Tuesday, October 28, 2008

Pelajar perempuan tendang guru disingkir

Seorang pelajar perempuan yang bertindak ganas dengan menendang seorang guru wanita di Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis dekat sini baru-baru ini disingkir daripada sekolah itu berkuatkuasa hari ini.

Pengarah Pelajaran Perlis Mansor Lat ketika dihubungi Bernama hari ini berkata keputusan menyingkirkan pelajar tingkatan dua itu diputuskan Jawatankuasa Disiplin sekoleh itu namun beliau tidak menyatakan bila keputusan itu dibuat.

Sebelum ini, pelajar berusia 14 tahun itu yang menendang guru sivik, Azhana Ibrahim, 27, di dalam bilik darjah sekolah itu pada 16 Okt lalu telah digantung persekolahannya selama seminggu untuk siasatan.

Bagaimanapun setelah siasatan selesai, jawatankuasa itu memutuskan pelajar itu disingkir daripada sekolah yang sebahagian besar pelajarnya berketurunan Cina.

Bagaimanapun, Mansor berkata pelajar itu tetap diberi peluang mengemukakan rayuan kepada Jabatan Pelajaran Perlis untuk membolehkannya dipertimbangkan menyambung persekolahan di sekolah-sekolah lain.

Pelajar itu dilaporkan bertindak ganas setelah guru itu meminta penjelasan daripadanya mengenai tulisan “gila babi” yang ditulis dalam satu tugasan yang diarahkan guru itu.

Mengenai kes pergaduhan sekumpulan 16 pelajar sekolah yang sama pada 20 Okt lalu, beliau berkata empat daripada mereka yang terbabit telah dikenakan hukuman disingkir daripada sekolah berkuatkuasa hari ini manakala selebihnya digantung persekolahan serta diberi surat amaran keras.

Pergaduhan itu dikatakan berpunca daripada salah faham sebelum berlaku pergaduhan yang terpaksa dileraikan dengan kehadiran anggota-anggota polis.

Mansor berkata tindakan ini merupakan satu tindakan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan berharap ia menjadi satu pengajaran terhadap pelajar-pelajar ini.

Sementara itu, pada 31 Okt ini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra akan berangkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis bagi merasmikan Kelab Rukun Negara yang diwujudkan untuk menyatupadukan serta mengharmonikan para pelajar berbilang bangsa di sekolah itu.

“Saya harap kelab itu akan dapat mengawal insiden seperti itu daripada berulang lagi dan segala tindakan yang diambil sebelum ini diharap mampu memberi pengajaran kepada para pelajar lain,” kata Mansor.

[BERNAMA, 28/10/2008]
Post a Comment