran mendengar untuk membaca

Kebanyakan orang beranggapan bahawa kanak-kanak belajar dengan mata mereka. Hakikat sebenarnya ialah membaca dipelajari melalui pendengaran atau menggunakan telinga. Ibu bapa dapat membina asas kukuh kemahiran membaca dengan bercakap kepada anak-anak, membacakan buku dan menggunakan aktiviti berbentuk mendengar.

Guru di sekolah juga boleh meningkatkan kemahiran membaca pelajar dengan membentuk kemahiran mendengar yang betul melalui aktiviti ejaan.

Lebih banyak buku yang dibaca, perbendaharaan kata dan kosa kata kanak-kanak turut bertambah. Ia juga membantu kanak-kanak mengenal pasti lebih banyak perkataan apabila mereka membaca buku demi buku.

Contohnya, jika kita memperkenalkan perkataan harimau atau kangkung, kanak-kanak tidak ada masalah untuk menyebut perkataan masyarakat atau buah limau. Jadi, kerja sekolah yang diberikan oleh guru tidak menjadi masalah untuk diselesaikan.

Belajar untuk membaca bererti membaca untuk belajar. Jika sejak awal kanak-kanak didedahkan dengan kemahiran membaca, mereka tidak ada masalah untuk berkembang menjadi seorang pelajar yang pintar di sekolah.

Bagi pasangan yang baru bergelar ibu dan bapa, memperkenalkan kemahiran membaca kepada anak-anak bermula sebaik sahaja mereka lahir. Umur sehari hingga 3 tahun, kanak-kanak mendengar beribu-ribu perkataan sambil mula belajar bercakap.

Umur 3 hingga 4 tahun adalah peringkat kritikal bagi perkembangan perbendaharaan bahasa kerana kemahuan untuk mereka bercakap tidak pernah berhenti. Sedikit demi sedikit kanak-kanak belajar mencantumkan bunyi huruf dan menyimpannya dalam kotak fikiran. Pengukuhan membaca membolehkan mereka mula membaca perkataan dan ayat yang mudah.

Ada sesetengah ibu bapa yang prihatin dengan perkembangan bahasa dan kemahiran membaca anak-anak berasa bimbang kerana anak-anak masih belum boleh membaca walaupun telah meningkat usia lima atau enam tahun. Lalu beranggapan anak itu malas.

Anggapan dan telahan begini sebenarnya salah kerana kanak-kanak yang tidak dapat membaca mempunyai masalah dengan pendengaran mereka. Antara tanda-tanda berkenaan ialah:

1. Tidak membunyikan huruf, perkataan atau ayat walaupun telah diberitahu.
2. Tidak menyebut bunyi huruf kerana tidak berupaya mendengar dengan sempurna.
3. Tidak dapat mencantumkan huruf bagi membentuk bunyi, lebih-lebih lagi bagi perkataan yang baru.
4. Daya ingatan yang lemah seperti tidak mampu ingat huruf yang telah disebut sebelum itu.

Ciri-ciri ini merupakan kelaziman bagi kanak-kanak yang berusaha untuk membaca. Ia bukanlah ‘malas’ sebaliknya terdapat kekurangan dalam deria pendengaran mereka. Bantuan ibu bapa dan penjaga bagi memulihkan keadaan ini sangat diharapkan walaupun terpaksa mengorbankan wang ringgit.

No comments:

Post a Comment