“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman,’ sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al-Ankabut:2-3)
Hidup kita sentiasa diuji. Setiap masa. Di mana-mana saja selagi masih bernyawa. Di dalam rumah, pejabat, jalan raya atau ketika bermain bola sepak. Seorang diri atau ramai. Berpangkat atau hanya berjawatan pembantu am rendah. Ya, ujian dan cubaan yang menyakitkan.
Ketika resah hati menjadi gelisah, fikiran gundah dan badan menjadi lemah. Tidak ada semangat untuk bekerja, semua serba tidak kena.
Dalam ayat ini Allah swt menyebut bahawa Dia tidak akan membiarkan kita bersenang-senang dengan menyatakan ‘aku orang beriman’ tanpa diberi ujian.
Tanda iman tidak terletak semata-mata pada pakaian, kopiah atau manisnya bahasa. Tidak juga pada kepetahan bercakap atau berdiam diri sahaja.
Iman terletak pada kejayaan setelah diuji dan dicuba dengan pelbagai perkara, dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya sesuai dengan tahap seseorang. Orang yang tinggi ilmunya akan diuji dengan lebih hebat dan berat.
Allah swt menguji kita supaya ada perbezaan mana satu yang benar dan mana satu yang salah. Setiap kali Allah swt memberi ujian sama ada berat atau ringan, tentu akan terasa sakit. Kesannya boleh jadi terbuku pada emosi atau fizikal. Ia boleh jadi salah satu daripadanya ataupun kedua-duanya sekali.
Para nabi dan rasul diuji kedua-duanya sekali khususnya yang digelar ‘ulul azmi’ dan mereka tetap bersabar.
Begitu juga dengan kita, orang biasa. Setiap kali diuji, Allah swt akan menumpahkan sifat sabar ke dalam hati. Sabar adalah anugerah yang sangat hebat. Dengan sabar kita dapat bertahan dan berani menghadapi cabaran, kepayahan, tekanan dan ancaman.
Kerapkali kita berhadapan dengan keadaan-keadaan genting yang perlukan kesabaran. Sebagai contoh, seorang isteri yang dimadukan. Tidak ramai isteri yang ingin berkongsi kasih dengan wanita lain. Apa yang difikirkan ialah minta cerai. Jalan lain sudah tidak nampak.
Wanita yang dimadu sedang diuji kedua-duanya sekali; emosi dan fizikal. Dari segi emosi, dia memikirkan macam-macam perkara dan merasakan suami telah curang kepadanya. Dari segi fizikal pula, barangkali selera makan semakin berkurangan dan mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan.
Namun, keadaannya berbeza bagi wanita yang berfikir tentang ujian dan rahmat Allah swt. Jika mereka benar-benar memahami kenapa Allah swt memberi taqdir begitu, tentu mereka berfikir dengan rasional dan redha menerima kenyataan.
Dalam hidup ini, kita wajar melihat kebaikan dalam semua perkara walaupun kita mengalami kesakitan dan kepayahan yang melampau. Biarpun susah, apabila kita merasai ada sesuatu yang tidak kena, itulah cara Allah swt menguatkan semangat diri, mengukuhkan keyakinan dan memperkasa azam yang membara.
No comments:
Post a Comment