Thursday, October 30, 2008

Pastikan komposisi Melayu dalam projek hartanah

Sejauh mana pembangunan perumahan di negara ini menguntungkan bumiputera yang merupakan penduduk asal dan majoriti negara ini?

Adakah syarat sekurang-kurangnya 30 peratus dalam penjualan hartanah kediaman benar-benar dipatuhi pada ketika sebahagian besar daripadanya boleh dijual kepada orang lain termasuklah warga asing?

Hal berkaitan pemilikan hartanah dan kediaman ini mesti diberi perhatian bagi mengelakkan ketidakseimbangan komposisi kaum antara bandar dan luar bandar.

Kita tidak mahu kawasan bandar terus dimonopoli oleh kaum tertentu manakala imej kawasan luar bandar pula akan terus dikaitkan sebagai kubu kuat penempatan masyarakat Melayu yang juga sedang menanti dibaham oleh pembangunan.

Apa yang dikhuatiri, ia akan melebarkan lagi jurang interaksi antara kaum yang tentunya tidak sihat untuk perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Oleh itu, setiap kerajaan negeri serta seluruh Pihak Berkuasa Tempatan perlu konsisten dalam mengekalkan tanah-tanah milik Melayu sedia ada sekalipun kawasan-kawasan tersebut dibangunkan.

Mengapa syarat 30 peratus tidak ditingkatkan menjadi 67 peratus selari dengan komposisi sebenar bumiputera pada ketika ramai orang Melayu kini dikatakan semakin stabil kedudukan ekonominya sehingga membawa kepada proses liberalisasi bagi menggantikan unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB)?

Pembangunan hartanah dan pembukaan bandar-bandar baru moden seluruh negara usah meminggirkan kedudukan pemilikan bumiputera. Agenda menyusun semula masyarakat tidak seharusnya hanya tertumpu di luar bandar sebaliknya fokus tersebut perlu turut dihalakan ke kawasan bandar.

Tindakan pemaju yang mendirikan begitu banyak rumah kediaman kos tinggi yang harganya begitu mahal ibarat racun kepada peratusan pegangan hartanah kediaman orang Melayu pada masa depan.

Ironinya, boleh dikatakan setiap pembangunan kawasan perumahan baru sebenarnya adalah di atas tanah yang asalnya dimiliki oleh orang Melayu.

Di Kuala Lumpur misalnya, kawasan- kawasan yang asalnya merupakan kampung tradisi Melayu semakin menyusut diratakan oleh projek pembangunan yang gagal menjamin hak milik bumiputera dikekalkan sama seperti sebelum dimajukan apatah lagi ditingkatkan.

Atas dasar pengambilan atau penukaran status tanah, maka banyak bidang tanah termasuklah tanah rizab Melayu akhirnya bukan lagi milik orang Melayu.

Menyedari hakikat pentingnya pemilikan hartanah bagi menjamin kelangsungan politik, ekonomi dan sosial bumiputera pada masa depan, suatu mekanisme bagi memastikan tanah yang sedia ada terus kekal milik Melayu mestilah dilaksanakan segera. Pendek kata, hidup mati orang Melayu kelak bergantung kepada pemilikan hartanah.

Dalam masa yang sama, orang Melayu juga harus ditarik untuk sama-sama berebut memiliki hartanah kediaman atau komersial di kawasan-kawasan bandar baru bagi mengelak 'suburnya' fenomena dominasi kaum tertentu di bandar-bandar seluruh negara.

MOHD. ARIF ATAN
Cheras, Kuala Lumpur.


[Utusan Online, 30/10/2008]

No comments:

Post a Comment