Sunday, October 05, 2008

Bersatulah, kenapa perlu berkelahi?

oleh Jeniri Amir

Apakah kesannya jika Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum tidak bersatu padu? Mungkinkah negara ini dapat mencapai kemerdekaan dan seterusnya kemajuan seperti dinikmati sekarang?

Bayangkan kesannya terhadap sistem politik, ekonomi dan sosial negara jika masyarakat berpecah-belah dan negara huru-hara? Mungkinkah kita dapat meraih kecemerlangan pada masa depan jika keadaan sedemikian berlaku, dan terdapat jurang besar antara kerajaan dengan rakyat?

Mengikut Wawasan 2020, salah satu cabaran utama negara ialah "membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan".

Cabaran itu memperlihatkan kesedaran kerajaan betapa pentingnya kesepaduan dalaman Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Cabaran membentuk bangsa Malaysia yang kukuh perpaduannya dianggap sebagai cabaran utama.

Untuk itu, rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu memiliki keperibadian dan rasa kekitaan yang kental. Sebenarnya, sikap tamak, tidak bertimbang rasa, tidak bersedia untuk berkorban dan bertolak ansur, dan hanya mementingkan diri dan kaum sendiri akan hanya meruntuhkan tembok perpaduan yang telah dibina untuk sekian lama. Sesungguhnya, bersatu teguh, bercerai roboh.

Sebanyak 327 kes konflik sosial di seluruh negara antara 1996 hingga 2002 berpunca daripada nilai dan sikap tersebut. Sebanyak 81 konflik ialah kes pergaduhan antara kaum, 76 ialah konflik politik, 65 konflik agama, dan 36 kes keselamatan. Konflik seperti ini merupakan musuh utama keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.

Perpaduan ialah satu bentuk penyatuan penduduk pelbagai kaum daripada pelbagai kawasan dan wilayah, dengan pelbagai kepercayaan, budaya, dan nilai di bawah satu bentuk identiti nasional yang mencerminkan wajah, dengan aspirasi yang sama untuk mencapai matlamat memajukan negara.


Malaysia yang memiliki perpaduan ialah negara yang rakyatnya mengamalkan budaya hidup ingin bersatu dalam semua bidang, tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya demi keharmonian dan kemakmuran bersama di mana-mana pun mereka berada, sama ada di Semenanjung Malaysia atau di Sabah dan Sarawak.

Mereka berjalan seiring dan sejalan, ke bukit sama didaki, dan ke lurah sama dituruni. Mereka meletakkan kepentingan masyarakat dan negara di atas kepentingan diri dan kaum masing-masing, dengan falsafah bahawa di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Mereka tidak harus bimbang kerana hak masing-masing sentiasa terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa curiga dan sangsi.

Meskipun bermula dengan sejarah dasar pecah dan perintah pada zaman penjajahan untuk sekian lama, rakyat pelbagai kaum di negara ini telah menerima hakikat bahawa mereka berkongsi wilayah, ekonomi, tanah air, dan masa depan bersama.

Perpaduan dari segi wilayah, kaum, ekonomi, budaya, sosial, pendidikan, sukan dan seumpamanya menjadi mangkin yang akan menggerakkan negara ini ke hadapan. Kecemerlangan negara pada masa depan bergantung pada sejauh mana kita dapat mengekalkan dan mengukuhkan perpaduan.

Perasaan kekitaan akan mengikat jiwa dan minda rakyat sehingga mempunyai daya ketahanan yang tinggi, dan akhirnya sukar digugat oleh ancaman dalaman dan luaran. Kejayaan pelbagai dasar, terutama dasar politik, pendidikan, ekonomi, kebudayaan, dan sosial telah memungkinkan pelbagai kaum beransur-ansur mengakui bahawa mereka mempunyai identiti sepunya, dan nama kolektif sebagai rakyat Malaysia.

Dari segi politik, sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman hinggalah era pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sistem perkongsian kuasa dan pemerintahan secara permuafakatan di bawah Barisan Nasional sentiasa menjadi pegangan.

Kita perlu menerima hakikat bahawa perpaduan antara kerajaan dan rakyat juga penting bagi menentukan segala dasar dan rancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Perpecahan dan jurang antara kerajaan dan rakyat hanya akan menimbulkan banyak masalah dan hambatan yang tidak menguntungkan.

Dalam membangunkan dan memakmurkan negara, rakyat pelbagai kaum, tanpa mengira fahaman hendaklah berdiri di belakang kerajaan. Sokongan padu daripada rakyat terhadap kerajaan juga akan dapat menjamin bahawa segala ancaman dari luar dan dalam dapat ditangkis.

Lagipun, jika konflik tercetus antara kerajaan dan rakyat, banyak masa akan dibuang untuk menangani dan menyelesaikan konflik itu.

Justeru, rakyat perlu patuh dan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan. Kejayaan negara bergantung pada kesepakatan dan perpaduan tersebut. Singkatnya, antara individu dengan individu, kelompok dengan kelompok, kaum dengan kaum, dan rakyat dengan kerajaan, perlu wujud perpaduan dan kerjasama padu.

Negara yang tanpa perpaduan akan mendedahkan dirinya kepada pelbagai kelemahan. Kelemahan itu akan mengakibatkan kedaulatannya terancam kerana tidak berupaya menghindarkan pencerobohan dan gugatan dalaman dan luaran.

Perpaduan jitu akan menjadi tunjang ketahanan bangsa dan kemajuan negara. Perkembangan ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya akan terbantut jika tidak terdapat perpaduan atau jika negara kita dalam keadaan huru-hara.

Dalam pada itu, pelabur asing manakah yang akan mempunyai keyakinan untuk melabur di sebuah negara yang kacau-bilau? Itulah sebabnya melalui teras kedua Misi Nasionalnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berusaha untuk 'menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif'.

Semangat esprit de corps, bersedia untuk bertolak ansur, bekerjasama dan bermuafakat akan menentukan masa depan negara. Bangsa dan negara bangsa bukan sahaja terbentuk dan terbina melalui perjalanan sejarah, tetapi ditentukan oleh bangsa itu sendiri.

Kita tidak mempunyai negara lain untuk berlindung dan mencari rezeki. Malaysia ialah tanah air kita, tempat kita hidup dan mati. Jadi, mengapakah kita harus berkelahi dan bermusuh-musuhan sesama sendiri?

[Utusan Online, 4/10/2008]

No comments:

Post a Comment