Saturday, October 25, 2008

Empat perkara rosakkan badan

Hidup yang gembira adalah nikmat. Dapat makan, minum berjalan-jalan dan ketawa juga nikmat. Ada orang kata, ketika muda apa saja boleh makan, namun apabila semakin tua sudah tidak ada selera.

Ada juga yang kata, ketika muda lebih baik merantau ke mana sahaja hendak pergi, namun apabila sudah tua tidak kuat lagi hendak berjalan. Pendek kata, semua nikmat yang kita dapat dalam hidup berkumpul dalam usia muda, usia yang baru hendak kenal cabaran, melihat keindahan sekitar dan usia yang bergelora dengan semangat.

Secara fizikal, muda dikatakan aktif, kuat dan bertenaga. Semangat juga berkobar-kobar dan pantang dicabar. Ketika muda inilah kita mampu bercakap tanpa henti, berceramah ke sana-sini, bermain tanpa kenal penat dan keinginan yang berbagai-bagai.

Rasulullah saw memberitahu kita bahawa ada empat perkara yang menyebabkan badan menjadi sakit iaitu banyak bercakap, tidur berlebihan, makan yang melampau dan kerap berjumpa dengan orang ramai.

Banyak bercakap banyak masalahnya. Tersalah cakap atau tersasul akan sebabkan orang kecil hati dan marah. Mungkin juga kebenaran bertukar menjadi palsu dan sebaliknya. Kadangkala mengelirukan. Peribahasa Melayu juga mengaitkan salah cakap dengan tabiat manusia yang tidak pandai ‘jaga mulut’ iaitu kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Banyak tidur. Ini penyakit orang zaman moden kerana banyak kerja yang perlu dibuat dalam sehari menyebabkan ada yang tidur tidak tentu masa. Kekerapan tidur yang tinggi dianggap satu penyakit. Tidak kira waktu- siang, malam, pagi atau petang asyik tidur sedangkan badan tidak diberi peluang untuk berpeluh.


Memilih untuk ketiduran sepanjang masa adalah sangat merugikan kerana jangka hayat kita semakin berkurangan dan hilang nikmat hidup.

Makan berlebihan juga tidak baik untuk badan khususnya perut. Perut yang semakin membesar kerana makan bukannya tanda hidup yang sejahtera sebaliknya tanda-tanda awal banyak penyakit. Lebih-lebih lagi hari ini kita semakin malas hendak bersenam atau melibatkan diri dalam kegiatan yang memeluhkan badan.


Budaya hidup turut mempengaruhi kegagalan kita untuk membudayakan cara hidup sihat. Akhirnya ada yang terpaksa makan ubat sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis sekali gus sepanjang hidup.

Akhir sekali, kerap berjumpa dengan orang. Ini juga kadangkala menjadi tabiat. Suka berjumpa orang tidak baik untuk badan kerana tubuh badan kita juga perlukan rehat yang berpadanan.


Ada orang yang terlalu peramah sanggup tidak makan dan minum malah tidur juga tidak cukup. Ia lebih bahaya jika jumpa orang yang sebarangan kerana ada yang berpenyakit berjangkit. Virus penyakit ini disebar melalui udara atau sentuhan terbuka seperti terkena darah.

No comments:

Post a Comment