Monday, October 13, 2008

The muslims of Thailand

Penulis: Michel Gilquin (terjemahan oleh Michael Smithies)
Tahun: 2002 (edisi English 2005)
Penerbit: Silkworm Books, Chiang Mai, Thailand
Muka surat: 164

Thailand kerapkali dirujuk sebagai negara yang kuat dengan nilai-nilai Buddhisme tetapi sejak 1998, ia menjadi salah sebuah negara yang bertaraf pemerhati dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Terdapat juga pegawai-pegawai dan menteri yang beragama Islam dalam kabinet kerajaan.

Kira-kira lapan peratus penduduk Thailand beragama Islam di mana majoriti bertumpu di Pattani, Yala dan Narathiwat. Jumlah keseluruhan penduduk Islam di selatan Thailand ialah 6,297,800 orang (bancian tahun 2000). Satu soalan yang menarik ialah bagaimana Islam boleh berada di Thailand bersama-sama dengan agama Buddha?

Hari ini kelibat masyarakat Islam mula kelihatan di ibu kota Bangkok, mewarnai kehadiran mereka di Thailand.

Michel Gilquin adalah seorang ahli sosiologi yang mengkhususkan kajiannya ke atas masyarakat Islam dan menetap di Maghribi. Beliau menghuraikan dengan terperinci asal usul Islam di Siam, proses integrasi masyarakat Islam ke dalam bangsa Thai dan mengkaji kesan-kesan globalisasi dan pemodenan ke atas tradisi dan masyarakat luar bandar.

Dalam buku ini beliau menerangkan sejarah kesultanan Patani, kehadiran masyarakat Melayu di selatan Thailand dan keadaan pergolakan di bahagian itu sejak 2004.

Buku ini tidak memberi sebarang penyelesaian ke atas konflik di antara masyarakat Islam dan pentadbiran Bangkok sebaliknya hanya memberi penerangan dan latar belakang bagaimana proses integrasi kelompok minoriti berlaku. Dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kefahaman Islam, muslim di selatan Thailand dan Islam dan bangsa Thai.

Maklumat yang dibentangkan dapat memberi kefahaman kepada pembaca sedikit sebanyak tentang masyarakat Islam dan Melayu. Jika pembaca ingin mengetahui lebih lanjut mengenai dasar dan pencapaian masyarakat Islam Thailand, mereka perlu mencari buku-buku lain dalam topik berkenaan.

No comments:

Post a Comment