Tuesday, October 21, 2008

Tingkah laku devian di kalangan pelajar sekolah: tinjauan literatur ringkas

Kes yang melibatkan pelajar perempuan memukul dan menendang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis menunjukkan persepsi pelajar terhadap guru telah berubah. Aksi seorang pelajar sekolah itu yang memukul dan menendang guru telah dirakam dan disiarkan di media.

SMK Perlis juga menimbulkan kemarahan umat Islam apabila membenarkan lapan pelajar Islam mengambil bahagian dalam perarakan Tokong Sayur pada 7 Oktober lalu sebagai sebahagian ahli pancaragam sekolah. Kejadian ini menjadi peristiwa pahit bagi pengetua sekolah, Chuah Cheng Hooi apabila terpaksa memohon maaf kepada banyak pihak termasuk Jabatan Pelajaran Negeri Perlis di samping bantahan keras daripada mufti kerajaan negeri.

Moto sekolah ini ialah Pendidikan Ke Arah Kecemerlangan iaitu hasrat warga sekolah bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kemanusiaan. Namun, kes yang berlaku di SMK Perlis ini adalah di luar batasan hubungan guru – pelajar kerana pelajar telah menunjukkan tingkah laku ganas dan menyimpang sama sekali dari norma-norma sebagai pelajar.

Artikel ini akan menghuraikan kenapa dan bagaimana pelajar boleh berubah dan bertindak ganas di sekolah. Beberapa artikel berkaitan telah dijadikan rujukan yang merangkumi delikuensi remaja, kawalan kelas, hubungan kekeluargaan dan pengaruh media.

Warren Bennis (1989), perintis dalam organisasi dinamik telah memberi takrifan mengenai organisasi atau kumpulan secara umum. Bagi beliau, organisasi adalah satu sistem sosial di mana ahli-ahlinya mempunyai norma, nilai, kepercayaan yang dikongsi dan paradigma 'apa yang betul dan salah, apa yang sah dan batal dan bagaimana setiap perkara dilakukan.' Bennis memberi takrifan ini dari sudut kepimpinan.

Dalam konteks sekolah, pelajar dan guru mempunyai nilai dan moral yan tertentu sebagai garis panduan. Sebaik sahaja seorang pelajar mendaftarkan diri dan ditempatkan dalam kelas serta mengikuti sukatan kurikulum yang ditetapkan, pihak pentadbiran sekolah hanya mempunyai sedikit kawalan ke atas apa yang berlaku di dalam kelas kerana hampir keseluruhan tanggungjawab terletak di atas bahu guru (Stevenson, 1991).

Guru lebih memahami apa yang berlaku di dalam kelas berbanding pihak pentadbiran sekolah. Prestasi pelajar, tingkah laku dan perkembangan pelajar keseluruhannya berada dalam pengetahuan dan penilaian guru. Pengurusan kelas yang berkesan membantu guru memantau perjalanan kelas secara berterusan, memberi input kepada pelajar tentang pengharapan sekolah ke atas mereka, menerapkan sifat akauntabiliti pelajar terhadap kerja dan tugasan yang diberi dan memacu pencapaian akademik.


Dapatan literatur Stevenson (1991) mencatatkan beberapa penemuan berkaitan tingkah laku devian pelajar. Antaranya beliau memetik Doyle (1979) yang berpendapat tingkah laku berkenaan khususnya pada awal sesi persekolahan sekolah adalah untuk menguji keupayaan pengurusan guru bagi mencapai agenda peribadi tertentu. Manakala dapatan oleh Doyle dan Carter (1984) menunjukkan pelajar cuba memperlahankan kehendak-kehendak dalam garis panduan kelas mereka. McDermott (1976) berpendapat pelajar hendakkan perhatian guru mereka.

Dalam artikel 'Deviant students as a collective resource in classroom control,' Stevenson menyatakan pelajar dengan tingkah laku devian adalah sumber penting untuk membantu pengawalan kelas berbanding menganggap pelajar berkenaan sebagai masalah utama kepada guru. Baginya, pelajar demikian adalah produk pengurusan sosial di dalam kelas, bukannya produk daripada pengurusan kelas yang lemah. Pengurusan sosial di dalam kelas dan pengurusan kelas adalah dua perkara yang berbeza.

Tingkah laku devian yang semakin tidak terkawal adalah satu jangkaan hanya di peringkat individu (Boehnke dan Winkels, 2002). Hubungan keluarga dan kehidupan bermasyarakat dapat menghalang remaja daripada terlibat dalam aktiviti membuang masa dan membina tingkah laku devian mereka.

Kedua-duanya melihat turun naik kes-kes jenayah dan tingkah laku yang menyimpang dari norma masyarakat lebih banyak disebabkan oleh perubahan yang berlaku di dalam politik dan ekonomi masyarakat. Delikuensi juvana yang sering menimbulkan konflik di antara orang dewasa dan remaja adalah merujuk kepada merokok di bawah umur, minum arak dan memandu tanpa lesen dikatakan sering menjadi simbol kepada remaja untuk mempamerkan kedewasaan.

Sebagai contoh, Eisenstadt (1956) dan Mead (1970) berkata memakai simbol Nazi di kawasan sekolah boleh ditakrif sebagai tingkah laku yang tidak dapat diterima oleh guru malah sebahagian besar masyarakat.

Tekanan daripada politik juga menyebabkan perubahan ke atas sosial masyarakat. Salah satu motif penyimpangan tingkah laku ialah merasai ketidakadilan. Secara tidak langsung, remaja atau golongan pelajar cuba mencari pertubuhan atau kumpulan yang dapat menerima tingkah laku mereka dan dilayan secara adil khususnya mengiktiraf perlakuan mereka.

Dari segi ekonomi, perubahan yang pantas berlaku telah melahirkan keluarga yang berada di bawah bebanan kewangan, hubungan keluarga semakin longgar, perhatian ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak semakin diabaikan dan komunikasi dengan anak-anak bertambah merosot hingga timbulnya tingkah laku devian.

Pelajar tidak bertindak sendirian apabila mengambil keputusan untuk berkelakuan ganas di sekolah sebaliknya digalakkan oleh kumpulan. Menurut Hagan (1991,1994), perubahan sosoal yang pesat membantu menambah kecenderungan pelajar terhadap aktiviti rakan sebaya yang menjurus pada tingkah laku devian yang muncul kerana persekitaran sub budaya sedia ada yang turut menghargai tingkah laku berkenaan.


Rajah 1: Konsep model hubungan di antara perubahan sosial yang pesat dan tingkah laku devian di sekolah (Boehnke, K. dan Winkels, Dagmar B. 2002). [Rujuk editor]


Dalam konteks kajian Boehnke dan Winkels (2002), tingkah laku devian di sekolah merangkumi gangguan terhadap guru, merosakkan harta benda, memukul pelajar yang lemah, menyebar gosip rakan sekelas, bergaduh, mencabar pelajar lain dan mencederakan guru.

Kesimpulan kajian tersebut ialah keibubapaan dilihat sangat penting untuk mengawal tingkah laku devian di sekolah walaupun berlaku perubahan sosial yang pantas kerana faktor politik dan ekonomi. Ibu bapa yang mempunyai kata pemutus wajar menjadi penjaga kepada tingkah laku pelajar.

Felson (1996) menyatakan bahawa dalam kebanyakan pendapat, kanak-kanak meniru aksi ganas yang mereka lihat di televisyen. Proses meniru ini diberi penekanan dalam teori pembelajaran sosial.

Walaupun pelajar-pelajar telah menjangkau umur 14 tahun tetapi pendedahan terhadap aksi di televisyen dan media elektronik yang lain bermula sejak mereka berumur 3 hingga 5 tahun. Sesetengah aksi itu telah sebati dalam jiwa mereka, jadi bergaduh dan menendang adalah sebahagian daripada cara mereka ketika membesar.

Pelajar-pelajar sekolah yang bertindak ganas ke atas guru mungkin merasakan tindakan mereka sekadar melepaskan tekanan kerana bebanan tugas yang diberikan oleh guru. Sikap guru yang sentiasa meminta tugasan dihantar dan memilih pendekatan provokasi berbanding memujuk menimbulkan dendam di dalam hati pelajar.

Jika berseorangan, pelajar akan bertindak seperti baling batu sembunyi tangan sebaliknya akan bertindak agresif jika berkumpulan.

Ketika pelajar semakin ramai dalam satu kelas, guru turut merasa beban mengajar dan kadangkala tidak dapat mengawal emosi. Dalam keadaan apa sekalipun, guru mesti dapat menahan emosi marah akibat provokasi pelajar mereka.

Tingkah laku devian berkait dengan pelbagai alasan sama ada di dalam sekolah atau di luar kawasan sekolah. Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk menguruskan kelas dengan bijaksana sementara pentadbiran sekolah menyediakan segala kemudahan yang diperlukan oleh guru.


Rujukan

Bennis, Warren. 1989. Why Leaders Can’t Lead. San Francisco, USA: Jossey-Bass Publishers.

Boehnke, K. dan Winkels, Dagmar B. 2002. "Juvenile Delinquency Under Conditions of Rapid Social Change." Sociological Forum 17: 57-79

Felson, Richard B. 1996. "Mass Media Effects on Violent Behavior." Annual Review of Sociology 22: 103-128

Slocum, Walter L. dan Stone, Carol L. 1958. "Factors Associated With Family Affection Patterns." The Coordinators 2: 21-24.

Stevenson, David L. 1991. "Deviant Students As A Collective Resource In Classroom Control." Sociology of Education 64: 127-133

No comments:

Post a Comment