Tuesday, October 07, 2008

Pemandu bas ekspres kurang utamakan solat

Perjalanan pulang ke kampung halaman sempena hari raya merupakan pengalaman yang paling manis setiap tahun. Susana meriah, riang dan gembira ketika menyambut pagi syawal tidak akan dapat dilupakan oleh sesiapa sahaja yang benar-benar menghayati puasa sebulan Ramadhan.

Bagi yang berkeluarga, bercuti untuk pulang beraya di kampung akan menjadi detik terpenting untuk diuruskan. Perjalanan jauh sebaik-baiknya dimulakan dengan menempah tiket bas yang sememangnya menjadi rebutan setiap kali musim perayaan ini. Mendapat tiket pada tarikh yang dikehendaki merupakan satu peluang yang sangat berharga walaupun terpaksa berebut di kaunter.

Terdapat banyak perkhidmatan bas ekspres yang memberi perkhidmatan. Di musim perayaan, pengguna tidak begitu memilih jenis bas yang disediakan asalkan selesa dan sampai ke rumah. Di pihak penyedia perkhidmatan, mereka tentunya akan memberi khidmat yang terbaik supaya bas mereka sentiasa menjadi pilihan.

Dari aspek kebersihan, keselesaan, ketepatan dan mesra, setiap syarikat bas ekspres berbeza-beza. Ada yang menyediakan bas yang sangat moden, canggih dan selesa. Penghawa dinginnya sejuk, tempat duduk yang luas dan ruang kaki yang lebih panjang namun pemandunya kurang mesra. Ada yang mesra tetapi bas yang disediakan tidak menepati ciri-ciri keselesaan yang dikehendaki. Ada yang selesa, menarik dan mesra namun datang lambat walaupun waktu bertolak telah tertera pada tiket.

Perkhidmatan bas ekpres di Malaysia masih boleh dibaiki perkhidmatannya kerana nilai dan sikap penyedia perkhidmatan yang belum lagi berfikir secara profesional. Di Jepun umpamanya, perkhidmatan yang disediakan sangat berpatutan dengan harga yang dibayar dan pengguna jarang merungut. Ini terjadi kerana pemandu bas dan penyelia bas berfikir dan bertindak secara profesional selaras dengan nilai-nilai di dalam diri mereka.

Apabila bas telah mula bergerak dan penumpang mulai menikmati pengalaman perjalanan mereka, isu yang mula menimbulkan keresahan ialah tempoh masa berhenti yang pendek iaitu 20 hingga 30 minit. Ketika musim perayaan, biasanya tempat rehat utama dipenuhi dengan ramai pengunjung yang mahu makan, berehat dan solat. Ada kalanya ia mengambil masa juga untuk mendapat satu pinggan nasi kerana terpaksa beratur panjang. Di surau keadaan yang sama turut berlaku.

Kadangkala penumpang hanya sempat makan tanpa menunaikan solat khususnya zohor dan asar. Di sinilah kita dapat melihat nilai dan pegangan yang ada pada pemandu bas ekspres. Jika pemandu itu seorang yang faham keutamaan menunaikan solat, dia akan sensitif dengan waktu solat. Dua pilihan yang ada, pertama ialah mempercepatkan perjalanan supaya masih ada waktu untuk solat, dan kedua memberhentikan bas di tengah jalan bagi penumpang menunaikan solat.

Umumnya kedua-dua pilihan berkenaan jarang dibuat sebaliknya pemandu lebih suka meneruskan perjalanan tanpa mengira kepentingan penumpang.

Sepanjang pemerhatian dan pengalaman penyelidik, pemandu bas ke utara lebih kerap tidak sensitif dengan waktu solat dan keutamaan solat. Mereka suka buat kerja sendiri tanpa berfikir bahawa penumpang turut menilai perkhidmatan mereka untuk berhenti solat. Berbeza dengan pemandu bas ke pantai timur. Mereka lebih mementingkan solat dan tidak mengapa untuk memberhentikan bas bagi jangka waktu yang lebih panjang sedikit asalkan penumpang dapat menunaikan solat jama’ mereka.

Dibandingkan kedua-dua jenis pemandu ini, perkhidmatan bas ekspres ke utara seperti Kedah dan Perlis wajar melihat kepentingan solat dalam urusan kerja mereka. Kesannya sangat besar kepada pengguna kerana solat itu merupakan amalan yang sangat diutamakan bagi seorang muslim. Perkhidmatan bas ekspres yang tidak melihat perkara ini sebagai penting akan hilang pengguna mereka yang setia dan sentiasa memberikan sokongan.

Tanpa mengira bas ekspres itu selesa atau tidak, solat mesti diberi keutamaan oleh pemandu bas.

1 comment:

  1. Tq 4 ur comment. Akan diupdate di http://www.tintapemandu.blogspot.com

    ReplyDelete