Saturday, October 18, 2008

Orang Arab cakap Kelantan

Laman web Youtube.com sangat popular. Terdapat berbagai-bagai maklumat bergambar yang boleh kita layari dan muat turun untuk disimpan. Ia juga boleh dilayari dengan pelbagai jenis bahasa.

Ada satu klip video yang dimasukkan
yang menceritakan kisah seorang pemuda Arab dari Mesir yang fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan. Namanya ialah Mohamad Abdul Aziz. Pernah datang ke Malaysia pada tahun 2003 setelah menerima tawaran mengajar di institusi pengajian tinggi.

Perkara yang menarik mengenai Aziz ialah kefasihannya bercakap Melayu dialek Kelantan. Beliau mengambil masa sepuluh tahun untuk bercakap dengan lancar dan fasih.

Minat untuk belajar bahasa Melayu bermula apabila beliau melihat ramai pelajar Melayu di sana yang sukar menguasai kitab-kitab bahasa Arab. Jadi beliau berfikir alangkah baiknya jika dapat menguasai bahasa Melayu itu dan menerangkan kitab-kitab Arab kepada mereka. Kalau tidak faham, dia akan tanya.

Belajar bahasa memang susah dan mengambil masa untuk menguasainya dengan baik. Namun, pemuda Arab ini ada kaedah tersendiri. Setiap hari beliau akan menghafal sepuluh perkataan dan proses ini mengambil masa selama enam bulan.

Selepas itu, beliau menyusun dan memadan perkataan demi perkataan menjadi satu ayat yang ringkas. Ketekunannya belajar bahasa Melayu dialek Kelantan telah memudahkannya berkomunikasi di antara pelajar-pelajar Malaysia dan orang Arab Mesir.

Menceritakan bagaimana rapatnya dengan pelajar Malaysia, beliau memberitahu ramai di antara pelajar itu yang sering datang ke rumah dan kenal benar dengan ibunya.

Apabila ditanya perkataan bahasa Melayu pertama yang dipelajari, beliau menjawab 'kecek" iaitu cakap. Dia juga suka makan budu.

Namun beliau berasa dukacita apabila melihat anak-anak muda yang suka merempit kerana membahayakan nyawa.

'Anak-anak muda ini tidak sayang pada nyawa,' katanya. Menurut Aziz lagi, jika di Mesir keadaan itu tidak berlaku kerana pasti ramai yang takut ditangkap polis.

Bahasa Melayu atau bahasa-bahasa lain bukannya susah untuk dipelajari asalkan ada kemahuan dan minat. Jika orang yang Arab boleh belajar sedikit demi sedikit, kita juga boleh melakukan perkara yang sama.

No comments:

Post a Comment