Pencalonan jawatan-jawatan penting dalam UMNO telah bermula. Kehadiran calon-calon yang berentap untuk memenangi setiap jawatan menjai perhatian ramai, khususnya pemerhati politik, peniaga, pertubuhan bukan kerajaan dan juga masyarakat kampung.
Utusan Online dan Berita Harian Online sentiasa mengemas kini kedudukan calon dan jumlah pencalonan yang diterima.
Keengganan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan jawatan merupakan laluan mudah kepada timbalannya. Pada masa yang sama ia memberi nafas baru kepada pemimpin-pemimpin yang berbakat di dalam pertubuhan itu. Ahli yang bercita-cita tinggi tidak akan melepaskan peluang seperti ini dan akan cuba mencari pengaruh menonjolkan diri supaya dapat menjadi calon pilihan.
UMNO sebagai sebuah parti yang ditubuhkan sejak 1946 sedang mengalami kemerosotan sokongan. Istilah meremajakan UMNO yang dilaungkan oleh calon-calon yang bertanding dilihat meliputi makna yang luas. Ketika usia UMNO menjangkau 62 tahun, proses meremajakan UMNO adalah sesuatu yang sukar dan terlalu banyak cabaran.
Dalam sejarah parti-parti politik dunia, tidak ada parti yang mampu bertahan apabila mencapai usia 75 tahun, jadi apakah UMNO masih ada kira-kira 15 tahun lagi untuk menjadi pentadbir yang berkuasa di Malaysia? Yang dapat dilihat ialah kemerosotan pengaruh mula menuntuni UMNO dan mereka harus bersedia dengan penolakan daripada masyarakat Melayu.
Kekalahan UMNO dan Barisan Nasional di lima buah negeri dalam pilihan raya yang lalu adalah petanda awal gergasi politik itu akan tumbang jika tidak ada usaha yang konkrit dilaksanakan. Keberanian pengundi yang keluar daripada lingkaran fikiran dan tahyul 'hanya BN yang mampu berkuasa' adalah manifestasi jelas bahawa pengetahuan dan persepsi mereka telah berubah. Keberanian membuat perubahan berada di mana-mana.
Apakah UMNO boleh dibanggakan?
Pencapaian 50 tahun negara selepas merdeka adalah kebanggaan rakyat Malaysia. Dari sebuah negara pertanian yang miskin, kadar kemiskinan yang tinggi, polarisasi kaum yang bertaburan dan perbendaraan yang tidak seimbang, Malaysia berkembang menjadi negara kuasa perdagangan ke-19 terbesar di dunia. Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh BN telah membantu melonjakkan pencapaian negara sehingga kini.
Bagaimanapun pencapaian berkenaan boleh ditingkatkan lagi dengan banyak cara. Antaranya ialah mengurangkan sama sekali kadar rasuah, memakmurkan ekonomi negara melalui pengurusan yang berhemah, pegawai-pegawai kerajaan yang amanah, ketua jabatan yang tidak boros dan membazir, pemimpin yang bertanggungjawab dan melaksanakan dasar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan tidak zalim.
Pencapaian UMNO dan parti komponen BN yang lain telah menjadi sejarah bagi generasi Malaysia pada hari ini. Kemenangan PKR-PAS-DAP di lima buah negeri menjadi permulaan kepada persaingan untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih, telus dan bertanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat. Kemenangan mereka sedikit sebanyak telah melemahkan pengaruh UMNO dan BN khususnya di Selangor yang mana setiap peringkat di dalam masyarakat sebelum ini dibayangi oleh UMNO.
Sebagai contoh, jika sebelum ini terdapat perbalahan tentang aktiviti-aktiviti surau kerana penceramah yang tidak sehaluan dengan pengerusi surau, namun kini keadaannya telah berubah. Jika ada surau atau masjid yang bermasalah, kerajaan negeri yang baru akan melakukan proses intervensi membetulkan keadaan supaya yang mendapat manfaat adalah anak-anak kariah bukannya seorang dua pengerusi atau ahli jawatankuasa surau.
Begitu juga terdapat rungutan daripada pihak wanita yang digertak supaya tidak melibatkan diri dalam kerja-kerja sosial dan aktiviti kemasyarakatan jika dianjurkan oleh penduduk setempat kerana dikhuatiri akan menguatkan pengaruh pembangkang. Suasana begini tentulah akan menimbulkan suasana tidak mesra dan merenggangkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat.
Di bawah pentadbiran negeri yang baru, keadaan demikian semakin berkurangan setelah UMNO tidak lagi berkuasa.
Bagaimana maklumat begini boleh diketahui?
Jawapannnya ialah rumah terbuka hari raya. Di sinilah rakyat bertukar-tukar pandangan dan bercerita mengenai perubahan kerajaan pimpinan BN dan Pakatan Rakyat. Terdapat suasana bahagia apabila anak-anak kariah surau dan masjid dibenarkan menjemput penceramah agama yang dulunya digam. Surau sedikit demi sedikit kembali aktif dengan ceramah dan kegiatan mengimarahkan masjid yang jarang kelihatan sebelum ini.
Di mana-mana sahaja ada rumah terbuka yang melibatkan perkumpulan orang ramai, mereka akan bertukar-tukar pandangan dan membandingkan pentadbiran dulu dan sekarang. Dari satu segi terdapat sifat terbuka dalam berfikir di kalangan orang Melayu pada hari ini. Mereka lebih yakin dan optimis dengan masa hadapan. Mereka tidak lagi berasa cuak atau takut bersaing dengan orang lain dan yang sangat menarik ialah keupayaan mereka untuk menjadi orang-orang yang berjaya seperti yang disebutkan di dalam al-quran.
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya,
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia,
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu),
Dan mereka yang menjaga kemaluannya,
Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela, Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas,
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya,
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya,
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi (syurga).
(Surah al-Mukminun: 1-10)
No comments:
Post a Comment