Sunday, October 26, 2008

Aimi Samihah catat sejarah

oleh Zaharah Othman

Penuntut Imperial College penerima pertama Anugerah Lonza

Pelajar tajaan Petronas, Aimi Samihah Azuhan, 24, mencatat sejarah apabila bukan saja menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia kelas pertama, malah muncul penerima pertama Anugerah Lonza dari Imperial College di sini.

Aimi Samihah, menerima Anugerah Lonza, iaitu daripada syarikat farmasi terkenal dunia yang berpangkalan di Switzerland, berikutan prestasi cemerlang dalam projek tahun akhir yang diketuainya mengenai ibuprofen, pada majlis konvokesyen institusi pengajian tinggi terkemuka itu di Dewan Royal Albert di sini, Rabu lalu.

Ketika tahun kedua pengajian selama empat tahun di sini, Aimi Samihah menerima Hadiah British Petroleum (BP) kerana keputusan cemerlang dalam kejuruteraan kimia.


"Aimi Samihah menunjukkan prestasi mengagumkan dan kami sangat bangga apabila beliau menjadi penerima pertama anugerah ini," kata Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia Imperial College, Profesor Andrew Livingston.

Detik bersejarah Aimi Samihah menerima ijazah kelas pertama dan anugerah itu turut disaksikan anggota keluarganya dari Malaysia, iaaitu, ibu bapanya, Azuhan Mohamed, 50, dan Salmiah Salleh, 46, serta adik lelakinya Adilin Syahmi, 14. Turut hadir datuk dan neneknya, Salleh Ali, 72, dan Mariam Yusof, 69.

Ketika ditemui, Aimi Samihah berbangga sebagai anak Melayu dan mendapat tajaan Petronas, menerima ijazah kelas pertama dan menerima anugerah berprestij itu.


"Saya sangat terhutang budi kepada ibu saya yang sentiasa menjadi pendorong, manakala ayah adalah sumber ilham kerana dia juga seorang jurutera," katanya.

Azuhan pula berkata, anaknya mempunyai sikap tidak akan berpuas hati selagi tidak mendapat A atau markah 100 peratus yang menyebabkannya bekerja keras untuk mencapai keputusan terbaik dalam pengajian.

"Ketika saya mengikuti pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Birmingham, Aimi Samihah bersekolah di sana dan pernah mendapat anugerah saintis muda," katanya.

Beliau juga memuji Petronas kerana memberi sokongan dan bimbingan kepada pemegang biasiswa yang belajar di sini.


"Sebagai bapa, saya tidak bimbang melepaskan anak saya belajar di luar negara. Tempat tinggal selesa dan pembiayaan Petronas membolehkan pelajar menumpu perhatian terhadap pengajian," katanya.

[Berita Harian Online, 26/10/2008]

No comments:

Post a Comment