“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Al-Mukmin/Ghaafir:60)
Doa adalah otak kepada ibadah yang kita lakukan. Doa juga merupakan lambang rendah diri hamba kepada Rabb yang menguasai seluruh kehidupan. Senjata orang mukmin adalah kerap berdoa dalam semua keadaan- susah, senang, gembira atau sedih.
Rasulullah saw menjelaskan betapa pentingnya doa ini dan semua permintaan akan dikabulkan Allah swt.
“Tidaklah di atas bumi ini seorang muslim berdoa kepada Allah, kecuali Allah akan memberinya tiga hal, 1) Allah akan memberinya sesuai dengan dia minta, 2) atau Allah akan menghindarkannya dari kejahatan yang setara dengan doanya, selama tidak berdoa dengan suatu dosa atau memutus silaturrahim. Seseorang bertanya, ‘Kalau kita perbayak doa?’ Rasulullah saw menjawab, “Allah lebih banyak lagi’, 3) dalam riwayat lain, Allah akan menyimpan untuknya pahala sesuai dengan doanya.” (Riwayat At-Turmuzi, hasan sahih)
Mintalah apa sahaja yang dapat meningkatkan iman dan takwa kita kepada Allah swt. Permintaan yang kerap akan merangsang semangat dan memberi motivasi yang luar biasa kepada kita. Dalam semua keadaan, ingatkan bahawa Allah swt sentiasa membantu kita lebih-lebih lagi untuk dakwah dan tarbiah.
Kecemerlangan dalam usaha mesti diiringi dengan doa. Rajin berdoa bukan sekadar untuk harta dunia sahaja malah untuk akhirat juga.
Kerap terjadi, apabila kita memohon sesuatu yang benar-benar kita berhajat, Allah tidak kabulkan permintaan kita. Contohnya seperti keinginan untuk berkahwin, mencari harta yang banyak ataupun gagal dalam temuduga. Biasanya kita akan mengeluh dan menyalahkan semua orang.
Jarang sekali kita memikirkan bahawa Allah sedang merancang yang terbaik untuk diri kita. Tidak diizinkan kita berjaya dalam sesuatu temuduga adalah kerana Dia ingin memberi rezeki dari sumber lain yang halal dan suci. Tidak dijodohkan kita dengan perempuan idaman hati kerana Dia hendakkan kehidupan berkeluarga kita dilindungi oleh suasana soleh agar anak-anak yang lahir kelak merupakan anak-anak yang taat beragama dan memuliakan ibu bapa.
Kadang-kadang kita berasa hampa kerana telah bertahun-tahun doa dipohon tetapi tidak ada sebarang petanda yang permintaan tersebut akan diterima Allah swt. Siapalah kita untuk memaksa Allah swt, Rabb yang maha kuasa untuk menurut perintah dan arahan kita. Mesti kita sedar bahawa kita hanyalah kejadian, sedang yang menguasai kehidupan adalah Allah swt.
Sekiranya ada pola pemikiran begini, sedar bahawa seluruh hidup kita telah disusun, akan hilanglah gelisah, risau dan benci kerana apa yang dimohon tidak dimakbulkan.
Ingatlah, kita hanya hamba yang sangat lemah dan perlu selalu berdoa setiap masa.
No comments:
Post a Comment