Hadiah Nobel yang dianugerahkan kepada pemenang-pemenang yang merangkumi beberapa bidang telah dimulakan sejak tahun 1901 berdasarkan wasiat pencipta dan ahli kimia terkemuka Sweden, Alfred Nobel.
Beliau yang juga seorang ahli perniagaan serta pencipta bom dinamit berkuasa tinggi telah menulis beberapa wasiat sebelum kematiannya sebagai menebus kesilapannya akibat dari penciptaan dinamit.
Oleh itu beliau mewasiatkan 94 peratus dari hartanya yang berjumlah 31 juta kronors bersamaan dengan AS$ 186 juta (RM595 juta) pada waktu sekarang untuk membiayai lima kategori hadiah Nobel iaitu keamanan, kimia, fizik, kesusasteraan dan perubatan.
Bagi tahun ini bekas Presiden Finland, Martti Ahtisaari diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan kerana usaha beliau untuk menghasilkan perdamaian berkekalan di seluruh pelosok dunia termasuk Aceh, Timor Leste dan rantau Balkan.
Ahtisaari, 71, menjadi perantara dalam rundingan yang membawa kepada perjanjian damai antara kerajaan Indonesia dengan pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Aceh pada 2005.
Jawatankuasa Nobel Norway memilih Ahtisaari untuk menerima hadiah bernilai AS$1.4 juta (RM4.76 juta) daripada senarai 197 calon kerana “usaha penting yang dilakukannya di beberapa benua dalam tempoh lebih 30 tahun untuk menyelesaikan konflik antarabangsa.’’
Menurut jawatankuasa itu lagi, usaha tersebut telah menyumbang ke arah mewujudkan dunia yang lebih aman selain mengeratkan ‘persaudaraan antara negara’ sejajar dengan semangat yang ditunjukkan oleh Alfred Nobel.
Usaha Ahtisaari di Afrika, Eropah, Asia dan Asia Barat mendapat sanjungan daripada Jawatankuasa lima anggota itu.
“Sejak 20 tahun lalu, beliau memainkan peranan utama dalam usaha untuk menyelesaikan beberapa konflik besar dan berlarutan, dari Namibia dan Aceh sehingga ke Kosovo dan Iraq,” menurut pengumuman itu.
Sumbangan
Ahtisaari juga telah memberi sumbangan membina ke arah menyelesaikan konflik di Ireland Utara, di Asia Tengah dan di Tanduk Afrika.
Presiden Finland dari tahun 1994 hingga 2000 itu berkata, beliau sangat gembira dan berterima kasih kerana mendapat penghormatan sebagai penerima hadiah berprestij tersebut.
Hadiah Nobel akan disampaikan di Oslo pada 10 Disember ini, sempena hari ulang tahun kematian Alfred Nobel pada 1896 tokoh yang bertanggung jawab mewujudkan anugerah itu.
Akademi Sains Diraja Sweden turut mengumumkan dua saintis Jepun dan seorang ahli sains Amerika Syarikat (AS) berkongsi Hadiah Nobel 2008 dalam bidang fizik.
Saintis AS kelahiran Jepun, Yoichiro Nambu dari Universiti Chicago itu memenangi separuh daripada hadiah tersebut kerana menemui mekanisme yang dikenali sebagai simetri pecah spontan dalam fizik subatom.
Makoto Kobayashi dan Toshihide Maskawa berkongsi separuh lagi hadiah kerana menemui asal usul simetri pecah yang meramalkan kewujudan sekurang-kurangnya tiga famili quark dalam alam.
Bagi Hadiah Nobel dalam bidang kimia, Akademi Sains Diraja Sweden menamakan dua warga AS Martin Chalfie dan Roger Tsein dan seorang warga rakyat Jepun Osamu Shimomura sebagai pemenang bersama.
Penemuan protein berkenaan telah menjadi satu peralatan yang amat penting dalam bidang bio sains.
Kejayaan mereka menemui protein cerah dalam ubur-ubur yang membantu saintis mengesan penyakit seperti kanser dan Alzheimer dan hadiah berjumlah 10 juta kronor akan dikongsi bersama pemenang.
Bagi Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan, penulis terkenal dari Perancis Jean-Marie Gustave Le Clezio diumumkan sebagai pemenang.
Ujar Le Clezio, kemenangan ini telah menjawab segala kritikan yang menyatakan bahawa kesusasteraan Perancis kini sudah semakin suram.
“Penulis bukan seorang ahli falsafah dan bukan seorang juruteknik bahasa, mereka merupakan seseorang yang menulis dan sering bertanya soalan kepada diri sendiri,” kata beliau.
Hadiah Nobel dalam bidang perubatan pula dikongsi oleh tiga pengkaji seorang dari Jerman Harald zur Hause dan dua dari Perancis iaitu Francoise Barre-Sinoussi dan Luc Montagnier.
Penemuan mereka mengenai virus AIDS dan peranan virus dalam kanser serviks telah melayakkan mereka memenangi hadiah ini yang diiktiraf paling berprestij di dunia.
Kesemua pemenang dalam lima kategori terpilih akan menerima hadiah wang tunai, sijil dan jemputan ke majlis penyampaian hadiah yang akan diadakan di Stockholm.
[Utusan Online, 12/10/2008]
No comments:
Post a Comment